Thursday, February 17, 2011

Mengurangkan bahan api fosil


Penggunaan MRT dapat mengurangkan peratus perlepasan bahan buangan daripada kenderaan yang mencemarkan alam sekitar. - Gambar hiasan


BAGI aktivis alam sekitar, S. Piarapakaran, dalam isu pengangkutan awam, fokusnya lebih kepada isu berkait dengan alam sekitar. Ini memandangkan sektor pengangkutan di Malaysia menggunakan bahan api fosil yang tinggi.

Dalam wawancara dengan Bernama baru-baru ini dengan memetik perangkaan Imbangan Tenaga Kebangsaan 2008, beliau memberitahu penggunaan bahan api fosil dalam sektor pengangkutan meningkat sebanyak 35.8 peratus antara 2000 dan 2008.

"Peningkatan seumpama ini boleh dielakkan sekiranya terdapat perkembangan yang memberangsangkan dalam sektor pengangkutan awam.

"Sebagai perbandingan, kita dapat melihat peratus penggunaan yang lebih cekap daripada jumlah penggunaan sumber tenaga bagi sektor pengangkutan di Amerika Syarikat sebanyak 28.5 peratus, Singapura 18 peratus dan Jepun 24 peratus.

"Nilai yang kecil ini bukannya diperolehi begitu sahaja. Ia adalah hasil pembangunan berterusan sektor pengangkutan awam bagi menampung permintaan yang semakin meningkat," kata Piarapakaran yang juga Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER).

Proses pembakaran bahan api akan melepaskan bahan pencemar seperti karbon monoksida, oksida nitrogen, oksida sulfur serta bahan pencemar yang lain.

bahan pencemar

Menurut Piarapakaran, di lokasi yang menjadi tumpuan seperti Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Seremban dan Johor Bahru, paras bahan pencemar daripada kenderaan semestinya lebih tinggi.

"Ini memberikan kesan langsung kepada indeks kualiti udara. Kualiti udara menjadi lebih teruk di lokasi yang mengalami kesesakan lalu lintas.

"Lalu lintas yang tidak diurus dengan baik akhirnya bukan sahaja membazirkan sumber tenaga tetapi juga menjejaskan kesihatan kepada mereka yang menghirup bahan pencemar ini secara langsung," jelasnya.

Piarapakaran memberi contoh laporan kesihatan 2007 Toronto Public Health yang membuat kesimpulan bahawa trafik menyebabkan 1,700 kes rawatan hospital setahun di Toronto.

Menurut laporan itu, kanak-kanak mengalami lebih daripada 1,200 episod bronkitis setahun akibat pencemaran udara yang berpunca daripada trafik.

Kajian itu juga menganggarkan kos berkaitan kematian disebabkan pencemaran trafik adalah sekitar $2.2 bilion dolar Kanada.

Kos pencemaran

Pengurangan pelepasan bahan pencemar daripada kenderaan sebanyak 30 peratus di Toronto dijangka dapat menyelamatkan 189 nyawa dan menjimatkan 900 juta Dolar Kanada dari segi penjimatan kebajikan kesihatan.

"Setakat ini di negara kita belum ada kajian yang melihat kepada kesan pencemaran trafik kepada kesihatan serta impak yang lain. Mengapa agaknya," katanya.

Bagaimanapun, banyak kajian akademik seperti ini dibuat di negara lain, yang membuktikan impak kesihatn akibat pencemaran trafik.

"Malahan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) menjalankan kajian yang serupa di Austria, Perancis dan Switzerland.

"Kajian seumpama itu membuktikan usaha mengurangkan pencemaran menerusi pengangkutan awam yang efektif mempunyai impak positif kepada negara dengan menyelamatkan nyawa, alam sekitar dan memberikan manfaat ekonomi. Apakah kita dapat melakukan sedemikian melalui projek MRT ini.

"Kita boleh mengurangkan pembaziran tenaga dan pencemaran sekiranya kita mempunyai sistem MRT yang efektif. Ia juga dapat dicapai jika lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam.

"Sekiranya perancangan gagal, bukan sahaja berlaku pembaziran tenaga tetapi wang rakyat juga lebur," kata Piarapakaran.

Beliau berpendapat, dengan menambah MRT semata-mata tidak dapat mengurangkan masalah kesesakan trafik.

Menurut Piarapakaran seseorang penumpang yang keluar dari rumahnya patut boleh menaiki bas atau bas perantara dalam lingkungan 200 meter pertama dan terus dapat ke stesen MRT.

Dengan kaedah yang serupa, penumpang yang sama juga boleh sampai ke lokasi yang dituju.

"Semuanya ini boleh berhasil dengan perancangan masa yang baik. Di negara-negara maju sistem sokongan adalah penting dan mereka telah membangunkan sistem rel dengan sistem sokongan sejak lama dahulu," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: