PROSES pemikiran kreatif terpancar jelas bersistematik. Aspek-aspek kognitif dan psikomotor disulam bersama bagi memperlihatkan nilai-nilai estetika yang wujud dalam penghasilkan karya-karya yang dipamerkan.
Daya perasaan menerusi dinamika tona serta gerakan garisan dan kesan tekstur, olahan bentuk dan ruang membentuk persembahan yang unik dan mengujakan.
Karya-karya daripada Dr. Ruzaika Omar Basaree, Suzlee Ibrahim, Juhari Said, Mad Anuar Ismail, Marfizul Azuan Marzuki, Khairul Azmir Shoib, Safwan Ahmad, Fauzin Mustafa, Faizal Suhif, Izzat Yahaya, Iszuan Ismail dan Bakir Baharom utuh memperlihatkan eksplorasi sanubari dan jiwa seni mereka.
Ia dilakukan dengan meletakkan cabaran kreativiti dalam mendepani isu sosial, melestari budaya dan tradisi, bereksprimen teknik dan gaya.
Tidak ketinggalan merancang minda baru serta mentransformasi sumber dan bahan di samping mengintepretasi makna.
Demikian ungkapan yang dilahirkan oleh Kurator Editorial Seni, Pameran Ekspresi 2011, Nurul Muzamel Rasidi mengenai pameran yang dianjurkan oleh Fakulti Seni Halus, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) yang berlangsung baru-baru ini di Galeri Shah Alam.
Menariknya pameran tersebut terhasil daripada gabungan 11 orang pensyarah, tujuh pelajar serta lapan peserta kursus Lukisan Figura yang tampil dengan karya tersendiri.
Pelbagai pendekatan dari aspek media, mesej serta teknik penyampaian visual dapat dilihat pada lebih 140 karya yang dipamerkan kali ini.
Pensyarah Fakulti Seni Halus Aswara, Suzlee, 44, berkata, peluang mengadakan pameran di luar kampus adalah satu pengalaman bermakna buat anak didiknya.
“Selain daripada mempersiapkan diri serta menimba pengalaman, mereka juga berpeluang berganding bahu bersama barisan pensyarah yang aktif dan cemerlang dalam industri seni visual sekali gus ia sebagai bonus buat para pelajar.
“Menerusi pameran sebegini, ia bukan sahaja dapat memaparkan karya seni pelajar tetapi mereka juga berkongsi perjalanan dan suasana pembelajaran di kampus di samping menyediakan platform terbaik bagi mempromosi pendidikan seni di peringkat pengajian tinggi kepada masyarakat,” tegas Suzlee yang merupakan bekas tenaga pengajar di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
|
|
Bentuk pelajar
Apa yang pasti, penglibatan pelajar bersama para pensyarah dilihat sebagai didikan dan bimbingan ke arah membentuk sahsiah dan kendiri bakat muda untuk berdepan dengan cabaran alam pekerjaan khususnya dalam bidang industri kreatif.
Gandingan ala mentor ini juga mampu mewujudkan suasana interaksi dan komunikasi yang bersifat akademik dan industri. Selain itu, pengalaman dan kepakaran pensyarah telah menjadi inspirasi pelajar untuk menyerlahkan potensi mereka sebagai pengkarya muda.
Bagi tutor di Fakulti Seni Halus Aswara, Iszuan Ismail, 29, yang tampil dengan tiga karya pada pameran berkenaan memberitahu, dia mengambil masa tiga minggu untuk menyiapkan hasil seninya.
“Karya berjudul Deep Blue Sea, Sun Spot dan The Blue Wave ini diilhamkan daripada panorama lautan serta muzik dalam seni tari dewa dan dewi. Ia bersifat abstrak dan difahami mengikut cara tersendiri,” ujarnya.
Sementara itu, peserta kursus jangka pendek Lukisan Figura, Mohd. Fahmi Mohd. Taib, 22, yang turut menyertai pameran tersebut mengakui sangat gembira dengan apa yang telah dicapainya.
|
|
“Saya rasa amat teruja apabila berpeluang mengadakan pameran bersama nama-nama besar dalam dunia seni visual. Ia boleh dianggap pencapaian yang tinggi dalam hidup saya.
“Melalui pameran ini, ia secara tidak langsung menguatkan semangat saya untuk terus berusaha menjadi seorang artis terkemuka di Malaysia,” tutur Fahmi yang gemar melukis sejak kecil dan berjaya memenangi tempat ketiga dalam pertandingan melukis Expressions of the Malayan Tiger sempena ulang tahun ke-50 Maybank baru-baru ini. Kemenangan itu membolehkan Fahmi membawa pulang RM1,000.
Selain Fahmi, tiga pelajar fakulti itu turut memenangi hadiah pada pertandingan tersebut. Mereka adalah Nazmi Ismail, Nur Fatin Shatira Hana Hamidon dan Aizt Amir Ahmad Sanusi.
Fakulti Seni Halus Aswara mula ditubuhkan pada tahun 2008. Ia bermatlamat untuk melahirkan karyawan, seniman, pelukis, pengarca, penghayat seni yang berilmu, kreatif, beradab serta profesional melalui satu program pendidikan formal Seni Halus.
Tumpuan diberikan kepada pendidikan seni berbentuk vokasional dan kemahiran dalam tiga cabang seni halus yang utama iaitu catan, cetakan dan arca.
Pameran yang berlangsung dari 20 hingga 30 Januari lalu dirasmikan oleh Ahli Lembaga Yayasan Seni Selangor, Profesor Datuk Raja Zahabuddin Raja Yaacob.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: