Thursday, February 17, 2011

Mamafiza pejuang pendidikan di rumah


MAMAFIZA, ibu muda yang positif dan ceria bersama anak-anak


ISTILAH homeschooler mungkin masih baru bagi ibu bapa di negara ini tetapi di negara seperti United Kingdom ia bukan sesuatu yang asing.

Menyedari hakikat bahawa makanan membentuk peribadi anak-anak membuatkan Hafiza Abd Rahman, 26 dan suaminya, Azhar Zahir, 26, mengambil keputusan untuk menjadi pejuang pendidikan di rumah atau homeschooler.

Lalu menerusi laman web www.littlekittle.com mereka meneruskan agenda murni tersebut.

Tambah menarik Hafiza yang terkenal dengan gelaran Mamafiza di kalangan pembaca blognya kini menghasilkan buku resipi istimewa untuk si cilik.

Empat cahaya mata penyeri kehidupan Hafiza dan Azhar dijadikan sebagai sumber inspirasi Hafiza untuk menghasilkan tip kepada ibu bapa lain.

Anak-anaknya juga diberi nama yang cukup unik, Kirua Hakimy, 6, Ashyekin Rei Hikaru, 4, Afiqah Yunaru, 3, dan Adany Aurora Hydeaki, 2.

“Suami saya penggemar komik anime Jepun, justeru nama anak-anak kami ditambah unsur Jepun selain dari nama Islam yang memberikan maksud yang indah,” jelas Mamafiza yang mendirikan rumah tangga pada usia muda.

Melihat kesabaran dan kematangan Mamafiza menguruskan anak-anaknya memang mengagumkan. Ibu muda ini mengambil semua perkara dengan positif dan tangani kerenah anak-anak dengan keceriaan.

Justeru, anak-anak Mamafiza tampak begitu bersopan, menghormati orang tua, ceria dan berdisiplin.

Sesi fotografi kami juga berjalan dengan lancar dan mudah dengan kerja sama dari mereka semua.

Mamafiza yang berperwatakan ceria, lahir dalam suasana institusi kekeluargaan yang rapat dan saling menyokong.

Sewaktu kecil, dia dibesarkan dengan penuh kasih dan hasil air tangan masakan nenek, datuk, moyang, ibubapa, bapa dan ibu saudara.

“Nenek dan ibu saya sangat rajin memasak, mereka tidak pernah lupa serta setia membekalkan saya dengan masakan dari rumah dan air minuman bersih (air masak) setiap hari untuk dibawa ke sekolah, iaitu sejak di usia 7 tahun hingga ke umur 17 tahun.

“Mereka sentiasa memastikan saya mendapat makanan berzat setiap hari walaupun di luar rumah. Saya juga sering dimanjakan oleh moyang dan datuk sebelah bapa yang gemar memasak hidangan tradisional.

“Ibu dan bapa juga saya amat mementingkan menu sihat bagi setiap anaknya tak kira pada waktu susah mahupun senang,” katanya.

Nilai istimewa inilah membuatkan Mamafiza belajar untuk menghargai setiap suapan makanan dan masakan yang dihasilkan oleh ahli keluarganya.

“Setelah berkahwin, ibu mertua saya tidak lokek untuk memberi tunjuk ajar di dapur dan suami saya telah memperkenalkan kepada saya dengan dunia masakan dari pelbagai negara.

“Oleh sebab tertarik dengan cara masakan yang disediakan oleh suami, saya terus menyatakan hasrat untuk belajar memasak. Alhamdulillah, hasil tunjuk ajar suami, setelah setahun berlatih dengan gigih tanpa kenal erti putus asa, saya berjaya menyediakan masakan sihat yang berbagai rasa serta mencipta beberapa resipi buat santapan keluarga,” katanya.

Minat menyelami dunia masakan ini disokong 100 peratus oleh suami dengan menyediakan peralatan memasak yang sesuai.

Di samping itu suami menghadiahkan buku masakan dari dalam dan luar negara serta bersama-sam menonton rancangan masakan bagi mempelajari tip masakan, resipi terkini dan efektif yang dapat menjimatkan masa terutama bagi yang mempunyai jadual harian yang ketat sebagai isteri, ibu, homeshooler (pejuang pendidikan di rumah), penceramah bebas dan pereka laman web yang bekerja dari rumah.

Walaupun masa senggang amat terhad dan mengutamakan amalan sesi penyusuan berganda bagi semua anak-anak, Mamafiza tetap meneruskan latihan memasak untuk keluarganya bagi memastikan setiap ahli mendapat makanan sihat dan seimbang.

“Saya berasakan sebenarnya anak kecil adalah insan yang banyak memberi ilham pada dunia orang dewasa agar dapat melihat bakat, kepintaran mental dan kecerdasan fizikal mereka pada perspektif yang berbeza.

“Yang pastinya, si comel sentiasa memerlukan limpahan kasih sayang sepenuhnya dari kita iaitu doa, ciuman, pelukan dan kata-kata perangsang dan penghargaan dari ibubapanya yang tidak dapat ditukar dengan harta mahupun masa.

“Ini adalah peringkat umur yang amat sesuai untuk memupuk minat kepada sesuatu makanan dan tabiat pemakanan yang seimbang perlu dititikberatkan sejak awal lagi,” ujar Mamafiza mengakhiri bicara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: