Tuesday, February 15, 2011

MTAQSA unik dengan sukan sunnah


Mohammad Bokhari Shariff (kanan) menekankan pendidikan yang diterapkan terhadap sembilan anak-anaknya kepada pelajar MTAQSA.


DARIPADA catatan sirah, banyak digambarkan kepada kita tentang Nabi Muhammad SAW yang merupakan seorang insan yang sihat dan cergas. Yang pastinya, baginda sihat bukan kerana kerap ke gimnasium seperti orang sekarang tetapi sesungguhnya adalah melalui gaya hidup sihat Islami yang diamalkan Rasulullah sepanjang kehidupannya.

Malah daripada sebuah hadis riwayat Imam Bukhari, Rasulullah SAW ada menganjurkan para sahabatnya agar mampu menguasai sukan berkuda, berenang dan memanah.

Sukan-sukan itu suatu ketika dahulu hanya dikaitkan dengan golongan elit di Malaysia, berkemungkinan kerana kosnya yang tinggi berbanding dengan sukan-sukan lain yang jauh lebih popular di negara kita.

Bagaimanapun kini sukan yang dikira berprestij itu bukan sahaja disertai oleh golongan mewah atau berada tetapi ia semakin mendapat tempat di hati segenap lapisan masyarakat negara ini.

Menyedari ia adalah satu aktiviti riadah yang digalakkan Islam, bahkan amat sesuai untuk melahirkan generasi belia yang berdisiplin, tajam pemikiran, fokus dan berdaya saing, apatah lagi bagi memenuhi sunah Rasulullah, Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Shah Alam atau singkatannya, MTAQSA telah memperkenalkan tiga sukan utama ini. Ia seiring dengan perkembangan sekolah yang kini telah melepasi fasa lima tahun penubuhannya.

Menurut Pengetuanya, Mohammad Bokhari Shariff, bermula dengan lima orang pelajar di awal penubuhannya, kini MTAQSA telah mempunyai 67 pelajar termasuk sekolah rendah dan menengah yang beroperasi di tiga lot banglo di Seksyen 3, Shah Alam, Selangor.

"Misi kami di MTAQSA ialah melahirkan huffaz yang mahir akan isi kandungan al-Quran, berilmu, beramal dan bertakwa serta efisien tentang isi kandungan kitab suci al-Quran yang dapat memimpin masyarakat. Kami juga bermatlamat untuk melahirkan huffaz-huffaz yang mempunyai profesyen sebagai doktor, jurutera, arkitek, juruterbang dan sebagainya.

"Sebab itulah untuk mencapai matlamat ini, penekanan bukan sahaja kepada sistem MTAQSA iaitu gabungan integrasi tiga kurikulum atau tiga aliran pengajian iaitu al-Quran dan Qiraat, pengajian Agama Kurikulum Maahad Al Azhar (Bahasa Arab) dan pengajian Akademik KBSM (English/ Bahasa Melayu). Ketiga-tiga bidang ini berjalan serentak dan ia adalah sebuah sekolah berasrama penuh." katanya.

"Malah pihak maahad akui, walaupun kokurikulum yang disediakan memerlukan perbelanjaan yang agak besar namun kita akur dengan manfaat yang diperoleh menerusi sukan seperti berkuda, memanah, berenang. Ini tidak termasuk kelab beruniform, Kadet Tahfiz dan Kelab Falak kepada para pelajarnya," kata Mohammad Bokhari yang turut ditemani isteri, Salmiah Alias sepanjang sesi wawancara pada petang Jumaat lepas.

Uniknya lagi, Kelab Memanah MTAQSA adalah sebuah kelab memanah yang terbesar di Shah Alam serta pernah mewakili pertandingan ke peringkat negeri.

Sukan-sukan itu dipilih kerana dengan berkuda, seluruh anggota tubuh badan dari kepala hingga ke kaki, dari fizikal hingga mental akan mendapat manfaatnya.

Manakala daripada sukan memanah pula, ia dapat melatih emosi dan fizikal untuk meletakkan sasaran. Memanah melatih seseorang itu untuk lebih fokus. Secara tidak langsung, sukan ini melatih manusia bertenang dan menstabilkan emosi serta keyakinan diri.

Selain itu, perbuatan melenturkan anak panah di busurnya, kemudian melepaskannya perlu satu kekuatan fizikal.

Sukan itu juga satu latihan holistik kepada diri seseorang dari segi fizikal dan mental. Kelebihan dan faedah yang lebih kurang sama juga menerusi sukan berenang.

Mohammad Bokhari Shariff (kanan) menekankan pendidikan yang diterapkan terhadap sembilan anak-anaknya kepada pelajar MTAQSA.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: