Mukadimah
Shaheizy Sam Abdul Samad, 28, atau Sam, bintang muda yang berbakat, mencipta satu fenomena baru dalam duni perfileman tempatan. Sam terlibat dalam dunia seni sejak berusisa 12 tahun menerusi filem Sama Tak Serupa tetapi ketika itu bakatnya tidak pernah diendahkan.
Tapi, pemuda ini berjaya mencipta kejutan apabila filem Bohsia Jangan Pilih Jalan Hitam (2009) lakonanya berjaya mencatat kutipan pecah panggung iaitu sebanyak RM4.14 juta.
Kejayaan itu berjangkit kepada filem-filem lain sehingga menjadikan tujuh filem lakonannya mendapat kutipan boxoffice, satu perkara luar biasa untuk seorang pelakon sepertinya.
Wartawan WAHIDUZZAMAN mendekati disebalik kehebatan dan kejayaan luar biasa Shaheizy Sam Abdul Samad.
************
MUNGKIN sekadar tuah atau sememangnya aktor bernama Shaheizy Sam Abdul Samad atau Sam ini berhak mengecapi tiap pencapaian, pengiktirafan dan populariti yang dimilikinya hari ini.
Realitinya, kebangkitan secara mendadak aktor berusia 28 tahun ini bertitik-tolak daripada mutu kerja, dedikasi serta kepercayaan peminat.
Jika disusuri kejayaan dan popularitinya sejak dua tahun kebelakangan ini, pesona Sam boleh dilabel sebagai antara wajah hero yang paling laris di pasaran.
Sejak kembali aktif di pentas lakonan pada 2009, lakonannya bukan saja mendapat pujian dan pengiktirafan. Lebih manis lagi, kesemuanya berjaya mencatat kutipan pecah panggung ataupun boxoffice.
Diulit populariti sekelip mata, Sam mengakui tidak terganggu dengan istilah glamor yang bertandang. Dia tidak melihat perkara itu sebagai sesuatu yang menjadi dambaannya, sebaliknya menganggap populariti bukan sesuatu yang boleh dibanggakan.
“Ramai yang melabel saya sudah popular tetapi itu bukan matlamat utama. Saya hargai segala sokongan dan kepercayan orang pada saya tetapi populariti bukan sesuatu yang mengganggu, jauh sekali untuk berbangga diri.
“Secara peribadi, tiada apa yang boleh dibanggakan dengan istilah popular tetapi bagaimana untuk terus dihargai menerusi kerja seni,” katanya,” akuinya.
Punyai sikap pelik
Menariknya tentang jejaka kelahiran Petaling Jaya, Selangor ini, penonjolan sebagai seorang pelakon berkarakter turut terpancar pada keperibadian Sam. Sekilas pandang, jika tidak begitu mengenali adik aktres Zizie Ezette ini, pasti ramai yang mudah melabelnya seorang yang pelik dan sombong.
Dek sikap pemalu dan pendiam yang melatari perwatakannya itu, Sam mudah disalahtafsirkan sebagai seorang yang sukar didekati.
Ironinya, jika pandai memecah bicara dengan aktor ini, Sam sebenarnya seorang yang ceria dan cukup mesra orangnya.
“Sikap saya yang pemalu dan pendiam ini sering dianggap sebagai sombong dan pelik. Saya tidak nafikan perkara itu tetapi saya bukan begitu.
“Hakikatnya, saya suka bersendiri, berkhayal atau berfikir tentang pelbagai perkara. Sebab itu, jika tiada perkara penting untuk diperkatakan saya lebih senang berkurung di bilik.
“Jika tidak bekerja, saya lebih suka meluangkan waktu untuk diri sendiri. Saya boleh bersiar-siar dan membeli-belah seorang diri kerana selesa dengan keadaan itu.
“Perkara ini memang cukup difahami oleh keluarga saya. Sebab itu, jika di rumah sekalipun, saya banyak menghabiskan waktu di bilik,” katanya.
Jelas Sam, sikap pendiam itu bertitik-tolak daripada kebimbangannya yang mungkin melukakan perasaan orang lain apabila terlalu banyak bercakap atau mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya.
“Saya terlalu mahu menjaga hati orang di sekeliling saya. Saya bimbang jika terlalu banyak bercakap, mungkin akan terlepas kata-kata yang mengguris perasaan orang lain. Itu yang paling saya takuti,” katanya.
Anak yang manja - Khaty Fauziah
Anak kepada dramatis veteran Khaty Fauziah ini disifatkan ibunya sebagai seorang yang manja dan menawan hati.
Mengakui paling rapat dengan anak bongsunya itu, aktres yang mesra disapa Mummy itu berkata, dia berkongsi segala rahsia dan cerita dengan Sam.
Sam pasti akan mendapatkan pandangannya tentang apa sahaja perkara termasuk tawaran lakonan dan penampilan.
“Dia akan merujuk kepada saya dalam segala hal termasuk soal pakaian, imej dan watak lakonannya.
“Pendek kata, dia akan bertanyakan pandangan saya tentang apa sahaja sebelum melakukan sebarang keputusan,” katanya.
Dek keakraban itu juga Khaty bagaimanapun sentiasa berhati-hati untuk berkongsi cerita dengan anaknya itu. Katanya, Sam seorang yang sensitif dan tidak suka perkara negatif mengenai ibunya diperkatakan orang. Kalau tidak dia akan bertindak agresif dengan “menyerang” pihak-pihak berkenaan.
“Dia bukan seorang yang rumit atau banyak hal tapi kadangkala dia ada ‘angin’ tertentu. Jika dia teringin untuk berbual, kami akan berbual panjang tapi kalau datang ‘angin’ dia tidak mahu bercakap, dia hanya akan jawab sepatah dua saja pertanyaan saya,” katanya yang mengakui adakalanya Sam masih makan bersuap.
Sebagai ibu, Khaty berbangga dan bersyukur dengan pencapaian yang dikecapi oleh anak terunanya itu. Melihat sendiri bagaimana getirnya laluan Sam untuk membina nama, Khaty hanya mampu memanjatkan kesyukuran di atas kepercayaan yang diberikan oleh para penerbit terhadap potensi anaknya.
“Saya cukup tersentuh apabila ada pihak yang sudi memandang bakat Sam dan memberikan peluang kepadanya. Maklumlah, sebelum ini hampir enam tahun karier seninya terumbang-ambing.
Sam lambat menyerlah - Zizie
Dramatis Zizie Ezette cukup berbangga dengan pencapaian adiknya itu. Zizie mula melihat potensi lakonan Sam sejak kecil lagi menyifatkan adiknya sebagai seorang pelakon yang berkarakter dan versatil.
“Saya sudah melihat potensi Sam dalam lakonan sejak kecil lagi. Ketika dia mengikut saya ke lokasi penggambaran pada sekitar tahun 1990-an, bakat lakonannya sudah terserlah.
“Waktu kami sama-sama terlibat dalam filem Sama Tak Serupa (1995), bakatnya sudah menonjol walaupun ketika itu dia baru berusia 12 tahun dan hanya memainkan watak pembantu sahaja.
“Pembabitannya dalam drama televisyen Pa’e (arahan Saian Salimon) lebih menyerlahkan potensi Sam sebagai pelakon yang boleh pergi jauh,” katanya.
Namun, apabila Sam sibuk menumpukan perhatian pada pelajarannya selepas drama tersebut, Zizie mengakui, nama adiknya lenyap daripada dunia lakonan tanah air.
Sebagai kakak yang percaya potensi adiknya, Zizie sentiasa memberikan perangsang dan mencarikan peluang agar Sam disunting oleh para penerbit dan pengarah.
“Saya memang sedih apabila pengarah dan penerbit tidak yakin pada potensi Sam sebelum ini. Memang ramai yang mengakui bakat Sam tapi tiada satu tarikan untuk dia diberikan peluang.
“Namun, sepanjang tempoh enam tahun kerjayanya tidak menentu, saya sentiasa memberikan perangsang agar dia bersabar kerana percaya peluangnya akan datang juga,” kata Zizie.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: