Tuesday, February 15, 2011

Kaki berbau akibat peluh


SElalulah gunakan sabun antibakteria untuk membersihkan kaki. - Gambar hiasan


SESEORANG yang mengalami masalah kaki berbau busuk dan masam akibat peluh pastinya merasa malu, rimas dan gusar untuk melakukan aktiviti seharian.

Masalah yang dialami kebanyakan orang itu juga mampu membuatkan orang di sekiling mereka juga kurang selesa tambahan jika baunya terlalu kuat.

Bagaimanapun, penghidap masalah ini seringkali tidak mendapatkan rawatan atau kurang mengambil perhatian serius berhubung masalah itu.

Mungkin kerana mereka kurang pengetahuan bagaimana untuk menangani masalah itu, tidak memahami kesan buruknya dan malu bertemu doktor.

Pakar Perubatan Keluarga, Jabatan Perubatan Keluarga Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Kelantan, Dr. Nani Deraman berkata, masalah kaki berbau akibat peluh itu berpunca daripada banyak faktor.

Ujarnya, kebiasaan, masalah itu timbul akibat keadaan kaki terutama tapaknya yang lembap.

"Sesetengah orang mempunyai kulit kaki lembap, menyebabkannya mudah berpeluh dan dijangkiti bakteria yang menjadi punca kaki berbau.

"Bagi sesetengah orang pula, masalah ini berpunca daripada kaki, kasut atau stokin yang basah akibat terkena air tetapi tidak ditukar segera yang menyebabkan ia lembap dan berbau.

"Selain itu, individu yang kerap memakai kasut jenis tertutup lebih berisiko mendapat masalah berkenaan kerana kaki mudah berpeluh," katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Dr. Nani memberitahu, selalunya, pada peringkat awal, masalah kaki berbau akan menyebabkan gatal sebelum menjadi lebih teruk apabila ia dijangkiti kulat dan berair terutama di celah jari.

Katanya, masalah itu perlu diatasi segera di peringkat awal dengan berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan.

Menurut beliau, penghidap perlu sedar dengan kata-kata 'mencegah lebih baik daripada merawat' supaya tidak perlu menanggung kesakitan dan kepayahan.

"Bila bertemu doktor, mereka akan dinasihatkan memakai kasut terbuka atau mengelakkan punca masalah yang dikenal pasti.

"Doktor akan memberikan ubat krim sapu jika masalah itu pada peringkat awal dan krim sapu berserta pil makan sekiranya ia serius.

"Penghidap masalah kaki berbau juga dinasihatkan tidak membeli ubat-ubatan secara sendiri tanpa saranan daripada pegawai perubatan,'' ujar Dr. Nani.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: