Tuesday, February 8, 2011

Cinta dari filem ke lantai teater


Farahdhiya anggap penerimaan tawaran membintangi muzikal Terima Kasih Cinta sebagai menunaikan impian dan azam tahun barunya.


BUKAN satu fenomena baru apabila naskhah dari medium filem atau drama dibawa ke lantai pementasan teater. Ironinya, sejak Istana Budaya membuka peluang pada tahun 2006 untuk mana-mana produksi yang merasakan filem mereka layak diangkat ke pementasan teater, baru tiga filem berani dipentaskan iaitu Cuci, Puteri Gunung Ledang dan Impak

Maksima.

Hakikat sebenarnya, bukan mudah untuk mengubah satu karya perfileman kepada karya teater kerana ia bukan sahaja menuntut kreativiti dan penumpuan yang tinggi.

Malahan pengarah perlu membuat pelbagai perubahan tidak kira dari segi jalan cerita mahupun menyelitkan unsur muzikal supaya ia menjadi lebih baik apabila ke lantai teater kelak.

Boleh dikatakan landskap penerimaan penonton terhadap pementasan teater terutamanya berbentuk muzikal kini sedang menyusuri jalur yang cukup memberangsangkan.

Pengaruh filem dijadikan pementasan kemungkinan besar berpunca daripada kejayaan Puteri Gunung Ledang the Musical (PGLtM).

Berjaya dipentaskan selama 39 hari pada tahun 2006, PGKLtM berjaya menggamit lebih 30,000 penonton termasuk dari Singapura, Indonesia dan Brunei untuk menyaksikan pementasan terbitan Infiniti Sdn. Bhd. itu.

Dua tahun kemudian, filem Impak Maksima, arahan Ahmad Idham turut diangkat masuk ke Istana Budaya sebagai Impak Maksima The Musical.

Tahun 2009, pementasan bernilai RM3 juta, Cuci The Musical (CTM) dipentaskan. Kejayaan CTM hebat sekali apabila pementasannya disambung buat kali kedua, Cuci The Musical 2.

Tahun ini, filem Cinta arahan Khabir Bhatia dilihat menyusur jejak filem-filem terdahulu apabila ia akan diterjemahkan sebagai teater muzikal dengan tajuk Terima Kasih Cinta (TKC).

Menarik atau tidak, menerima tepukan gemuruh dan pujian melambung atau sebaliknya pada 17 Februari ini, ramai yang akan memandang ke arah pengarah teater muzikal TKC Pat Ibrahim.

TKC karya peralihan

Tugas berat menanti Pat yang akan bertindak sebagai pengarah teater muzikal TKC.

Beban tugas menjadi berganda apabila bekas anggota kumpulan Kool ini turut bertanggung jawab menjadi koreografer tarian untuk TKC.

TKC dijadualkan menemui penonton sehingga 6 Mac. Bagaimanapun, tiada pementasan pada setiap Isnin.

TKC membariskan pelakon Safura Ya’cob (Rubiah), Latif Ibrahim (Cikgu Elyas), Vince (Taufiq), Nadia Aqilah (Arianna), Tony Eusoff (Haris), Norish Karman (Airin), Shajiry Damery (Azlan) dan Farahdhiya (Azura).

Pelakon lain yang turut terlibat dalam pementasan muzikal TKC ialah Deja Moss (Dian), Anding Indrawani (Dhani) dan Diddy Hirdy sebagai Amin.

Menurut Pat, seawal 14 Disember tahun lepas lagi, para pelakon telah mula menjalani sesi latihan di KLPAC sebagai memantapkan persembahan kelak.

“Alhamdulillah, bukan mahu memuji tetapi bersyukur kerana barisan pelakon TKC handal-handal belaka.

“Ada yang bertanya mengapa saya tidak kekalkan sahaja barisan pelakon asal dalam filem Cinta?

“Jawapan saya ialah ini pementasan muzikal dan pastinya memerlukan pelakon yang boleh menyanyi.

“Bagi mereka yang tidak menonton filem Cinta, watak Rubiah dalam filem tidak memerlukannya menyanyi tetapi untuk teater muzikal TKC semua perlu dan boleh menyanyi,” katanya yang mengakui empat kali menonton filem Cinta di pawagam.

Bagi memberikan satu justifikasi ke atas teater muzikal TKC, Pat berkata, sebaik mungkin dia akan memberi dimensi berbeza dalam kerja seninya nanti.

Justeru katanya, biarpun istilah cinta itu sangat rapat dengan jiwanya tetapi ia sedikit sukar untuk dizahirkan sementelah ‘mengambil’ kerja orang lain dan cuba diterjemahkan dalam bentuk yang lain.

Seboleh-bolehnya, luah Pat, dia tidak mahu terpengaruh dengan lenggok cerita yang telah divisualkan dalam filem.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: