Monday, February 7, 2011

Bebas sendiri

Mas Muharni
Mas Muharni
Mas Muharni terus intai peluang kukuhkan nama dalam dunia seni

BIARPUN dirinya dilihat antara pelakon wanita masa kini yang hadir ke dunia seni dengan pakej hampir lengkap, namun ia nampaknya belum menjamin Mas Muharni untuk dikenali sepenuhnya oleh pengikut setia dunia hiburan tanah air. Paparan mengenai diri dan kariernya di media massa masih lagi dianggap kurang, berbanding beberapa artis lain.Mas atau nama sebenarnya Mas Normuharni Sheikhah Mohd Sattar, 25 tahun, yang sudah tiga tahun berkecimpung di dalam bidang lakonan seakan masih mencari-cari ruang untuk memperlihatkan kemampuan sebenar, seterusnya mengajak peminat untuk mengenali dirinya dengan lebih dekat lagi.
Malah, selepas menjadi teraju utama dalam filem Wayang, akibat kurang publisiti mengenai dirinya, membuatkan gadis yang berasal dari Sungai Petani, Kedah ini tidak berapa menonjol biarpun lakonannya dalam filem arahan Hatta Azad Khan dilihat memberangsangkan.

Namun begitu, Mas tidak mudah patah semangat. Sebaliknya sedikit demi sedikit dia mengatur langkah demi mengejar impian bergelar anak seni yang dihormati, dek bakat yang dikurniakan Tuhan itu.

Ketika ini pun, ada saja uji bakat yang dihadirinya, bagi memastikan perjalanannya dalam dunia seni dicintainya itu tidak terhenti. Apatah lagi sejak dirinya mula bergerak sendiri pada tahun lalu, semuanya kini harus dilakukan tanpa bantuan pihak lain.

Jika sebelum ini dia agak selesa bernaung di bawah syarikat Metrowealth Movies Production atau MIG, namun kerana keinginannya untuk mencuba nasib menguruskan sendiri karier yang boleh dikatakan masih baru, dia mengambil keputusan keluar daripada syarikat terkenal milik produser kental, David Teo itu.
Bukan tidak bersyukur dengan rezeki yang diperoleh ketika bersama MIG, namun Mas juga mempunyai keinginan mencuba angin baru. Dia tidak akan melupakan jasa syarikat penerbitan itu yang sebenarnya banyak membantu.

Dia juga tidak malu untuk mengaku, tawaran yang datang kepadanya ketika ini tidak selebat mana, namun dia berkeyakinan semua itu akan berubah sedikit masa lagi. Undangan berlakon daripada syarikat penerbitan drama dan filem sentiasa dinanti kerana itulah juga punca rezeki wanita muda ini.

"Mungkin sebahagian daripada produser di luar sana masih menganggap Mas berada di bawah pengurusan MIG, maka mereka agak ragu-ragu untuk menjemput Mas berlakon. Untuk pengetahuan semua, Mas kini sudah bergerak sendiri. Mas tidak lagi terikat dengan mana-mana syarikat, seperti mana sebelum ini," ujarnya ketika berkunjung ke Balai Berita, baru-baru ini.

Pelakon filem Mantra dan Jangan Pandang Belakang Congkak ini turut berasakan, kehadiran ramai bakat baru yang tidak kurang hebat dari segi bakat dan penampilan, sedikit sebanyak perlu membuatkan dia bimbang. Jika dia terlalu leka, penerbit mungkin mula terlupa kehadirannya dalam arena seni.

"Menyedari hakikat itu, Mas kena lipat gandakan usaha supaya bakat Mas tidak terkubur begitu saja, sebaliknya dapat dilihat oleh pengarah mahupun penerbit kita di luar sana," katanya.

Idam watak jahat

PELAKON yang dicalonkan dalam kategori Pelakon Wanita Harapan pada Festival Filem Malaysia ke-21 ini juga enggan mendabik dada, walaupun keupayaannya dalam lakonan pernah dipuji. Dia tetap melihat dirinya cukup baru dalam bidang itu, membuatkan keazaman untuk mempertingkatkan lagi kemahiran semakin membuak dalam diri.

"Ketika diri kita masih baru dan segar dalam industri, ketika inilah kita kena rajin bekerja untuk memperbaiki lagi persembahan sama ada dalam lakonan drama mahupun filem.

"Begitu juga banyak lagi peranan yang ingin Mas cuba, dalam usaha meningkatkan kebolehan. Setiap watak yang diberikan mempunyai cara lakonan berbeza, kerana itulah Mas mahu terus berpeluang beraksi demi mempelbagaikan lagi kemampuan ini," kata Mas yang tetap percaya, mutu lakonan ialah perkara asas yang akan menonjolkan nilai sebenar seseorang anak seni, seterusnya mencipta kejayaan, bukan kesempurnaan lahiriah mahupun kontroversi.

Ditanya apakah watak idamannya, Mas yang mengagumi lakonan Ogy Ahmad Daud dan Sheila Rusly ini tanpa sangsi berkata, dia terlalu mengidamkan peranan antagonis.

Amat difahami, kerana selama ini wanita berkulit cerah terbabit sering kali diserahkan dengan watak wanita baik atau remaja sekolah. Justeru, dia masih tercari-cari watak yang mampu mencabar kemampuannya sebagai pelakon.

Mengimbau detik pembabitannya dalam lakonan, Mas memberitahu, sebaik saja dia diamanahkan menyempurnakan watak utama dalam Wayang, saat itu suntikan minat terhadap bidang terbabit bagai tidak dapat disangkal lagi.

"Sedangkan, sebelum itu Mas langsung tidak mempunyai minat di dalam bidang ini.
Namun, selepas digandingkan bersama pelakon hebat seperti Eman Manan, Ida Nerina dan Zul Huzaimy, Mas mulai berjinak-jinak dalam industri seni ini.

Wayang menjadi titik tolak keazaman Mas untuk kekal bertahan dalam arena seni tanah air," tutur pelakon yang bakal tampil bersama filem baru, Senario Ops Pocot tidak lama lagi.

Graduan Diploma Seni Persembahan UiTM Shah Alam ini juga aktif dalam lakonan teater dan pernah terbabit dalam persembahan teater Siti Di Alam Fantasi dengan memegang watak Bayan, tahun lalu. Malah dia turut berhasrat kembali mengasah bakat di pentas teater, jika berkesempatan berbuat begitu.

Sebelum ini, Mas bergelar penari kebudayaan Petronas dan sering mengadakan persembahan di dewannya yang terkenal itu.

Selain lakonan, gadis manis ini turut menyatakan minatnya dalam bidang peragaan, namun disebabkan ketinggiannya yang kurang mengizinkan, Mas memendamkan saja keinginan itu.

Antara drama lakonan Mas sehingga kini ialah Jangan Pandang Belakang, Embun Mutiara, Naik Hantu, Mama Murai, Legasi 43 Karat, Diva-Diva Pencen dan Fantasi Cinta Teruna.

INFO

NAMA: Mas Normuharni Sheikhah Mohd Satar
UMUR: 25 tahun
TARIKH LAHIR: 8 September 1986
ASAL: Sungai Petani, Kedah
KERJAYA: Pelakon
DRAMA: Fantasi Cinta Teruna, Jangan Pandang Belakang, Embun Mutiara, Naik Hantu, Mama Murai dan Diva-Diva Pencen.
FILEM: Wayang, Jangan Pandang Belakang Congkak, Mantra dan Senario Ops Pocot!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: