
GAGAL dalam pelajaran tidak bermakna gagal dalam kehidupan. Kata-kata pujukan ini bukan sekadar hendak menyedapkan hati orang yang kecewa tapi memang terbukti benarnya.
Namun untuk berjaya dalam kehidupan, setiap individu sama ada wanita mahupun lelaki perlu tahu apa yang mereka mahukan dan berusaha ke arah tersebut.
Kisah kejayaan dua gadis berusia 21 tahun ini, Sia Wan Ying dan Rica Razali mungkin boleh dijadikan inspirasi kepada remaja yang masih tercari-cari apa yang mereka mahukan dalam kehidupan.
Dua anak gadis ini telah memanfaatkan peluang dan ruang yang diberikan oleh kerajaan untuk menggapai kejayaan.
Kesungguhan mereka terbukti apabila Wan Ying berjaya meraih pingat emas dari kategori terapi kecantikan dan Rica pula memenangi pingat perak pada kategori yang sama melalui Pertandingan Kemahiran ASEAN (ASC 2010) di Bangkok, Thailand, baru-baru ini.
Malah Wan Ying turut terpilih sebagai peserta terbaik Malaysia dan menerima anugerah berkenaan yang disampaikan Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva.
Memang membanggakan apabila Wan Ying dan Rica bersaing dengan 104 anggota delegasi yang terdiri daripada 25 peserta, 20 pakar, 15 jurulatih merangkap penterjemah dan 44 orang pegawai.
Malaysia telah mengambil bahagian di dalam 18 daripada 21 bidang kemahiran yang dipertandingkan.
Antara bidang-bidang yang disertai peserta dari Malaysia ialah elektronik, rambut lelaki dan perempuan, teknologi reka bentuk grafik, teknologi fesyen, mekatronik, teknologi automobil, terapi kecantikan dan banyak lagi.
Kejayaan Wan Ying dan Rica adalah bukti bahawa bidang terapi kecantikan boleh memberikan masa depan yang baik.
Memanglah 10 tahun dahulu bidang kecantikan adalah sesuatu yang bersifat peribadi dan hanya dibuat di rumah, tapi kini ia memerlukan khidmat mereka yang bertauliah dan terlatih.
Institusi kemahiran seperti Pusat Giat Mara dan beberapa pusat bertauliah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia juga kini menawarkan kursus dan latihan terapi kecantikan.
Wan Ying yang menetap di Cheras, Selangor bekerja sebagai Terapi Lilin dan pemegang diploma dalam bidang kecantikan terapi.
Dia yang masih bujang mempunyai hobi menari, melukis, mengembara dan membaca majalah bercita-cita menjadi pakar kecantikan.
Anak bongsu kepada pasangan Sia Han See dan Loo Geok Chin itu, pernah menyertai Pertandingan Kemahiran Peringkat Kebangsaan Ke-18 pada 2009 dan Pertandingan Kemahiran Peringkat ASEAN Ke-8 pada tahun lalu.
"Saya berasa bangga kerana berjaya mengharumkan nama negara di samping mendapat banyak pengetahuan dan pengalaman tentang terapi kecantikan yang tidak sama dengan negara lain.
"Saya amat berpuas hati dengan pencapaian saya setakat ini dan akan berusaha lebih gigih untuk mempamerkan yang terbaik di Pertandingan Kemahiran Peringkat Dunia di London, Oktober ini," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Wan Ying juga berharap dapat diberi peluang untuk berkerja di luar negara selama beberapa bulan untuk mendapatkan pengetahuan dan pengalaman yang lebih luas.
"Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi peluang kepada golongan muda menunjukkan bakat masing-masing walaupun tidak mempunyai kelulusan akademik yang hebat," katanya.
Sementara itu Rica yang berasal dari Gombak, Kuala Lumpur pernah menyertai Pertandingan Kemahiran Peringkat Kebangsaan.
Anak ketiga daripada enam adik-beradik itu pernah belajar kemahiran terapi kecantikan dan dandanan rambut di Pusat Giat Mara, Ampang Jaya.
"Saya berasa bangga pencapaian itu walaupun sekadar memperoleh pingat perak dan terima kasih kepada ibu bapa dan tenaga pengajar yang tidak jemu memberi dorongan kuat kepada saya selama ini," katanya.
Rica berjanji akan membuat jadual harian, memulakan latihan awal senaman untuk memastikan kesihatan sentiasa terjamin dan berusaha membiasakan diri ketika berada di tempat orang.
Menurutnya, dia diberitahu pada saat akhir bagi menyertai pertandingan itu dan hanya membuat persiapan dalam masa singkat. Rica menambah, seandainya diberi peluang menyertai pertandingan di peringkat dunia dia akan membuat persiapan awal dan memastikan pingat emas berada dalam genggaman.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: