![]() |
| Mohamad Azli Razali bersama buku Resipi Ringkas. |
CUMA guna lima hingga enam bahan. Ini sahaja yang menjadi rahsia bagi chef muda, Mohamad Azli Razali bagi menghasilkan buku Resipi Ringkas.
Jelas Chef Azli, 34, nampak sahaja bahan yang digunakan sedikit tetapi sebenarnya setiap resipi yang dihasilkan bukan sahaja sedap malah cepat untuk disiapkan.
“Semua 37 jenis resipi ini terdiri daripada lauk-pauk, sup dan snek ala Melayu, Cina, India dan Barat yang sesuai untuk dicuba oleh wanita masa sekarang yang terlalu sibuk,’’ katanya.
Katanya, penerbitan buku masakan hasil nukilannya yang kedua itu dikhususkan bagi wanita yang sibuk dengan kerjaya.
Malah kata Chef Azli, bahan-bahan yang diperlukan untuk setiap resipi yang dimuatkan di dalam buku itu juga mudah diperoleh.
“Saya juga memasukkan produk Maggi sebagai salah satu bahan dalam setiap resipi,’’ katanya.
Tambahnya, sememangnya kini sudah menjadi satu kemestian kepada suri rumah menggunakan produk Maggi bagi menyedapkan masakan.
Beliau berkata, setiap resipi yang terdapat dalam buku berkenaan antaranya kerabu tomato dan ikan bilis cuma mengambil masa dalam lima hingga 10 minit untuk disiapkan.
Tambahnya, bahan yang digunakan juga mudah seperti ikan bilis biasanya antara bahan kering yang sememang ada dalam simpanan di rumah dan begitu juga tomato.
Chef Azli memberitahu, beliau hanya mengambil masa selama lima bulan menjalankan kajian untuk menghasilkan resipi menggunakan lima hingga enam bahan ini yang ditentukan oleh penerbit, Sky Publishing House.
Jelasnya, ada cerita menarik di sebalik buku berkenaan yang beliau anggap sebagai satu cabaran dalam usaha menyiapkannya.
“Saya mendapat panggilan untuk disegerakan penggambaran buku resipi ini sedangkan ketika itu baharu dalam perjalanan ke Kuala Lumpur kerana mengikut janji asal telah ditetapkan pada hari berikutnya,’’ katanya.
Bagaimanapun katanya, disebabkan berlaku kesilapan komunikasi antara pihak penerbit dan jurugambar maka penggambaran perlu dilakukan pada hari yang sama beliau tiba di Kuala Lumpur.
“Bayangkan mana nak cari barang dan pembantu lagi sebab ia berlaku dalam keadaan terdesak tetapi Alhamdulillah segalanya telah berjalan dengan lancar,’’ katanya.
Katanya, sesi penggambaran termasuk masa yang digunakan untuk beliau memasak 37 resipi itu bermula dari pukul 6 petang hingga 3 pagi.
Beliau menjelaskan, setiap resipi memang telah telah diuji dan pastinya tidak sukar untuk pembaca mencuba.
Menurut Chef Azli, sesiapa yang berminat boleh mendapatkan buku itu di kedai-kedai buku terpilih di seluruh Malaysia dengan harga RM18 senaskhah.
Ia juga boleh dibeli secara pos yang berharga RM25 senaskhah termasuk caj penghantaran pos ekspress.
Katanya, untuk pembelian secara pos boleh masukkan bayaran ke akaun Maybank (112080571369) dan salinan resit pembayaran itu perlu diemelkan kepadanya di alamat azlirazali77@yahoo.com atau fax ke 04-382368.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: