Sunday, February 6, 2011

Kekal asli di Griya Rasa


Nasi Timbel Komplit.


MASAKAN Jawa Timur, Padang dan Sunda mempunyai kelompok peminat tersendiri. Rasanya yang enak pasti menjadi 'kerinduan' penduduk tempatan terutama selepas pulang bercuti dari negara jiran. Meski pun ada banyak premis yang menyediakan juadah sedemikian namun di Rumah Makan Griya Rasa, ada sesuatu yang istimewa.

Tiga juadah menjadi hidangan wajib dicuba iaitu Nasi Timbel Komplit berharga RM10.90, Rawon Sapi (RM5.90) dan Soto Ayam (RM5.90). Mengekalkan nama dan rasa yang sama seperti di negara asal serta hargaa berpatutan, memberi pilihan kepada pengunjung untuk menikmati lebih 60 hidangan yang turut dijual di restoran ini.

Pemiliknya, Soepie Ali, 57, yang lebih mesra dipanggil Pak Sopi menitikberatkan keaslian setiap masakan. Untuk itu enam tukang masak didatangkan khas dari Indonesia untuk memastikan hidangan yang berkualiti.

''Pengunjung jangan bimbang kerana kami mementingkan kesegaran setiap makanan. Buat permulaan, kami sedang giat mempromosikan set Nasi Timbel Komplit yang lengkap dengan buah, teh botol dengan harga RM9.90 sehingga 15 Februari ini,'' katanya dalam pertemuan baru-baru ini.

Untuk masakan Padang, antara menu yang dicadangkan kepada pelanggan adalah kikil gulai yang (RM7), daging dendeng (RM4.50) dan daging rendang (RM3.50).

Pak Sopi bersama rakan niaganya, Steven Leow, 43, juga memilih ayam kampung untuk masakan Jawa. Contohnya, ayam penyet paha dan dada dijual dengan harga RM6.90 dan ayam bumbu rojak (RM7.50).

Sate padang turut dijual di Rumah Makan Griya Rasa dengan harga 60 sen setiap cucuk untuk daging lembu dan ayam manakala kambing (80 sen).

Hidangan ala-carte turut disediakan seperti Nasi Goreng Jawa dengan harga RM4.50 dan Fu Yong Hai (RM3.50).

Ditanya makna perkataan Griya yang digunakan pada awal nama restorannya, Pak Sopi memberitahu ia bermaksud 'rumah' dalam bahasa Jawa. Apa yang diinginkan olehnya adalah pelanggan yang datang menikmati juadah seperti di rumah sendiri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: