Thursday, February 17, 2011

Bujam Epok seni kraf minangkabau


Tunku Normah Tunku Baharom menunjukkan teknik menyulam Bujam Epok menggunakan ram.


SEBUT Bujam Epok, mungkin bunyinya pelik pada generasi hari ini. Bentuk Bujam Epok ini sebenarnya seperti tas tangan atau kantung yang diperbuat daripada kain tebal dan ditenun serta disulam dengan berbagai corak dengan mengikut cita rasa penenun.

Ada juga Bujam Epok yang ditekat dengan labuci atau sulaman benang emas, perak yang berukuran antara 20 sentimeter hingga 25 sentimeter persegi.

Pada bahagian mulutnya pula terdapat lebihan kain supaya mudah untuk dilipat. Juga terdapat sekeping kain kecil panjang dijadikan sebagai seutas tali sebagai pengikat atau pengunci.

Sementara di bahagian bucu kiri dan kanan bahagian bawahnya diletakkan dengan rambu-rambu kain yang berwarna-warni, menjadikan Bujam Epok lebih berseri lagi.

Mengikut sejarah, Bujam Epok ini mempunyai peranan istimewa pada keturunan Minangkabau di Negeri Sembilan.

Ia digunakan untuk mengisi piak-piak sirih atau tembakau ketika mengundang seseorang atau keluarga ke sesuatu majlis, seperti majlis perkahwinan dan majlis adat.

Tetapi kini penggunaan Bujam Epok di kalangan masyarakat Minangkabau semakin dilupakan.

Bagaimanapun Tunku Normah Tunku Baharom, 56, atau lebih dikenali sebagai Tunku Bazilah tidak mahu Bujam Epok terus pupus ditelan zaman.

Tunku Bazilah sanggup mempelajari semula teknik menjahit sulaman unik yang digunakan untuk menghiasi Bujam Epok ini.

‘‘Sebagai anak jati Seri Menanti, Kuala Pilah saya akui amat menghargai peninggalan sulaman unik oleh nenek moyang yang terdahulu,’’ katanya ketika ditemui di rumahnya Lorong Raja Mahmud Off Jalan Raja Uda di Kampung Baru, baru-baru ini.

Semuanya bermula selepas ajakan temannya untuk mempelajari teknik sulaman Bujam Epok ini sempena Pesta Adat Perpatih dan 100 Tahun Istana Lama Seri Menanti sejak dua tahun lalu.

Semenjak itu, Tunku Bazilah terus tertarik untuk memulakan usahanya mewarisi teknik sulaman ini dengan lebih serius.

‘‘Disebabkan bujam sudah tidak sesuai lagi digunakan dalam adat peminangan kerana telah diganti dengan tepak sirih maka saya pelbagaikan kegunaannya termasuk menjadikan ia untuk hiasan dinding,” katanya.

Jelasnya, peralatan yang digunakan untuk membuat sulaman ini tidak banyak hanya menggunakan benang emas dan juga ram.

‘‘Untuk mencantikkan sulaman ini boleh digunakan bahan lain seperti manik dan sebagainya mengikut daya kreativiti masing-masing,” katanya.

Katanya, biasanya corak sulaman ini lebih kepada bentuk bunga-bungaan.

Untuk menyiapkan sulaman itu biasanya mengambil masa lebih kurang dua bulan.

Beliau akui ada masanya kerja-kerja menyulam ini mengikut ‘mood’ memandangkan kalau tersilap, kerja-kerja untuk merungkai semula benang sulaman ini memang memerlukan masa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: