
Selepas berehat selama empat tahun, Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2010 kembali diadakan sebagai pengiktirafan daripada kerajaan kepada industri penyiaran di Malaysia selain menyuntik semangat para karyawan dan penyiar tempatan agar terus berjuang di persada industri penyiaran.
:Majlis anugerah berprestij itu bakal berlangsung selama dua hari berturut-turut, pada 18 Februari 2011 (rakaman) dan 19 Februari (siaran langsung) ini, bermula jam 8.30 malam dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.
Membawa tema Dunia Penyiaran Citra Budaya Malaysia, ASA 2010 berhasrat untuk mengetengahkan saluran radio dan televisyen sebagai saluran utama dalam menggambarkan perkembangan kemajuan warga Malaysia.
Sebanyak 53 Anugerah dipertandingkan kali ini iaitu 34 Anugerah TV, 16 Anugerah Radio dan tiga Anugerah Khas merangkumi Anugerah Khas Juri TV, Anugerah Khas Juri Radio dan Anugerah Tokoh Seri Angkasa.
Penerima anugerah bakal membawa pulang trofi dan sijil manakala dua penerima anugerah utama bagi kategori Pengarah Terbaik dan Drama Terbaik membawa pulang hadiah istimewa berupa lawatan khas ke Los Angeles.
Pada ASA 2006, Hari-Hari Terakhir Seorang Perempuan (Astro) diangkat sebagai Drama TV Terbaik manakala Jurey Latiff (Hari-Hari Terakhir Seorang Perempuan) dinobatkan sebagai Pengarah Drama TV Terbaik.
Pada tahun ini, jika dilihat dari pencalonan Anugerah Drama TV Terbaik dan Pengarah Drama TV Terbaik, Sebelum Akhirat dilihat mempunyai mesej yang kuat untuk membawa trofi Anugerah Drama TV Terbaik manakala pengarahnya, Murali Abdullah mungkin membawa pulang Pengarah Drama TV Terbaik.
Bukan sekadar ramalan kosong, Sebelum Akhirat yang membawa mesej tentang kehidupan manusia yang gemar mengejar keseronokan duniawi sehingga sanggup membelakangkan agama dan keluarga pernah membawa pulang beberapa anugerah sebelum ini.
Bagi Anugerah Skrin 2010, Fauzi Nawawi berjaya membawa pulang trofi Pelakon lelaki terbaik-Kategori Drama, Fadzilah Mansor membawa pulang trofi Pelakon pembantu wanita terbaik drama dan Murali sendiri dinobatkan sebagai Pengarah Kategori Drama Terbaik.
Manakala pada Anugerah Profima 2010, Sebelum Akhirat membawa pulang lima trofi menerusi Penerbit Terbaik, Editor Terbaik, Solekan Terbaik, Kesan Visual Terbaik dan Telefilem Terbaik.
Walau bagaimanapun drama Perempuan dan Anak-Anak Lorong turut memberi saingan kepada Sebelum Akhirat apabila turut dicalonkan sebagai Anugerah Drama TV Terbaik dan pengarahnya Mohd Fahmi Sarindi (Perempuan) dan MP Roslin (Anak-Anak Lorong) turut dicalonkan dalam kategori Anugerah Pengarah Drama TV Terbaik.
Selain Sebelum Akhirat (TV3), Perempuan (RTM-TV2) dan Anak-Anak Lorong (Astro Prima), drama Sekudus Doa Arisya (RTM – TV2), dan Denai Berbisik (Astro Prima) turut tercalon dalam kategori Anugerah Drama TV Terbaik dan mempunyai kekuatan masing-masing.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: