Tuesday, February 8, 2011

Istimewanya Tanjung Tuan


BANYAK perkara berkaitan isu alam sekitar dapat dipelajari para peserta aktiviti merentas hutan.


KIRA-KIRA 20 orang wakil media dibawa oleh pihak penganjur RSH (Malaysia) Sdn. Bhd. menyusuri Hutan Lipur Tanjung Tuan di Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini untuk menikmati alam semula jadi di kawasan itu.

Perjalanan merentas hutan yang mengambil masa kira-kira dua jam itu bermula dari pintu masuk hutan yang terletak bersebelahan dengan pekarangan PNB Ilham Resort.

Kedatangan manusia disambut dengan bunyi-bunyian serangga dan sahutan unggas yang menjadikan hutan itu sebagai habitat.

Kedamaian dan kehijauan hutan tersebut ternyata mampu menghilangkan keresahan bagi mereka yang bekerja atau tinggal di kota yang sesak dan hingar-bingar.

Cabaran menuruni dan mendaki trek di lereng bukit jelas tidak terasa kerana wakil-wakil media tidak melepaskan peluang menikmati keindahan semula jadi di situ.

Pemandangan puncak

Perjalanan kami berakhir di Rumah Api Tanjung Tuan. Keletihan berjalan kaki terubat apabila dapat melihat pemandangan dari dataran puncak yang tidak mungkin dapat dinikmati di kawasan lain sekitar Port Dickson.


TANGGA terakhir yang perlu didaki sebelum sampai ke tapak rumah api.


Menurut Ketua Bahagian Komunikasi, Andrew J. Sebastian yang mengetuai lawatan di dalam hutan itu, Hutan Lipur Tanjung Tuan itu termasuk dalam Rizab Hidupan Liar Tanjung Tuan, Melaka.

Katanya, hutan itu juga merupakan tempat Perlindungan Hidupan Liar, Taman Laut Negeri Melaka.

“Hutan ini kaya dengan pelbagai alam fauna dan flora dan menjadi tempat persinggahan 300,000 ekor burung setiap tahun.

“Kira-kira 54 spesies burung menghuni hutan ini pada setiap kali musim penghijrahan iaitu sekitar awal bulan Mac,” jelasnya.

Tambahnya, ada saintis yang percaya Tanjung Tuan bertindak sebagai ‘jambatan’ bagi pengaliran baka flora dan fauna dari benua Asia ke Kepulauan Indonesia.

“Kawasan ini adalah dijadikan sebagai kawasan laluan yang sangat penting untuk perjalanan burung-burung migrasi dari benua Asia ke Kepulauan Indonesia,” ujarnya. Kawasan itu dikategorikan sebagai hutan bukit pantai yang seluas kira-kira 60.75 hektar itu.

Menurut Penolong Pengurus Besar RSH (Malaysia) Sdn. Bhd., Manish Sapra, jenama sandal dari Brazil, Ipanema Gisele Bundchen akan mendermakan RM3 untuk setiap sandal keluarannya yang terjual dari 20 Februari hingga 19 Mac ini kepada Tabung Hijau.


Bagi setiap sandal Ipanema edisi khas yang dijual dalam tempoh 20 Februari hingga 19 Mac nanti, sebanyak RM3 akan disumbangkan kepada Tabung Hijau.


Tabung tersebut menumpukan kepada usaha pemuliharaan Hutan Simpan Tanjung Tuan.

“Kerjasama antara Ipanema dengan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) mengambil kira status Hutan Lipur Tanjung Tuan yang merupakan hutan terakhir yang belum diterokai di barat Malaysia.

“Dana itu juga akan digunakan untuk menguruskan penjagaan berterusan hutan ini,” ujarnya.

Ipanema turut melancarkan sandal terbaru keluarannya itu di PNB Ilham Resort dengan menyasarkan golongan wanita dan kanak-kanak perempuan.

Sandal dijual pada harga yang bermula dari RM69.90 hingga RM99.90.

Koleksi sandal tersebut boleh didapati di Samba, Stadium, Studio R and Royal Sporting House.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: