Tuesday, February 8, 2011

Tanda aras baru Aizat


AIZAT menerima kejutan daripada keluarganya apabila mereka membawa kek bagi meraikan hari lahirnya yang ke-22 pada 21 Januari lalu.


MEMANG tidak keterlaluan dikatakan, penyanyi dan komposer muda popular, Aizat merupakan bakat kelahiran Akademi Fantasia (AF) yang paling berjaya setakat ini.

Biarpun tersingkir di minggu ketujuh pada AF musim kelima, nampaknya itu bukan satu halangan buat Aizat untuk meneruskan kesinambungan seninya.

Kejayaan yang dimilikinya hari ini telah berjaya meletakkan Aizat sebagai anak seni generasi baru yang mampu bertahan lama dalam industri.

Bakat besar Aizat tidak hanya terletak kepada kemampuannya menyanyi dengan baik tetapi dia juga cemerlang sebagai komposer dan penulis lirik.

Di awal kemunculannya ketika dia masih memiliki bentuk badan yang comel, dia pernah dikritik hebat oleh sesetengah pihak.

Namun, kini semuanya berubah apabila mereka kini dapat menerima kehadiran Aizat hanya selepas dia mula meraih perhatian yang cukup meluas dan meledak dengan lagu Hanya Kau Yang Mampu.

Lempar apa sahaja kata-kata nista kepada Aizat, namun, sebagai anak muda yang memiliki aspirasi dan cita-cita yang tinggi, itu bukan satu kudis untuknya meneruskan kariernya sebagai seorang artis.

Apabila Aizat mengumumkan mahu menganjurkan konsert mininya sendiri di bawah syarikat milik keluarga, Kasi Gegar Entertainment (KGE), ramai juga yang mencebik dan memandang sinis kepada Aizat.

Kata mereka, Aizat pastinya tidak mempunyai sebarang masalah terutama dari segi kewangan untuk merealisasikan konsertnya sendiri.

Apatah lagi, kata mereka, persembahan Aizat tempoh hari bukanlah persembahan yang berada dalam skala sebuah konsert.

Di sebalik kata-kata sinis itu persembahannya menerusi Urusan Aizat Amdan - Live In Damansara tempoh hari telah membuktikan bahawa pengaruh pemilik nama penuh Muhammad Aizat Amdan itu memang cukup kuat ketika ini.

Sesak Auditorium Bentley di Wisma Bentley, Damansara dengan kehadiran lebih daripada 700 peminat Aizat yang mahu menikmati persembahannya pada malam itu.

Tepat pukul 8.45 malam, Aizat memulakan konsert mininya dengan lagu Years From Now dan diikuti tiga lagu lain iaitu Mana Oh Mana, Senyum dan Erti Hari Ini yang merupakan lagu-lagu ciptaan Aizat bersama abangnya, Anas yang terkandung dalam album keduanya, Urusan Aizat Amdan.

Menariknya, untuk lagu Erti Hari Ini, Aizat telah mengundang tiga orang anak saudaranya iaitu Nur Nadia Roslynna, Nur Arysa Qistina dan Nuris Aqilah untuk mengiringi persembahan.

Aizat tidak perlu berbual panjang di atas pentas kerana muzik dan nyanyiannya sahaja sudah cukup untuk menghubungkan dirinya dengan penonton yang merasai cerita yang ingin disampaikan menerusi setiap lagu-lagunya.

Ditunjangi tujuh pemuzik profesional termasuk abangnya, Anas, selaku pengarah muzik dan diiringi lapan pemain strings telah menjadikan konsert mini Urusan Aizat Amdan - Live In Damansara sebuah persembahan yang menghiburkan.

Meneruskan persembahan, Aizat menyampaikan lagu Fikirlah yang dipetik dari album perdananya, Percubaan Pertama sebelum menyanyikan lagu Susun Silang Kata yang kini menjadi siulan ramai selepas lagu itu dipilih sebagai lagu tema drama bersiri, Tiramisu.

Adalah menjadi satu kesalahan besar seandainya lagu keramat Aizat iaitu Hanya Kau Yang Mampu tidak dinyanyikan dalam mana-mana persembahannya.

Tidak perlu disuruh, para peminatnya termasuk tetamu kehormat iaitu dua diva tersohor negara, Datuk Sharifah Aini dan Datuk Siti Nurhaliza turut menyanyikan lagu indah itu.

Biarpun lagu seterusnya, Cintai Diriku merupakan lagu yang sedikit asing pada pendengaran penonton, Aizat kagum dengan sesetengah peminatnya yang menghafal dan menyanyi bersamanya menerusi lagu itu.

“Tidak sangka pula ada yang tahu lagu itu. Terima kasih banyak-banyak. Terharu saya apabila melihat anda menyanyi dan menghafal lagu itu,”kata pemuda berusia 22 tahun itu.

Persembahan Aizat pada malam itu juga menyaksikan penampilan bersama penyanyi rap dan hip hop popular, DJ Fuzz menerusi lagu Di Mana Pun Engkau Berada. Lagu itu dimuatkan dalam album terbaru DJ Fuzz berjudul Mixology 3.

Malam yang dingin itu tiba-tiba bertukar hangat apabila Aizat menyampaikan pula karya popular ciptaannya, Lagu Kita dengan penuh emosi. Ternyata penghayatan penyandang gelaran Vokal Lelaki Terbaik Anugerah Industri Muzik Ke-16 (AIM16) ini untuk lagu itu antara yang terbaik pada malam persembahannya.

Sebuah lagi lagu dendangannya yang merupakan pemenang Anugerah Juara Lagu Ke-24 iaitu Pergi juga antara hidangan wajib pada persembahannya yang juga menyaksikan Aizat melontarkan emosinya sepenuh jiwa.

Untuk melengkapkan lagi lagu Sungai Lui, Aizat turut menjemput finalis AF6, Toi bagi mengiringinya untuk lagu yang semakin popular di corong radio itu.

Persembahan Aizat tidak berakhir di situ apabila dia tampil membuat kejutan dengan menyampaikan lagu Perpisahan yang pernah disampaikan sewaktu di AF5.

Seperti mana kecemerlangannya menyampaikan lagu nyanyian asal Anuar Zain itu ketika di AF5, begitu juga bisanya yang masih lagi menyengat ditangan Aizat biarpun sudah empat tahun berlalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: