Friday, February 4, 2011

Sentuhan wanita dalam pembinaan


NORIAH Mohamad Nor (tengah) bersama penyelia di salah satu tapak binaan di bawah jagaannya.


TATKALA kita sibuk memperjuangkan hak wanita dalam pengangkutan awam, pengasingan koc atau bas mengikut gender, kita sebenarnya terlupa bahawa wanita adalah golongan berwibawa yang mampu menggalas apa juga cabaran yang diberi.

Sebab itu kelibat wanita boleh dilihat dalam semua sektor pekerjaan. Dalam bidang profesional, perkilangan, pertanian, pengangkutan dan sebagainya semua ada penglibatan wanita.

Malah mungkin ramai yang tidak sangka, dalam sektor pembinaan juga ramai pekerja wanita tempatan.

Mereka ini bukan kerani di tapak binaan. Mereka merupakan tenaga kerja mahir dan separuh mahir yang seiring dengan lelaki membancuh simen, menyusun batu-bata atau meratakan konkrit bagi membina pencakar langit.

Jangan lupa bahawa kebanyakan bangunan pencakar langit yang terdapat di negara ini mempunyai sentuhan fizikal seorang wanita.

Penglibatan wanita di tapak-tapak pembinaan sebenarnya sudah lama. Fenomena ini dimulakan dengan penglibatan kaum wanita warga asing di negara ini dan trend ini telah mula menular di kalangan warga tempatan.

Di Sabah dan Sarawak, wanita bekerja sebagai penarik kabel, pengorek lubang, juru kimpal malah ada juga yang mengangkat batu-bata bukanlah suatu yang janggal.

Manakala di semenanjung pula, penglibatan wanita di tapak bina lebih menjurus kepada bidang yang lebih profesional seperti jurutera, juru ukur bahan, pegawai keselamatan dan kesihatan, arkitek dan sebagainya.

Namun, sejauh manakah keselamatan dan kebajikan mereka di tapak bina ini terpelihara? Adakah terdapat garis panduan atau pun peruntukan akta yang melindungi kaum wanita di tempat kerja? Adakah layanan yang diberikan oleh majikan terhadap kaum wanita sama dengan kaum lelaki di tapak bina? Atau adakah beban kerja yang diberikan kepada kaum wanita ini sama dengan kaum lelaki?

Melihat pada beberapa persoalan yang ditimbulkan, sebenarnya isu ini bukanlah satu isu minoriti atau isu terpencil.

Pengalaman menyelia tapak binaan

Penulis berpeluang mengunjungi sebuah tapak pembinaan di ibu kota seawal pukul 7 pagi walaupun temujanji yang telah diaturkan oleh seorang pegawai keselamatan dan kesihatan di tapak tersebut adalah pukul 9 pagi.

Tidak sabar rasanya untuk merasai pengalaman masuk di tapak bina yang mana sebelum ini hanya digambarkan melalui lensa jurukamera drama-drama swasta atau pun filem.

Gambaran sebelum memasuki tapak bina tersebut meleset sama sekali. Ternyata apa yang digambarkan oleh lensa jurukamera di dalam drama-drama swasta dan filem nyata 'jauh panggang dari api'.

Jika dalam filem, arkitek dan jurutera di gambarkan memakai baju kemeja putih, penampilan yang segak dan kemas serta bertopi keselamatan, namun situasi sebenar nyata berlawanan sama sekali.

Semasa menunggu kehadiran pegawai keselamatan tersebut, mata melilau melihat buruh-buruh kasar masuk melalui pintu utama tapak bina tersebut.

Kelihatan beberapa orang buruh wanita menyertai deretan pekerja-pekerja lelaki yang sedang beratur itu.Mereka berasak-asak masuk dan kelihatan buruh wanita tersebut terhimpit di kalangan buruh-buruh lelaki.

Selang beberapa minit, sebuah kenderaan pacuan empat roda tiba dan diletakkan berdekatan dengan pintu masuk tapak bina tersebut. Kelihatan beberapa orang wanita berpakaian jaket dan bertopi keselamatan.

Penulis amati wajah mereka, nampak ayu. Mungkin jurutera atau arkitek. Ketika mereka beratur untuk memasuki ke tapak bina tersebut, kelihatan beberapa orang buruh warga asing yang asyik melihat mereka atas dan bawah dan kedengaran siulan mereka mengusik, namun tidak diendahkan oleh wanita-wanita tersebut.

Akhirnya, sampai juga kenalan penulis. setelah diberi sedikit penjelasan berkaitan keselamatan di tapak binaan tersebut dan dibekalkan dengan peralatan perlindungan diri, mereka pun terus memasuki kawasan tapak binaan.

Kenalan tersebut menyuruh penulis berpura-pura menyamar seperti seorang jurutera dan diberikan dengan jaket dengan logo syarikat tersebut.

Suasana hingar bingar amat membingitkan telinga di tambah pula bising dari kegiatan membuat cerucuk. Tapak kasut penulis mula menebal akibat dari lecak di sekitar tapak binaan tersebut.

Sedang penulis berjalan di bawah-bawah perancah, tiba-tiba 'hujan api' menimpa penulis. Rupa-rupanya hujan api tersebut adalah dari percikan api kimpalan yang sedang dijalankan beberapa meter dari atas kepala penulis.

Dalam hati, memang tak puas hati dengan juru kimpal tersebut kerana membuat kimpalan tanpa mengambil kira orang di bawah. Mujurlah kenalan penulis yang merupakan seorang pegawai keselamatan dan kesihatan (SHO) di tapak bina tersebut menyuruhnya turun dan menggunakan fire blanket semasa mengimpal supaya percikan apinya tidak jatuh ke bawah.

Perjalanan diteruskan ke tingkat kedua bangunan yang sedang dalam pembinaan tersebut. Tiba-tiba beberapa ketulan batu jatuh mengenai topi keselamatan penulis.

Ternyata, bahaya dan risikonya berada di mana-mana sahaja di tapak binaan ini.

Setelah bersusah payah, akhirnya sampai juga ke tingkat tiga bangunan tersebut dan kelihatan beberapa buruh wanita sedang menyusun batu bata untuk disimen.

Kelihatan juga beberapa orang buruh wanita yang sedang menyorong kereta sorong yang sarat berisi batu-batu konkrit.

Sayu juga melihat buruh-buruh wanita tersebut. Mungkin kerana desakan hidup serta kos hidup yang semakin tinggi di negara kita ini yang mendorong mereka menjadi buruh.

Di satu sudut, kelihatan beberapa wanita berpakaian seperti jurutera sedang menulis sesuatu. Mungkin sedang melakukan pemeriksaan kualiti bagi setiap peralatan yang telah dipasang.

Terdapat beberapa mata yang asyik mengekori jurutera-jurutera wanita tersebut. Pantang sahaja mereka menunduk atau mencangkung, laju sahaja mata mereka merenung tubuh mereka tanpa berkelip. Entah apa yang sedang bermain di fikiran buruh-buruh lelaki tersebut.

Ketika ditanya tentang kemudahan tandas dan tempat rehat, pegawai SHO tersebut menyatakan bahawa mereka telah mengasingkan kemudahan-kemudahan tersebut di antara lelaki dan wanita.

"Pernah juga berlaku di mana buruh-buruh lelaki mengintai wanita di tandas yang telah dilubang dengan gerudi," katanya.

Pengalaman tersebut telah dilalui sendiri oleh pegawai SHO wanita, Noriah Mohamad Nor, 47, yang telah terlibat dalam lapangan tersebut sejak tahun 1983.

Menurutnya, itu merupakan suatu perkara yang sering berlaku dan sudah tidak asing lagi di tapak bina.

Beliau yang juga pengarah SHE Strategic Sdn. Bhd., berkongsi pengalaman tersebut ketika ditemui di Puchong, Selangor baru-baru ini.

"Cabarannya memang ada. namun saya percaya jika pihak majikan pekerja wanita tersebut melaksanakan kebajikan pekerja dengan baik ia akan membawa kebaikan kepada semua pihak.

"Wanita yang bekerja di tapak bina tak kira di peringkat apa pun perlu kekuatan mental dan fizikal. Paling penting untuk bekerja secara amanah dan berhemah agar kita tidak berdepan dengan masalah yang tidak diingini," ujarnya.

Pendapat tersebut turut dipersetujui oleh Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (MSOSH), Maimunah Khalid.

Beliau yang juga merupakan presiden wanita pertama MSOSH tidak menafikan pertambahan tenaga wanita dalam sektor bina dari sektor profesional seperti jurutera, arkitek dan pegawai keselamatan dan kesihatan meningkat tahun demi tahun.

"Kami melihat perkara itu sebagai satu petanda positif wanita semakin diterima di sektor pembinaan dan industri. Bagaimanapun masih belum ada syarat tertentu peruntukan khas seperti tandas khas, ruang rehat dan tempat solat untuk wanita dan ia masih bergantung kepada budi bicara majikan.

"Kami di persatuan amat mengharapkan agar penerapan budaya kerja selamat dan sihat ini menjadi budaya setiap masa dan bukan setakat undang-undang yang mesti dipatuhi ketika diperlukan sahaja," jelas beliau ketika ditemui di pejabat MSOSH di Wisma Perkeso, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Untuk pengetahuan, MSOSH adalah persatuan yang telah ditubuhkan pada tahun 1971 dan kini menyambut ulang tahunnya yang ke-40.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: