Thursday, February 3, 2011

Luahan lirik, lagu Saari




"Ku sangkakan panas berpanjangan, rupanya gerimis, rupanya gerimis mengundang, dalam tak sedar ku kebasahan...".

Itu merupakan bait-bait lirik lagu Gerimis Mengundang nyanyian kumpulan Slam yang cukup popular sekitar 90-an. Lagu yang dimuatkan dalam album terbaik pernah dihasilkan Slam pada tahun 1996 itu cukup menghantui, bukan sahaja di Malaysia tetapi sehingga ke Indonesia.

Malah, lagu itu turut dirakamkan dalam 14 bahasa di Indonesia, membuktikan betapa besar pengaruh dan kesan lagu ciptaan komposer terkenal Saari Amri waktu itu.

Bertemu dengannya baru-baru ini bersempena acara mempromosikan album kompilasi terbarunya yang berjudul Tajam Berbisa, Saari Amri atau nama sebenarnya, Saari Jusoh hanya tersenyum apabila mengimbas kejayaan yang pernah diciptanya.

Jika dihitung, sudah beratus lagu pernah dihasilkannya.

Namakan sahaja penyanyi terkenal era 90-an daripada Ziana Zain (Madah Berhelah, Setiaku Di Sini, Kekal), Azie (Pelamin Anganku Musnah, Kau Tetap Dalam Anganku), Ukay's (Terasa, Di Sana Menanti Di Sini Menunggu, Seksa), Umbrella (Ramalanku Benar Belaka), Scan (Kau Dipaksa Aku Terpaksa) Zabarjad (Karam), Slam (Kembali Terjalin, Gerimis Mengundang), Spring (Butakah Cinta, Sejujur Manakah Kata-Kata), Aris Ariwatan (Lamunan Terhenti), Wings (Lena Diulit Intan), Awie (Bara), May (Meniti Suratan, Suci), Nash (Zahir Tak Terucap) sehinggalah Ella (Sembilu, Kabus Dan Sirna), semua adalah hasil ciptaan Saari Amri.


BIARPUN dia beranggapan zaman kegemilangan dirinya sebagai komposer terkenal sudah berlalu, namun Saari Amri masih belum padam semangat untuk terus berkarya.


Mungkin peminat muzik hari ini terutamanya remaja tidak mengenali siapakah Saari Amri dan lagu ciptaannya tetapi jika pergi ke mana-mana pusat karaoke, lagu-lagu ciptaan Saari sering menjadi pilihan untuk dinyanyikan.

Secara tidak langsung, ia menunjukkan lagu-lagu ciptaannya masih menjadi pilihan.

"Saya sedar zaman saya sudah berlalu tetapi saya tidak pernah sesekali patah semangat untuk terus berkarya.

"Walaupun tidak seaktif dulu, jiwa saya masih dalam bidang penciptaan lagu," ujarnya yang memuji kredibiliti yang ada pada penyanyi dan komposer era terkini, Yuna.

Meskipun hanya belajar setakat darjah enam, itu sudah memadai untuknya tahu membaca, menulis dan membolehkannya mencipta lirik-lirik puitis.Beritahunya lagi, setiap karya yang dihasilkan telus daripada hatinya. Mungkin, itu yang menyebabkan lagu-lagunya bertahan sehingga ke hari ini.

"Saya seorang yang kuat berangan dan suka mendengar cerita orang. Jika saya tidak pernah alami sesuatu pengalaman, saya akan gunakan angan-angan dan pengalaman orang lain untuk menulis lirik.

"Tetapi kebiasaannya karya saya terhasil daripada hati saya sendiri, apa yang saya rasa ketika itu saya akan luahkannya dalam lirik dan lagu. Kalau sedih, sedihlah lagu itu, jika gembira maka lagu itu akan bernada gembira," ungkapnya.


LAGU popular Ziana Zain, Madah Berhelah merupakan antara ciptaan Saari Amri yang paling sukses.


Kredibiliti Saari cukup terbukti menerusi keserasian bersama kumpulan Ukay's. Bermula daripada album pertama yang diterbitkan pada tahun 1991 berjudul, Tinggal Irama sehinggalah album kelima Ukay's, Cuma Aku Yang Hidup (1997), kesemuanya hasil sentuhan Saari sebagai penerbit dan pencipta lagu. Akui Saari, vokalis Ukay's, Amir, kekal sebagai penyanyi kegemarannya sehingga kini.

"Dia (Amir) merupakan penyanyi paling senang dan serasi dengan saya, sebab itu kumpulan Ukay's merupakan kumpulan yang paling banyak mendapat khidmat saya sebagai penerbit dan pencipta lagu," ucapnya.

Sepanjang kerjaya cemerlangnya sebagai komposer, Saari Amri hidup mewah. Namun, ketika namanya berada di puncak, peminat muzik tempatan dikejutkan dengan kemalangan ngeri yang hampir meragut nyawanya pada tahun 1996.

Motor berkuasa tinggi jenama Ducati yang ditunggangnya rosak teruk dan kos RM30,000 diperuntukkan untuk membaiki motor berkenaan. Kata Saari, ketika kemalangan itu, dia bernasib baik kerana memakai topi keledar yang berkualiti tinggi.

"Nasib baik saya pakai topi keledar mahal, kalau tidak mesti kepala saya sudah pecah. Akibat kemalangan itu otak saya bergegar dan saya hilang ingatan buat sementara waktu.

"Dalam beberapa tahun sakit saya agak teruk, tetapi syukur lama-kelamaan saya semakin sembuh dan hari ini saya boleh menjalani kehidupan seperti sedia kala. Walaupun begitu, saya masih mencipta lagu sehingga ke hari ini," ujarnya yang kini berusia 45 tahun.


SAARI di samping Eddie Hamid.


Hari ini, Saari Amri aktif sebagai pencipta lagu dan sering dijemput untuk menjadi juri pertandingan nyanyian di seluruh negara, malah kehidupannya diteruskan dengan wang royalti yang diperolehinya.

Selepas muncul dengan album kompilasi Lentok Berbisa bersama komposer Eddie Hamid dan mencipta lagu baru berjudul Helahmu nyanyian Rahmat Ekamatra pada tahun lalu, Saari muncul pula dengan album kompilasi terbaru berjudul Tajam Berbisa yang memuatkan 22 buah lagu ciptaannya dendangan 21 orang penyanyi.

Album yang turut memuatkan lagu Lena Diulit Intan (Wings), Lamunan Terhenti (Aris Ariwatan) Madah Berhelah (Ziana Zain), Mengintai Dari Tirai Kamar (Exist), Warkah Buat Kekasih (Way's), Luka Seribu Rindu (Fotograf) dan sebuah lagu baru berjudul Curang Dalam Terang nyanyian Renggo daripada kumpulan Arrow itu telah berada di pasaran sejak 7 Januari lalu pada harga RM29.90 (2 CD) dan RM19.90 (VCD Karaoke).

"Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah kerana rezeki yang diberi, malah masih ada orang yang mempercayai bakat saya walaupun sudah lama tidak muncul dengan lagu-lagu baru.

"Apa yang paling menggembirakan apabila lagu-lagu yang saya cipta 15 tahun dahulu masih disukai ramai, itu yang menyebabkan saya tidak berhenti daripada terus menulis dan mencipta lagu baru," tuturnya mengakhiri bicara.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: