Sesuai benar nama konsert sulungnya, Konsert Keunggulan 33 Tahun Francissca Peter di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 5 dan 6 Februari lalu. Memang Fran masih unggul dan selayaknya sudah lama diberi peluang mengadakan konsert. Namun apakan daya Fran kerana pada usia 50 tahun barulah peluang mengadakan konsert solo tercapai. Nasibnya baik kerana Istana Budaya membuka peluang kepada penganjur, Eye Design yang berusaha membawa Fran ke sana. Mungkin kerana menunggu sekian lama, membuatkan Fran begitu teruja menghiburkan peminat. Pada dua malam bererti itu Fran mengalunkan lagu-lagu balada yang kebanyakannya menggambarkan kesedihan hati wanita lara."Lagu-lagu hit Fran banyak yang sedih-sedihkan... anda suka mendengarnya kan?" kata Fran apabila terpaksa berterusan membuai rasa penonton. Fran mengimbau duka dan cinta dengan lagu-lagu sentimental Akulah Kekasihmu, Sekadar Di Pinggiran, Kau Lilin Cintaku, Diriku Terbelenggu, Mawar Terpinggir dan banyak lagi. Peminat sememangnya datang untuk mendengar alunan merdunya. Tak kiralah pentas tidak direka indah sekalipun. Ia bukan persoalan kerana mendengar lagu-lagunya sahaja membuatkan peminat cukup terhibur. Sebab itulah rata-rata penonton malam itu berusia lewat 30-an hingga lewat 40-an.Lagu-lagunya popular semasa peminat masih dibangku sekolah. Dua malam itu Fran membuaikan semula perasaan peminat. Ada juga peminat muda yang datang menemani ibu, termasuk penyanyi Dafi yang kelihatan menonton di sini ibunya. Fran mempersembahkan hampir kesemua lagu popularnya dimulakan dengan Ku Keudara Lagi, Kumenari Untukmu, Si Mata Merah, Aku Hanya Pendatang, Kerna Terpaksa dan Sepanjang Jalan Kenangan. Memandangkan Fran memperuntukkan sebanyak 33 buah lagu, ada segmen lagu-lagu medley dengan Andainya, Masih Belum Tamat, Kau Bintangku, Digenggam Sepi, Dia, Biarpun Segenggam Harapan, Semalam dan Keyakinan Diri. Semasa mahu mempersembahkan lagu Aku Kehilanganmu, Fran membuka kisah duka perja lanan hidupnya. Fran membuat pengakuan di hadapan peminat yang dia dan suami sudah berpisah pada tahun 2009."Jangan sedih, sebab saya okey sahaja," kata Fran sebelum menyanyikan lagu itu dengan penuh perasaan. Fran tidak ketinggalan membawa rakan duetnya Royston Sta Maria yang kini bermastautin di Perth, Australia untuk segmen lagu-lagu duet kenangan mereka. Roy & Fran adalah pasangan duet sensasi era 80-an. Sebagaimana dulu, Roy menyanyi sambil bermian piano. Mereka mengimbau nostalgia lagu-lagu Bersama Pertemuan Ini, Siapa Dia Sebelum Daku dan Tak Kenal Maka Tak Cinta. Sungguh nostalgik segmen tersebut, tak sia-sia Fran membawa pulang rakan duetnya kali ini. Fran pernah merakam album Inggeris yang menjurus kepada muzik jazz. Dalam segmen jazz Fran menyanyikan lagu-lagu It Don't Mean A Thing If It Ain't Got The Swing, Lover Man, Miror Mirror, Tomorrow, Moment You Came Into My LIfe dan beberapa lagi. Kalau segmen utama diiringi orkestra di bawah pimpinan Datuk Ramli MS, segmen jazz hanya menampilkan kuartet jazz. Peminat muzik jazz pasti terhibur dengan segmen ini. Namun bagi yang tak biasa mendengarnya, segmen tersebut sempat menimbulkan rasa bosan. Kalau ia dipendekkan setakat tiga lagu mungkin emosi penonton tidak sempat terganggu. Fran juga mengundang Imran Ajmain menyanyikan lagu Kehebatan Cinta yang dipopularkannya bersama Jamal Abdillah. Fran dan Imran juga bekerjasama merakam lagu baru Tiada Gementar Lagi yang dipersembahkan pada malam itu. Single barunya akan diputarkan di corong radio tidak lama lagi. Ada yang tanya dari mana datangnya suara merdu Fran yang masih bertenaga dan merdu seperti dulu. Mampukah penyanyi baru hari ini kekalkan momentum sebagaimana Fran dan rakan seangkatannya yang masih hebat kalau diberi peluang mengadakan persembahan? |
Monday, February 7, 2011
Fran masih unggul
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: