Thursday, February 3, 2011

Segway ikut gerak tubuh




SESEKALI dapat mencuri masa menyelami kehijauan alam semula jadi tentu sekali dapat memberi ketenangan minda selepas mengharungi kesibukan hidup di kota metropolitan.

Kehijauan landskap bukan sahaja dapat membantu mengurangkan tekanan kerja bahkan, dapat mendekatkan kita kepada alam semula jadi.

Lawatan ke beberapa lokasi taman di Kuala Lumpur antara yang boleh menjadi pilihan. Jika ada yang mengeluh letih berjalan kaki bersiar-siar di sekitar taman atau perlu bersesak menaiki kereta dari satu taman ke satu taman, semua itu bukan satu masalah lagi sejak beberapa bulan lalu.

Senario itu bakal berubah apabila anda menjadi tetamu Muzium Negara, Kuala Lumpur dan mendapatkan perkhidmatan lawatan berpandu menggunakan Segway yang merupakan pengangkutan peribadi (PT) dikendalikan SegKL.com.

Pelatih SegKL.com, Muhamad Hadim Mustafa, 18, berkata, terdapat tiga pakej menarik yang ditawarkan kepada penggemar teknologi untuk merasai pengalaman menggunakan PT mesra alam itu.

"Mereka yang mementingkan masa tetapi ingin mendekati alam semula jadi, terdapat pakej lawatan berpandu sekitar Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur. Ia hanya mengambil masa selama satu jam dan mereka boleh meneroka keindahan alam semula jadi ditawarkan Taman Tasik Perdana dalam masa yang singkat.

"Antara destinasi menarik yang akan dikunjungi melalui pakej ini termasuk Taman Orkid, Taman Kancil, Taman Botani, Taman Bunga Raya dan banyak lagi. Kami hanya mengenakan bayaran sebanyak RM49 kepada warganegara Malaysia manakala pelancong asing dikenakan RM54 sahaja," katanya ketika ditemui Kosmo!.

Selain itu, Muhamad Hadim berkata, dua pakej lain yang ditawarkan kepada pengguna adalah selama 30 dan 15 minit. Pakej 30 minit akan meneroka Taman Kancil sambil ditemani seorang pelatih yang memberi panduan penggunaan Segway.


MUHAMAD HADIM dan Nurafifah Huda menunjukkan pengangkutan peribadi Segway yang boleh dicuba di Muzium Negara sejak November lalu.


Ujarnya lagi, pakej 15 minit pula hanya akan berpusing sekitar Muzium Negara sahaja untuk memberi peluang kepada orang ramai merasai pengalaman menggunakan pengangkutan mesra alam itu. Kesemua pakej yang ditawarkan akan diberi tempoh selama lima minit percubaan dalam membiasakan pengguna mengimbangi dan mengendalikan Segway.

SegKL.com mula beroperasi di Muzium Negara bermula sejak November tahun lalu untuk memperkenalkan PT mesra alam tersebut di ibu kota dan memberi peluang kepada warga tempatan serta pelancong asing merasai pengalaman menggunakannya.

Terdapat beberapa model PT tetapi SegKL.com menggunakan model Segway i2 kerana ia boleh digunakan di bandar besar atau kecil. Model Segway i2 juga boleh digunakan di dalam atau luar bangunan.

Model i2 mempunyai kelajuan maksimum 20 kilometer sejam (km/j) dan boleh beroperasi untuk perjalanan sejauh 38.6 kilometer (km) untuk setiap cas terhadap bateri litium ion yang digunakannya.

"PT ciptaan Dean Kamen ini juga diperkenalkan untuk memberi peluang kepada warga kota menjimatkan masa menikmati keindahan alam semula jadi ditawarkan sekitar Taman Tasik Perdana.

"Pengangkutan Segway agak popular di Amerika Syarikat dan beberapa negara maju kerana digunakan untuk tujuan rekreasi atau rondaan oleh pihak berkuasa tetapi ia masih baru di negara ini," ujarnya.

Segway mudah dikendalikan

Dalam pada itu, seorang lagi pelatih SegKL.com, Nurafifah Huda Yunus, 18, menambah, pengguna tidak perlu khuatir untuk mengendalikan PT yang mempunyai dua tayar tersebut kerana ia mudah dan sangat stabil apabila dinaiki.


PENGGUNA tidak perlu bimbang mengimbangi badan kerana Segway dilengkapi teknologi dan perisian perkomputeran terkini.


"Segway dijana kuasa elektrik dan dikawal sistem pengkomputeran yang mengikut pergerakan badan manusia. Jika kita menggerakkan berat badan ke depan, ia akan berjalan ke hadapan dan jika memberatkan badan ke kiri, ia akan membelok ke kiri dan begitu seterusnya untuk ke kanan.

"Kalau kita membelakangkan badan pula ia akan memperlahankan PT ini. Pengguna juga tidak perlu berasa bimbang kerana pengangkutan mesra alam ini akan perlahan secara automatik apabila ia bergerak terlalu laju," ujarnya.

Katanya, mereka yang ingin mengendalikan Segway juga perlu memiliki berat badan minimum 45 kilogram (kg) atau tidak melebihi 117 kg kerana ia akan menyukarkan pengendalian.

Teknologi pengangkutan peribadi

Segway turut menggunakan dua teknologi iaitu LeanSteer dan kawalan InfoKey wayarles untuk memudahkan pengguna mengendalikan PT tersebut.

LeanSteer merupakan peningkatan kepada sistem antara muka kawalan Segway malah, sensor pada alat itu mampu mengesan pergerakan badan penggunanya dengan lebih baik.

Dengan reka bentuk menarik dan perisian terkini, Segway PT mampu membezakan antara sudut pergerakan penunggang dan kecondongan yang wujud ketika berada di lereng bukit.

Nurafifah Huda memberitahu, infoKey tanpa wayar merupakan satu alat yang menjadi pusat maklumat untuk membolehkan pengguna mengawal kelajuan Segway PT, meter kelajuan, meter jarak perjalanan dan meter bateri.


PENGANGKUTAN peribadi Segway sudah lama digunakan di Amerika Syarikat dan Jepun.


Katanya lagi, ia juga akan menghidupkan sistem keselamatan apabila Segway tidak digunakan. Jika ia diganggu ketika sistem keselamatan telah dihidupkan, tayar akan dikunci dan juga membunyikan bunyi amaran.

Pelancong teruja

Sementara itu, pelancong Indonesia dari Jakarta, Farid Herman, 32, berkata, dia mencuba PT tersebut kerana kelihatan agak menarik dan futuristik.

"Saya mendapati ia mudah dikendalikan kerana hanya mengambil beberapa minit sahaja untuk menstabilkan badan dan memahirkan diri menggunakannya," katanya.

Bagi Hastarita Tjakradipura, 34, yang berasal dari Jakarta, penggunaan PT itu dapat menjimatkan masa terutamanya kepada pelancong berkunjung ke sini.

"Kita hanya memerlukan masa satu jam sahaja untuk menerokai sekitar Taman Tasik Perdana dan ia sesuatu yang mengujakan kerana dapat melawat ke destinasi-destinasi lain," ujarnya lagi.

Selain daripada itu, SegKL.com turut menawarkan pakej satu hari dengan menyediakan tiga Segway dan satu pada harga RM300.

Untuk keterangan lanjut mengenai pakej-pakej ditawarkan SegKL.com boleh mengunjungi laman web www.SegKL.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: