Saturday, February 19, 2011

Percaturan KRU



Belum lagi ditayangkan, filem Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) arahan Yusry Abdul Halim sudah menjadi bualan ramai. Selain hasil imej janaan komputer (CGI) yang dikatakan setanding filem Barat, watak Merong Mahawangsa yang diangkat ke dalam bentuk filem itu juga mencuri tumpuan.

Mungkin ramai yang sudah membaca atau mendengar hikayat yang meriwayatkan sejarah terawal Kedah itu. Namun, kewujudan pelbagai versi membuatkan masyarakat keliru hikayat Merong Mahawangsa yang sebenarnya.

Atas rasa tanggungjawab dan menjawab kekeliruan orang ramai, KRU Studios tampil menerbitkan dokumentari khas HMM yang akan ditayangkan di TV3 pada 25 Februari ini, jam 6 petang.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim, pihaknya menerbitkan dokumentari HMM untuk dijadikan rujukan dan menepis interpretasi masyarakat tentang filem HMM.

“Dokumentari ini diterbitkan khas bagi memberi penterjemahan intelektual untuk menyokong penterjemahan berbentuk hiburan filem HMM.

“Tujuan penerbitan dokumentari ini adalah bagi mengarkib serta memberi fakta yang secukupnya kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa untuk mengenali siapakah insan yang bergelar Merong Mahawangsa dan peranannya di dalam sastera serta sejarah lisan negara kita,” katanya dalam majlis pelancaran dokumentari HMM.

Norman berkata, cabaran untuk menerbitkan dokumentari yang menelan kos RM40,000 ini adalah untuk mendapatkan tokoh-tokoh yang berpengetahuan mengenai fakta hikayat terkenal itu.

“Walaupun terdapat pelbagai versi dan interpretasi tentang naskhah HMM yang asal, dokumentari ini memberi sedikit sebanyak kesimpulan yang boleh kita nilaikan melalui temu ramah dengan pakar-pakar berkaitan isu ini.

“Tokoh-tokoh yang terlibat ialah wakil Istana Kedah, Datuk Wira Mohd Shaarif Abu Samah, ahli sejarah Kedah, Datuk Dr Wan Shamsudin Mohd Yusof, pengkaji buku :Hikayat Merong Mahawangsa:, Datuk Dr Siti Hawa Salleh, pakar sejarah, Datuk Prof Khoo Kay Kim dan Presiden Kebangsaan Persatuan Hindu Sangam, S Mohan,” katanya.

Selain itu, dokumentari ini turut menampilkan temu ramah bersama Yusry selaku Pengarah dan Amir Hafizi (penulis skrip) yang menceritakan bagaimana mereka menggabungkan elemen sastera, mitos serta sejarah bagi menghasilkan filem HMM.

Sementara itu, Yusry menyifatkan filem ketiga arahannya itu sebagai :modern story telling: mengenai watak terkenal yang diterjemahkan dalam bentuk filem.

“Kisah mengenai kehebatan Merong Mahawangsa yang diceritakan oleh penglipur lara banyak ditokok tambah bagi menarik perhatian pendengar. Namun, melalui dokumentari ini kami ingin menunjukkan bahawa HMM tidak dihasilkan secara tokok tambah.

“Setiap inti pati asas yang terdapat dalam filem ini memang wujud dalam hikayat asal dan kita mengadaptasikannya supaya sesuai untuk adegan yang tidak realistik. Misalnya, watak burung garuda dalam cerita asal ditukar kepada watak lanun,” katanya.

HMM yang akan menemui penonton 10 Mac ini berkisar kisah Merong Mahawangsa, seorang pahlawan dan nakhoda kapal yang didakwa berasal dari keturunan Iskandar Zulkarnain datang ke Langkasuka dan seterusnya menjadi raja.

Stephen Hughes Rahman diberi kepercayaan untuk melakonkan watak Merong Mahawangsa. Selain itu, pelakon lain terlibat ialah Gavin Stenhouse, Ummi Nazeera, Jing Lu dan Khir Rahman.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: