Sunday, February 20, 2011

Batik Malaysia indah & versatil


BATIK kemeja lelaki yang diberi nafas baru.


Busana fabrik batik dan tenun berpotongan moden serta tradisional yang diberi nafas baru tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan kerancakan fesyen global.

Lahirnya pereka-pereka fesyen batik tempatan yang menghasilkan rekaan menggunakan elemen moden dan tradisional memeriahkan lagi perkembangan fesyen batik.

Namun bagi setiap pereka fesyen bermotifkan batik, perkara pertama sering ditanya kepada mereka ialah apakah kelainan yang diketengahkan.

Ini kerana peminat batik mahu mencari kelainan, elemen kreatif, segar dan unik serta nilai estetika yang ditampilkan dalam setiap rekaan mereka.

Batik juga mendapat permintaan tinggi dan menyaksikan saingan sengit di kalangan pengeluar batik dalam usaha menghasilkan corak yang menampilkan kelainan bagi menarik perhatian pengguna terutama yang mahukan rekaan lebih eksklusif.

Perkembangan ini membantu pembukaan butik batik yang melahirkan pelbagai rekaan mengikut peredaran masa dan cita rasa pengguna.

Kini tidak sukar memilih pakaian bersesuaian kerana banyak butik menawarkan rekaan batik menawan.

Namun, bagi butik yang mementingkan kehendak pelanggan, pastinya aspek fesyen terkini diambil kira.

Di butik Seri Jemari Songket (SJS) misalnya, pereka mengilham kreatif batik khusus untuk melengkapi gaya moden kontemporari masa kini.

Menterjemah gaya batik untuk disesuaikan dengan kehidupan moden, SJS mengetengahkan identiti batik asli menerusi potongan kurung moden, jubah seluar serta blaus.

Bersesuaian dengan permintaan pelanggan yang gemarkan rekaan moden, himpunan koleksi SJS banyak menterjemahkan gaya pakaian untuk remaja yang inginkan gaya eksklusif untuk ke majlis-majlis.

Tidak ketinggalan, butik ini memberi ilham kepada golongan wanita untuk bergaya ke tempat kerja. Gaya kurung dan kebaya batik dengan padanan kontemporari untuk gaya ke pejabat. Bukan saja sesuai untuk gaya sederhana ke pejabat, busana butik ini nampak berseri jika disesuaikan untuk ke acara luar pejabat dan bertemu pelanggan.

SJS mengetengahkan keindahan serta keunikan menjadi seorang wanita melalui kecantikan yang terserlah dengan penggunaan warna corak rekaannya.

Rata-rata rekaan SKS menonjolkan corak flora dan fauna di Malaysia yang amat indah.

Sementara itu, rekaan kemeja batik untuk golongan muda menggunakan motif abstrak dan ringkas sesuai digayakan untuk majlis siang dan malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: