RAHIM (kiri), Mohd Yatim (kanan) bersama ahli JKKK Kampung Tehel, Sahat Junos meninjau besi penghalang keselamatan tertanggal akibat kehilangan skru dan besi pengapitnya.
JASIN: Sebanyak 93 skru dan 31 kepingan besi pengapit penghadang keselamatan yang dipasang di tepi jalan utama Kampung Tun Razak-Tehel dekat sini, didapati hilang dipercayai menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab untuk menjualnya sebagai besi buruk.Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tehel, Rahim Selamat, berkata pihaknya amat kesal dengan kejadian terbabit dan ia dipercayai dilakukan penagih dadah.
"Apabila skru dan besi pengapit ini hilang, ia menyebabkan penghadang sedia ada tergantung, sekali gus menyakitkan mata sesiapa saja yang memandangnya.
"Tujuan besi penghadang dipasang adalah untuk keselamatan dan apabila keadaan ini berlaku, ia boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya terutama ketika mereka yang memandu pada waktu malam," katanya ketika ditemui di lokasi berkenaan dekat sini.
Tinjauan Berita Harian di tiga lokasi di laluan itu mendapati, kehilangan skru dan kepingan besi pengapit terbabit menyebabkan penghadang sedia ada tergantung daripada tempat asalnya.
Kehilangan peralatan itudipercayai disebabkan permintaan yang tinggi terhadap besi buruk di sekitar negeri ini dan akhirnya menyebabkan pihak berkuasa tempatan (PBT) terpaksa menanggung kerugian apabila pelbagai peralatan yang diperbuat daripada besi dicuri.
Sementara itu, setiausahanya, Mohd Yatim Saring, berkata pihaknya sudah memaklumkan kejadian berkenaan kepada Balai Polis Bemban dan meminta anggota pihak berkuasa itu meningkatkan rondaan di laluan terbabit.
"Sejak kejadian mencuri berlaku, kami kerap mengadakan intipan untuk mencegah kegiatan jenayah terbabit daripada terus berlaku," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: