Tuesday, February 8, 2011

'Kereta dibedil 3 kali'

KETAT...Siti Sarah menunjukkan gambar kereta kebal yang mengawal lalu lintas di Iskandariah.
KETAT...Siti Sarah menunjukkan gambar kereta kebal yang mengawal lalu lintas di Iskandariah.

ASAJAYA: “Nyawa kami ibarat telur di hujung tanduk ketika kereta dinaiki terkena tiga tembakan,” demikian detik cemas yang terpaksa dilalui seorang pelajar Universiti Al-Azhar, Zuliyarana Fauzi, 23, ketika dia dalam perjalanan pulang ke Kaherah dari Iskandariah, Mesir pada 29 Januari lalu.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi ketika dia bersama dua lagi rakan, Siti Sara Dahari, 23, dan Shahida Rashidi, 25, serta empat kakitangan Petronas termasuk sepasang suami isteri dalam perjalanan pulang ke Kaherah selepas mengunjungi rakan dan perpustakaan Universiti Iskandariah.

“Sebaik kenderaan kami ditembak, pemandu yang juga kakitangan Petronas dan isterinya menjerit kepada kami supaya tunduk sebelum mencari tempat perlindungan. Saya tidak tahu siapa yang melepaskan tembakan itu tetapi kenderaan kami mempunyai tiga kesan peluru.

“Beberapa minit kemudian, seorang askar menghampiri sambil bertanya destinasi kami dan apabila dimaklumkan mahu pulang ke tempat penginapan di Kaherah, dia memberi kata dua kepada kami sama ada nyawa akan melayang jika meneruskan perjalanan atau berpatah semula ke Iskandariah.“Dalam ketakutan, kami kemudian terpaksa berpatah balik ke Iskandariah dan berlindung sementara di rumah kakitangan Petronas. Ketika itu, kami tidak dapat membayangkan suasana ketika itu dan hanya berdoa sepanjang perjalanan semoga selamat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Asajaya Tengah di sini, semalam.


Katanya, dia dan rakannya terpaksa tinggal di rumah berkenaan beberapa hari sebelum dihantar ke Rumah Sabah yang terletak tidak jauh dari kawasan itu.

“Tiga hari kami berada di Rumah Sabah, baru perasaan kembali tenang sebelum kami diarahkan mengikut penuntut Sabah pulang ke Malaysia.” kata pelajar tahun dua Pengajian Syariah itu.

Menurutnya, dia bersama Siti Sara dan Shahida baru selesai menduduki peperiksaan akhir semester dan merancang ke Iskandariah melawat isteri rakannya yang bekerja dengan Petronas.

Sebelum itu, katanya, mereka bertolak dari Kaherah ke Iskandariah menaiki van dan tiba tengah hari Khamis, namun pada malam hari sama, mereka menerima khabar rusuhan tercetus sekali gus memaksa perintah berkurung dikeluarkan.

“Kami memang ada mendengar rusuhan berlaku terutama di Suez, namun menyangka tunjuk perasaan membabitkan kenaikan harga barang. Ini kerana semua barang di Iskandariah naik mendadak.

“Keesokan hari iaitu pada 28 Januari, kami dimaklumkan rusuhan semakin teruk menyebabkan kami terperangkap,” katanya yang selamat kembali ke pangkuan keluarga, kelmarin.

Sementara itu, Siti Sara berkata, ketika dia terperangkap bersama rakannya, dia juga terputus hubungan dengan abangnya, Abdul Salam, 25, di Kaherah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: