![]() |
| |
RAMAI daripada kita tahu bahawa ikan lumba-lumba atau dolfin merupakan haiwan yang kedua paling pintar di dunia selepas manusia dan mempunyai otak yang mampu memproses pelbagai perkara dengan kepintaran tinggi.
Disebabkan kepintaran itu jugalah menyebabkan saintis begitu teruja dan berminat untuk mengkaji mamalia akuatik tersebut dan sering memberikan ganjaran makanan ikan apabila haiwan itu mampu melakukan pelbagai aksi yang diajar.
Bagaimanapun, saintis tingkah laku haiwan kini menjalankan kajian lebih mendalam terhadap haiwan itu dengan berusaha melakukan komunikasi dua hala dengan dolfin liar di laut bebas - satu usaha yang pertama kali diadakan.
Dr. Denise Herzing dan rakan-rakannya yang menjalankan Projek Dolfin Liar di Jupiter, Florida, Amerika Syarikat menggunakan cara komunikasi primitif seperti bunyi, simbol dan alat permainan.
"Banyak kajian komunikasi dengan dolfin sebelum ini dilakukan di dalam kolam atau pusat pemeliharaan dengan menggunakan umpan ikan sebagai ganjaran tetapi jarang berlaku dolfin liar ingin berkomunikasi dengan kita," kata Dr. Herzing kepada Wired.com.
Kajian itu tertumpu kepada keinginan dolfin dan manusia untuk menggunakan alatan seperti bola atau kain selendang yag dijadikan subjek komunikasi.
Untuk tujuan tersebut, satu papan kekunci besar dibina di dalam laut yang mana ia diwarnakan dengan pelbagai simbol.
Dolfin-dolfin itu diajar oleh penyelam bagaimana untuk menekan butang-butang di papan kekunci yang diletakkan di dalam laut.
Apabila dolfin menekan sesuatu kekunci pada papan tersebut dengan hidungnya, penyelidik akan membaling alatan yang berkaitan ke dalam air.
Begitu juga, jika haiwan itu bersiul dengan sesuatu bunyi tertentu, alatan berkaitan juga akan dibaling ke dalam air.
Keadaan ini membentuk satu komunikasi antara ikan-ikan tersebut dengan saintis dalam kajian yang telah dilaksanakan sejak tiga tahun lepas.
Kajian itu mendapati dolfin mampu memahami perbezaan antara kenyataan dan soalan, konsep tiada atau tidak hadir dan juga beberapa perkataan yang membentuk ayat.
Kajian mengenai bunyi dolfin pula membolehkan saintis mengetahui bunyi yang dikeluarkan oleh ikan dewasa mempunyai maklumat tertentu.
Siulan
Bagaimanapun, bunyi siulan dari anak-anak ikan yang kecil tidak membawa apa-apa maksud seperti juga bayi manusia yang hanya suka membebel.
Kajian itu mendapati ikan jantan muda kurang minat berinteraksi dengan manusia tetapi sebaliknya ikan betina muda sangat berminat dengan permainan itu.
Dr. Herzing berkata, mungkin juga keadaan itu berlaku kerana ikan-ikan betina itu menggunakan masa yang ada untuk bermain-main sebelum sibuk apabila menjadi ibu.
Sesi kajian tersebut mencatatkan kejayaan yang membanggakan bagi saintis tersebut yang dengan perlahan berjaya membuat hubungan mata dan meniru gaya pergerakan masing-masing.
Ketika kajian, saintis dan dolfin liar tersebut telah berinteraksi dengan baik sehinggakan mereka akan berenang bersama-sama, meniru perbuatan masing-masing dan membuat hubungan mata.
Keadaan ini juga sama seperti komunikasi antara manusia yang kadang kala hanya menggunakan bahasa isyarat badan atau mata.
Selain daripada menjalankan kajian dengan ikan lumba-lumba jenis dolfin spotted, pasukan penyelidik itu juga berusaha bermain dengan spesies lain seperti dolfin bottlenose.
Di dalam kehidupan liar dolfin, ikan-ikan tersebut mampu berkomunikasi antara pelbagai spesies dan keakraban mereka terlihat sehingga sanggup berkongsi tugas menjaga anak.
Kajian saintis di Florida itu juga mendapati sememangnya dolfin mempunyai bahasa mereka sendiri dan mereka tidak menolak kemungkian bahawa ‘bahasa’ itu boleh digunakan untuk mengkaji bahasa makhluk asing.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: