Tuesday, February 8, 2011

Rimas!

Tizz Zaqyah
Tizz Zaqyah
Tiz Zaqyah pelik ada saja gosip dikaitkan dengan dirinya

BARU hendak bertapak, nama Tizz Zaqyah sudah pun dipalitkan dengan kontroversi. Ketika namanya sedang meledak gara-gara watak Nuramina dalam drama rantaian Nur Kasih, tersebar pula gambar gadis putih gebu itu dalam internet dengan berpakaian sedikit menjolok mata sedang bersosial di samping teman-temannya.Masih lagi mentah, tetapi pada usia 23 tahun, banyak yang dilalui gadis ini apabila dia turut dituduh tinggal sebumbung dengan ‘suaminya’ dalam drama Nur Kasih iaitu Remy Ishak.
Hilang gosip mereka tinggal serumah, timbul pula cerita baru kononnya Tizz bakal mengikat tali pertunangan dengan anak seorang kenamaan berasal dari Terengganu.

Tertanya-tanya juga gadis ini dari mana timbulnya gosip itu sedangkan dia sendiri tidak mengenali jejaka yang dimaksudkan. Mungkin wanita yang dilihat bersama dengan anak VIP itu mempunyai wajah seirasnya.

“Orang asyik bertanya siapa anak VIP yang bakal menjadi tunang saya. Macam mana saya hendak terangkan kalau saya sendiri tidak mengenalinya. Saya pun pelik bagaimana cerita ini boleh timbul? Mungkin wanita yang dilihat bersama lelaki itu pelanduk dua serupa.

“Walaupun cuba menafikan cerita ini, saya tahu orang tidak akan terus berhenti daripada memperkatakannya. Saya hanya mampu membiarkan orang terus bercakap kerana mereka tidak mengenali siapa saya.
“Memang saya rimas dengan semua tohmahan yang tidak benar tetapi pada waktu sama, saya lebih suka mengambil sikap buat tidak tahu saja,” kata gadis yang memulakan langkah dalam bidang lakonan menerusi drama Impian Ilyana.

Agak kecewa apabila dirinya tidak habis-habis dirundung gosip liar, anak bongsu dari dua beradik ini berkata, dia hadir ke dunia seni untuk memburu impian sebagai seorang pelakon.

Tapi kenapa pelakon sepertinya perlu dikaitkan dengan kisah kontroversi.

Bagaimanapun, tidak pernah terbit sesalan di hati gadis comel ini menceburi bidang seni meskipun namanya tidak henti-henti dikaitkan dengan pelbagai gosip.

“Kerja saya hanya di set. Kalau boleh saya mahu mengelakkan semua topik yang tidak membawa faedah seperti ini.

“Bagaimanapun saya tidak mampu mengelak semua itu dan memang tak dinafikan, saya kecewa dengan dakwaan yang tidak benar mengenai saya,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran drama episod terbaru Gemilang.

Kabir banyak berjasa

SELEPAS Nur Kasih, Tizz Zaqyah masih lagi terus mendapat kepercayaan Kabir Bhatia apabila pengarah terkenal itu sekali lagi menawarkan watak utama sebagai Asma dalam terbaru arahannya.

Tapi gadis ini tegas menolak dakwaan kononnya dia anak emas Kabir dan isterinya Mira Mustaffa. Sebaliknya setiap kali tawaran dihulurkan secara kebetulan dia memang tidak terikat dengan sebarang tawaran lakonan yang lain.

Memang tidak dapat disangkal Tizz, jasa ditabur pengarah itu terhadap kariernya cukup besar. Dia amat berterima kasih kepada Kabir kerana memberi peluang kepadanya membintangi Nur Kasih hingga dirinya dikenali. Malah setelah beberapa kali bekerjasama, Tizz akui wujudnya keserasian antara dirinya dengan karya Filmscape.

“Tak dapat saya sangkal, cerita Kabir bagus. Saya berasa amat beruntung kerana menjadi pilihan Filmscape. Kebetulan pula setiap kali mereka menghulurkan tawaran, saya tidak terikat dengan sebarang tawaran.

“Jasa yang dicurahkan Kabir terhadap saya memang cukup besar. Banyak yang saya belajar darinya, Kabir seorang pengarah yang sangat tegas ketika di set.
Tetapi dia seorang pengarah yang tahu apa dimahukan dan hasilnya tidak mengecewakan.

“Sejak bekerja dengan dia, saya menjadi lebih peka dalam industri, banyak juga perubahan dalam perjalanan hidup yang dapat saya rasakan sejak bekerja dengannya. Bagaimanapun saya bukanlah anak emasnya, kerana setiap pelakon dilayan sama rata oleh Kabir,” katanya yang seronok dapat berlakon dalam drama Gemilang di samping beberapa pelakon baru lain seperti Kamal Adli, Shah Jaszle dan Tasha Shilla.

Biarpun kali pertama bergandingan dengan mereka, namun kata Tizz, dia tidak menghadapi masalah bekerja dengan mereka kerana keserasian begitu pantas wujud antara mereka.

Tizz yang berkecimpung dalam dunia lakonan sejak 2006 juga berkata, sebolehnya dia cuba mengelak menjadi pelakon yang tamak. Justeru, dia hanya akan menerima satu tawaran pada satu-satu masa. Kata Tizz, dia berbuat demikian kerana tidak mahu menyusahkan dirinya kelak.

“Tiada siapa yang minta saya buat begini, sebaliknya ini adalah inisiatif saya sendiri. Saya tak suka terkejar-kejar apabila menerima dua tiga tawaran dalam satu masa. Mungkin di awalnya tiada masalah, tetapi lama kelamaan tentu ada saja masalah yang akan timbul,” kata calon Top 5 kategori Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010.

Seandainya tahun lalu trofi itu menjadi miliknya, tahun ini, Tizz tidak meletakkan sebarang harapan besar. Apa lagi melihat saingan tahun ini yang cukup sengit. Malah Tizz turut mengandaikan kemenangan itu akan berpihak kepada Lisa Surihani, sementara dia menyandarkan nasibnya di tangan takdir.


Info Tiz zaqyah:

* PELAKON ini dilahirkan dengan nama Siti Zaqyah Abdul Razak pada 25 Oktober 1988 di Kuala Lumpur.

* NAMA Tiz mula dikenali peminat apabila dia membintangi drama bersiri Nur Kasih kira-kira dua tahun lalu bersama Remy Ishak, Fizz Fairuz dan Sharifah Sofea. Drama berkenaan diarahkan Kabir Bhatia.

* TIZ juga akan muncul dalam filem Nur Kasih pada tahun ini bersama-sama beberapa pelakon asal drama berkenaan. Kini, peminat boleh menyaksikan lakonannya dalam sebuah lagi drama arahan Kabir, Gemilang, di sisi Shahz Jaszle, Kamal Adli dan Tasha Shilla.

* GADIS yang mula berlakon sejak 2006 ini turut membintangi siri Gol & Gincu, Impian Illyana dan Spa Qistina, manakala antara telefilem lakonannya pula ialah Bernafas Dalam Lumpur dan Puaka Topeng Putih.

* PADA Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009, Tiz naik ke pentas menerima anugerah Pelakon TV Wanita Popular.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: