BINCANG...Sainah dan Mohammad Faridbanyak berkomunikasi dengan pekerja mereka mengenai koleksi permaidani yang disediakan.
BERTITIK tolak daripada usaha menjual pisang goreng membawa kepada pembukaan kedai jahitan dan kini berkembang dengan penubuhan kedai permaidani, tidak ramai yang mengetahui segala pahit maung yang perlu dilalui pemiliknya.
Bagi Sainah Sabri, 36, dan suami, Mohammad Farid Idris, apa yang mereka tempuhi tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Keperitan dan jatuh bangun yang dihadapi selama ini hanya disertakan dengan tawakal dan kesabaran untuk terus berjaya.
Namun, pengalaman lalu itu dijadikan Sainah sebagai pendorong untuk terus melangkah ke hadapan.
"Saya tidak lagi menghiraukan kata-kata cercaan dan kejian orang kerana pada saya ia akan hilang mengikut waktu. Apa yang penting kini adalah memberikan yang terbaik untuk memajukan kedai.
"Saya akan cuba menghasilkan produk terbaru mengikut gaya fesyen terkini menerusi kedai pakaian kami tetapi pada masa sama, ia menutup aurat dan nampak sopan. Bagi saya sesiapa saja boleh bergaya walaupun tanpa perlu mendedahkan diri," katanya ketika ditemui di kedainya di Seksyen 9, Bangi, baru-baru ini.
Kedua-duanya yang menjawat jawatan sebagai kakitangan awam sebelum ini berasakan sesuatu perlu dilakukan untuk meningkatkan taraf hidup sendiri biarpun memiliki jawatan dan pendapatan tetap. Ini kerana cabaran hidup di bandar amat berlainan ditambah pula dengan bilangan ahli keluarga yang makin meningkat.Oleh itu, bermula pada 2002, mereka mula menceburkan diri dan berjinak-jinak dengan dunia perniagaan walaupun pada ketika itu hanya berniaga pisang goreng pada waktu petang.
Sainah berkata, waktu bekerja yang tetap membolehkan mereka menumpukan perhatian untuk melakukan kedua-duanya tanpa perlu mengabaikan salah satu kerja.
"Jika pagi bekerja, waktu petang akan diperuntukkan untuk berniaga dan ia menjadi rutin yang kami lakukan setiap hari.
"Tiada istilah penat dalam kamus hidup kami berdua kerana apa yang dilakukan adalah untuk kesenangan bersama, orang kata bersusah-susah dulu bersenang-senang kemudian," katanya.
Sementara itu, menurut Mohammad Farid pula, untuk menampung modal pusingan yang diperlukan dia juga melakukan kerja sambilan sebagai pemandu teksi.
Katanya, hasil yang diperoleh daripada kerja sambilannya itulah yang dikumpulkan sedikit demi sedikit bagi membantu perniagaan pisang gorengnya.
"Malah, disebabkan pekerjaan kami berdua ketika itu, ramai pelanggan terdiri daripada mereka yang mengenali kami dan ia memberikan kelebihan kepada kami untuk terus bertahan.
"Perasaan malu dan segan ditolak jauh-jauh kerana saya tahu apa yang dilakukan adalah untuk mendapatkan rezeki halal demi keluarga," katanya.
Selama dua tahun berniaga pisang goreng keuntungan yang dikumpulkan membolehkan Sainah membuka kedai jahitan kerana minatnya yang mendalam dalam bidang berkenaan.
Katanya, pandangan masyarakat sekeliling terhadapnya pernah membuatkannya berjauh hati dan hampir putus asa.
"Selepas membuka kedai jahitan kebanyakan masa saya tertumpu pada jahitan dan kurang bergaul dengan jiran hinggakan pernah dikategorikan sebagai orang tamak kerana terlalu komited pada kerja.
"Hati saya cukup terguris dengan pandangan serong berkenaan kerana mereka tidak mengetahui apa yang berlaku dalam keluarga kami.
"Pada luarannya masyarakat memandang kami sebagai berharta tetapi berapalah sangat pendapatan diperoleh dengan kerja sedia ada ditambah dengan kos sara hidup yang tinggi kini jika tiada usaha untuk memperbaikinya," katanya.
Bagaimanapun, kini kedai pakaian yang diusahakan di bawah nama Ainnur Collection makin mendapat perhatian umum dan ternyata usaha yang dicurahkan selama ini tanpa menghiraukan pandangan orang membuahkan hasil yang cukup membanggakan.
"Kini, saya mampu menarik nafas lega kerana segala penat lelah yang dicurahkan dengan bersengkang mata semata-mata untuk memberikan pelanggan hasil terbaik memang berbaloi.
"Saya tidak pernah berdendam dengan sesiapa yang tidak menyokong sebelum ini sebaliknya amat bersyukur kerana tanpa motivasi daripada mereka mungkin tiada saya di sini," katanya.
Malah, untuk mengembangkan lagi skop perniagaan mereka, pasangan terbabit mula membabitkan diri dengan perniagaan jualan permaidani yang kebanyakannya dimonopoli bangsa asing sebelum ini.
Walaupun baru beroperasi April tahun lalu, sambutan yang diperoleh amat menggalakkan kerana tidak ramai golongan Bumiputera menceburi bidang jualan permaidani seperti ini.
"Segala produk yang diperkenalkan mengikut standard yang ditetapkan bersesuaian dengan kehendak pelanggan malah, harga yang ditawarkan juga berpatutan.
"Saya sentiasa mendahulukan kehendak dan permintaan pelanggan dan seboleh mungkin mendapatkan produk yang diingini agar kepuasan pelanggan terjamin," katanya yang turut menyediakan laman web ainnur.urvip.biz.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: