Wednesday, February 9, 2011

Rosedahwati 12 tahun memendam rasa


Budiman Mohd. Zohdi menyampaikan sumbangan daripada Majlis Belia Daerah Sabak Bernam kepada Rosedahwati.


KEHIDUPAN hari ini penuh dugaan dan cabaran terutama bagi mereka yang telah mendirikan rumah tangga. Segala yang berlaku tidak kira pahit atau manis pasti dilalui dengan tabah. Sekiranya tersilap langkah ia pasti mengundang sengsara.

Bagaimanapun, kita hanya merancang, tuhan menentu segala-galanya. Begitulah yang dilalui Rosedahwati Abd. Rahman, dari Sekinchan, Selangor.

Ketika ditemui di rumah ibunya baru-baru ini, ternyata ibu muda yang baru berusia 31 tahun itu tabah menghadapi segalanya walaupun sudah hampir 12 tahun memendam rasa.

Seperti wanita-wanita lain, sudah pasti Rosedahwati menginginkan sebuah kehidupan yang sempurna di samping anak-anak kurniaan Allah SWT dan seorang suami yang mampu melindungi dan membimbing diri serta keluarga hingga ke akhir hayat.

Tetapi tanpa diduga, perkahwinan yang pada awalnya bahagia hanya bertahan selama tiga tahun. Selepas dikurniakan anak ketiga keadaan rumah tangga mula tidak menentu apabila suami yang berkerja sebagai nelayan terjebak dalam penyalahgunaan dadah.

Walaupun hidup dalam keadaan ‘makan hati berulam jantung’, Rosedahwati tetap ingin menjaga maruah suaminya dengan tidak menceritakan apa yang telah berlaku.

Tetapi setelah diyakinkan bahawa kedatangan kami untuk membantunya sekeluarga, barulah dia berani membuka mulut bercerita sedikit hal rumah tangganya.

‘‘Saya dah tak mampu nak buat apa-apa lagi kerana dia merupakan pilihan saya sendiri. Kami berkahwin pun atas dasar suka sama suka.

‘‘Jadi apa juga keburukan terpaksa saya telan, nak membebel setiap hari pun tiada gunanya,’’ ujar ibu kepada sembilan orang cahaya mata ini.

Tatkala berceritakan hal anak-anak, ternyata wanita yang berjiwa kental ini ‘kalah’ apabila dia tidak dapat menahan air mata daripada mengalir.

‘‘Anak-anak pun dah lali dengan keadaan hidup yang susah ini. Pernah satu ketika anak sulung dan nombor dua malu nak ke sekolah sebab diejek rakan-rakan.

“Mereka tertekan, tapi sekarang anak-anak macam dah tak endah lagi apa yang berlaku,” katanya.

Kini dia yang menguruskan segala keperluan dan juga kelengkapan anak termasuk ibunya yang berusia 71 tahun.

Menurut Rosedahwati lagi, kehidupan hariannya kini boleh diibaratkan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Dia rela melakukan apa jua kerja sambilan atau kerja-kerja lain yang terdapat di sekitar kawasan rumahnya untuk menanggung perbelanjaan rumah dan persekolahan anak-anak.

Pernah dia bekerja sebagai pelayan kedai makan dari pukul 7 malam hingga 2 pagi dengan pendapatan hanya RM20 sehari.

Apabila dia keluar bekerja, masalah lain pula timbul kerana anak-anak yang masih kecil perlukan penjagaan.

Rosedahwati tidak mengharapkan sangat ibunya untuk menjaga anak-anak sepanjang hari memandangkan ibunya juga tidak begitu kuat.

Apabila diajak berbicara mengenai bantuan yang pernah diperolehnya, secara jujur, Rosedahwati menyatakan dia dan keluarganya hanya mendapat bantuan daripada Pusat Zakat Selangor pada tahun lalu iaitu bantuan hari raya dan bantuan persekolahan anak-anaknya.

‘‘Saya ada memohon bantuan dengan mengisi borang di Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pusat zakat tetapi tak ada maklum balas.

‘‘Yang ada pun cuma dari Pusat Zakat Selangor untuk hari raya dan persekolahan anak-anak hujung tahun lepas.

‘‘Alhamdulillah, bantuan yang diberikan dapat meringankan sedikit beban saya serta anak-anak,’’ katanya sebak.

Bagaimanapun, Rosedahwati sekeluarga bernasib baik kerana jiran tetangga tidak pernah menyisihkan mereka malah ada kalanya turut menghulurkan bantuan.

Beliau yang tidak mempunyai sebarang kemahiran amat berminat untuk mempelajari bidang jahitan dan berharap dengan ilmu yang dipelajarinya itu, dapat menampung keluarganya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: