Friday, February 4, 2011

Pastikan keselamatan tanpa kira jantina


Pekerja wanita di tapak pembinaan terdedah kepada risiko keselamatan dan kesihatan. - Gambar hiasan


KETUA Pengarah Jabatan Keselamatan & Kesihatan Pekerja (JKKP) Malaysia., Datuk Dr. Johari Basri berkata, JKKP telah diberi mandat untuk menguatkuasakan dua akta berkaitan dengan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP).

Ia adalah Akta Kilang dan Jentera (Akta 139) dan 15 Peraturan yang dibuat di bawahnya dan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Akta 514) dan 7 Peraturan yang dibuat di bawahnya, di samping sebahagian daripada Akta Petroleum (Langkah Keselamatan) (Akta 302).

"Ketiga-tiganya mempunyai tujuan yang sama iaitu memastikan para pekerja kita selamat dan sihat. Yang membezakan semangat dan skop pemakaiannya sahaja.

"Sebagai contoh, Akta 139 bersifat deskriptif dan skopnya hanya kepada sektor pembuatan dan binaan. Ia menyenaraikan tanggung jawab, langkah-langkah yang perlu di buat oleh majikan bagi memastikan KKP.

"Manakala Akta 514 bersifat pentadbiran kendiri dan skopnya merangkumi hampir semua pekerjaan di negara ini.

"Di sini para majikan diwajib untuk memastikan KKP diamalkan sebaik yang mungkin di tempat kerja. Dan Akta 302 pula tertumpu kepada aktiviti agihan bahan petroleum," katanya.

Ini bermakna dari sudut KKP, semua pekerja di Malaysia menikmati faedah dan perlindungan di bawah undang-undang yang sama.

Setiap majikan wajib memastikan keselamatan dan kesihatan setiap pekerjanya.

"Perundangan berkaitan KKP tidak membezakan industri dan jenisnya, jantina, bangsa, umur dan juga kerakyatan pekerja tersebut. Semua pekerja mendapat perlindungan yang sama," jelas Dr. Johari.

Begitu juga dengan wanita di sektor pembinaan, yang mana peruntukan yang sama terpakai iaitu majikan perlu memastikan keselamatan dan kesihatan mereka juga.

"Daripada pemeriksaan yang kita buat, pekerja wanita selalunya membuat kerja-kerja lebih ringan jika dibandingkan dengan lelaki.

"Maksudnya, pekerja wanita kurang membuat kerja-kerja mengangkat atau bekerja di tempat tinggi. Selalunya lebih kepada kerja menyusun, mengecat atau menyorong.

"Bagaimanapun, ingin saya katakan di sini, dalam peruntukan KKP yang ada, tiada peruntuk yang meminta majikan mengasingkan jenis kerja untuk wanita atau untuk lelaki mengikut beban kerja.

"Apa yang ada di dalam undang-undang adalah keperluan majikan membuat perkiraan supaya pekerja dan pekerjaan adalah selamat.

"Tiada garis panduan bagi majikan yang perlu dipatuhi jika ingin mengambil wanita di tempat kerja. Tetapi dari segi penempatan pekerja kepada kerja, pihak majikan diperlu untuk memastikan kesesuaian pekerja kepada pekerjaan tersebut.

"Kita ambil contoh, untuk kerja memerlu penilaian warna, sudah pasti pekerja yang 'buta warna' tidak boleh melakukannya. Ini bukan diskriminasi tetapi lebih kepada keselamatan.

"Begitu juga dengan pekerja yang alergi kepada bahan kimia tertentu. Majikan perlu mengasingkan pekerjaan dari pekerja tersebut," katanya.

Untuk pekerja wanita pula kata Dr. Johari, terdapat keperluan untuk mengasingkan mereka dari pekerjaan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada sistem reproduksi mereka.

Menurutnya, peraturan-peraturan yang sedia ada ini mewajibkan majikan menyediakan bukan sahaja dari sudut keselamatan tetapi juga kebajikan.

Sebagai contoh, tandas yang berbeza antara lelaki dan perempuan, kemudahan membasuh.

"Apa pun ia masih bergantung kepada keprihatinan majikan. Saya rasa dalam konteks sekarang ini, majikan perlu berusaha menyediakan semua prasarana tersebut. Contohnya kemudahan bilik sembahyang untuk lelaki dan perempuan dan sebagainya," ujar beliau.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: