Monday, February 14, 2011

Angsa hitam terjemahan Faizal



REKAAN gaun koktel koleksi Little Black Swan dengan renda hitam yang mempesonakan.


FILEM Black Swan, yang meletakkan aktres Natalie Portman dan Mila Kunis sebagai pendokong watak utamanya kini mencipta fenomena antarabangsa. Berkisarkan sisi gelap dunia persaingan penari balet, karya sutradara Darren Aronofsky itu menerima 12 pencalonan pada Anugerah Critics Choice pada tahun lalu.

Kejayaan terbesar itu sekali gus melayakkan Black Swan disenaraikan dalam persaingan merebut anugerah Oscar yang bakal berlangsung pada 27 Februari ini.

"Plot dan lakonan mantap barisan pelakon Black Swan cukup dramatik terutama lakonan Natalie yang memberi kesan mendalam kepada saya. Dia bukan saja bijak bermain dengan emosi malah penampilannya yang anggun memukau pandangan mata," ujar pereka dan perunding fesyen, Faizal Hamid.

Menurutnya, daripada filem itu dia mendapat ilham untuk menghasilkan koleksi fesyen yang lahir daripada perspektifnya sendiri.

"Ini termasuklah, menamakan rekaan ini dengan nama Little Black Swan," jelasnya mengenai koleksi terbarunya itu untuk musim panas/bunga 2011, kepada Stailo.

Faizal yang merupakan pensyarah di Jabatan Fesyen, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor, memberitahu, koleksi Little Black Swan terdiri daripada gaun koktel dan malam dalam rekaan eksklusif. Ia disasarkan untuk pasaran di New York, Amerika Syarikat (AS).


FAIZAL HAMID (duduk) menghasilkan koleksi Little Black Swan selepas mendapat permintaan yang menggalakkan daripada teman-temannya di New York.


"Sejujurnya saya hasilkan koleksi ini atas permintaan rakan-rakan yang menetap di New York. Setakat ini, Little Black Swan, paling dekat di hati saya kerana ia merupakan luahan rasa saya sebagai pencinta fesyen tegar," kata Faizal yang pernah berkerja di Paris dan New York di bawah penyeliaan pereka fesyen antarabangsa.

Bicara lanjut mengenai fabrik yang digunakan, graduan Sarjana Seni Persekitaran (Fesyen), Universiti Syracuse, AS itu menyatakan bahawa keanggunan koleksinya diserlahkan pengolahan fabrik sutera sifon, shantung, organza, tafeta dan tulle.


SELAIN fabrik shantung, Faizal Hamid turut menggunakan menghasilkan busana daripada fabrik sutera sifon, organza dan tafeta.


Pada masa yang sama, koleksi rona hitam itu turut menggabungkan elemen garisan, tekstur, lipatan (draping), ilusi dan semi couture. Tujuannya adalah untuk menyuntik elemen segar, rekaan kontemporari yang anggun, sofistikated dan sempurna.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: