Monday, February 14, 2011

Buku mewakili diri


AZLI mahu menjadikan bukunya sebagai perantara antara dirinya dengan masyarakat umum.


SEJAK di bangku sekolah, dia sudah minat menonton rancangan masakan di televisyen dan gemar menelaah majalah-majalah masakan.

Kecenderungannya tidak hanya tamat di situ, malah Azli Razali mendedahkan pernah menjalankan eksperimen membuat kek dengan menggunakan bahan yang sedia ada di dapur rumahnya.

“Eksperimen pertama saya adalah membuat kek yang dicampurkan dengan jeli. Adunan kek itu pada mulanya kelihatan sedap, tetapi selepas siap dibakar, jeli yang saya campurkan itu cair dan kek saya tidak menjadi.

“Ketika itu, saya tinggal dengan nenek. Bagi mengelakkan kena marah, saya ambil kek itu dan bagi ayam makan,” katanya sambil diiringi tawa.

Masih ingin terus mencuba, tidak lama selepas kejadian itu, Azli berjaya membuat sebiji lagi kek yang berasaskan jagung ciptaannya sendiri dan keenakan kek itu menjadi pembakar semangat baginya untuk bergelar seorang chef.

Justeru, dia mula menanam azam dalam diri untuk terlibat dalam seni kulinari sebagai kerjayanya.

Melanjutkan pengajian

Dengan kesungguhan yang sarat untuk menjadi seorang chef, jejaka kelahiran Kluang, Johor itu berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Dungun, Terengganu dengan memilih jurusan Diploma Latihan Chef.


Kegagalan memasak kek jagung sentiasa membakar semangat Azli untuk terus berjaya.


“Selepas tamat belajar, saya sempat bekerja di beberapa buah hotel terkenal untuk mengasah kemahiran saya di peringkat yang lebih tinggi.

“Antara hotel tersebut ialah Palace of Golden Horses, Seri Kembangan dan Shangri-La’s Rasa Sayang Resort and Spa di Pulau Pinang,” tuturnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Ilmu di dada dipadatkan lagi apabila dia mengambil keputusan untuk melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Perkhidmatan Makanan di UiTM Shah Alam selama dua tahun.

Disebabkan cinta yang terlalu mendalam dalam bidang masakan, pemuda berusia 34 tahun itu memohon biasiswa Tenaga Pengajar Muda dari UiTM untuk melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sains Makanan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi.

“Pada tahun 2008, saya telah menyertai sebuah program realiti memasak iaitu Maggi Mencari Bintang. Tidak disangka-sangka, saya telah dinobatkan sebagai juara dalam rancangan tersebut

“Kemenangan itu antara pengalaman yang manis dalam hidup saya dan berbaloi juga saya menyertainya,” katanya yang kini bertugas sebagai pensyarah di UiTM Pulau Pinang dalam jurusan seni kulinari.

Walaupun sudah mempunyai tugas hakiki yang mampu menjamin masa depan, Azli yang bangga dengan gelaran empat huruf di hadapan namanya itu tidak mahu mensia-siakan kelebihannya. Dia kini sudah boleh tersenyum bangga dengan dua buah buku masakannya iaitu Keenakan Pencuci Mulut (2009) dan Resipi Ringkas (2010) terbitan Sky Publishing House.

Sebanyak 82 resipi pencuci mulut boleh didapati dalam buku Keenakan Pencuci Mulut, manakala Resipi Ringkas pula mengajak pembaca mencuba sebanyak 76 resipi ringkas yang hanya memerlukan lima ke enam bahan untuk satu sajian lengkap.


AZLI berpengalaman bekerja di beberapa buah hotel lima bintang sebagai chef.


Baginya, memiliki buku masakan sendiri merupakan satu kepuasan dan pada masa yang sama menjadi satu platform baginya mempamerkan kebolehan diri untuk dikongsi dengan masyarakat.

“Bagi saya, bila sudah ada buku sendiri, tahap keyakinan masyarakat kepada saya mungkin lebih baik. Selain itu, buku-buku saya secara tidak langsung menjadi pengantara saya dengan masyarakat di luar sana,” katanya yang gemarkan sajian masakan kampung.

Ternyata pengorbanannya berulang alik dari utara ke selatan tanah air selama ini membuahkan hasil.

Kepada yang ingin mendapat maklumat lanjut berkaitan masakan, Azli Razali turut

boleh dihubungi melalui blog

dan laman facebook iaitu azlirazali.blogspot.com dan www.facebook.com/Azlirazali atau e-mel azlirazali77@yahoo.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: