Monday, February 14, 2011

Matlamat Diddy seiring penampilan




SENYUMANNYA manis umpama secawan kopi putih yang terhidang di meja kami pada pertemuan pagi itu. Butir bicaranya cukup berisi, santun dan berhemah.

Sesekali dia menghirup kopi untuk membasahkan tekak yang kering dek terlalu galak bercerita tentang perihal dirinya dulu dan kini.

Daripada kisah zaman remaja, dia beralih pada kenangan sebagai pelajar jurusan Diploma Pengurusan Perniagaan di Kolej Uniti, Port Dickson, Negeri Sembilan. Dia kemudiannya rancak berbicara tentang penglibatan dalam bidang seni, keseronokan menamatkan zaman bujang dan seterusnya tentang kehebatan anugerah setelah bergelar bapa.

"Transisi kehidupan saya amat mengujakan. Saya gembira dan bersyukur kerana berpeluang menikmati setiap fasa perubahan sebaik mungkin. Pada masa yang sama, saya berhati-hati menyusun langkah dan membuat keputusan," tutur penyanyi dan pelakon, Diddy Hirdy, 25, ketika ditemui Stailo di gedung Pavilion Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Diddy mengakui bahawa dia tidak pernah menyesal apatah lagi berasa kecewa kerana tidak mempunyai kawan baik sewaktu menuntut di sekolah menengah dahulu.

"Had pergaulan bersama rakan-rakan hanya di sekolah. Jejak saja kaki di luar pagar sekolah, teman baik saya ialah buku dan ilmu," tambahnya.

Bukan menyombong atau memilih kawan, namun si empunya nama sebenar, Syamsul Hirdi Muhid, itu lebih selesa membiarkan dirinya sibuk dengan agenda mengulang kaji pelajaran dan menghadiri kelas tambahan.

Semua itu diutamakan lantaran Diddy cukup mengerti bahawa zaman remaja merupakan tempoh yang menentukan hala tuju dan masa depan seseorang. Dia tidak mahu dirinya lalai dengan perkara tidak berfaedah.

Tanpa segan silu, peserta Akademi Fantasia musim keempat (AF4) itu memberitahu, gara-gara dirinya bagaikan ulat buku dan sentiasa tampak nerd (seseorang yang bijak namun tidak pandai bersosial dan penampilan tidak menyerlah), menyebabkan segelintir rakan pelajar perempuan enggan mendekatinya.


KULIT wajah Diddy bertambah baik sejak menggunakan produk Clinique selama empat tahun.


Watak picisan

Laksana watak picisan yang sering dipinggirkan dalam cereka remaja popular, Diddy tampil ke sekolah dengan rambut yang disisir rapi menggunakan gel, memakai cermin mata, membawa beg besar dan mengepit buku.

"Mereka menggangap saya ini membosankan. Tidak seperti rakan lelaki lain yang bijak bersosial dan hadir ke sekolah dengan stail rambut, kasut dan beg sekolah yang trendy. Saya pula sebaliknya, dari hujung rambut hingga hujung kaki, sekadar kemas saja.

"Sudahlah tidak bersosial, malah saya langsung tidak aktif dalam bidang sukan dan kebudayaan walaupun sejak kecil lagi minat menyanyi. Fokus utama saya hanya mahu belajar. Sebab itu, ramai yang terkejut apabila saya menyertai AF," ujar Diddy yang terdorong tampil kemas dan pembersih disebabkan asuhan arwah bapanya, Muhid Leman.

Namun, jelas anak kelima daripada enam orang adik-beradik itu, sejak melibatkan diri dalam bidang seni, sedikit demi sedikit dia belajar cara berfesyen yang lebih bergaya dan memilih pakaian mengikut trend semasa.

Biarpun pada waktu santai dia lebih selesa dalam persalinan seluar jean dan berbaju T, tetapi untuk persembahan pentas dan sesi fotografi, Diddy akan memilih pakaian rona terang dengan rekaan dan potongan yang menarik.

Tampil kemas

Tambah Diddy yang pernah menjayakan pementasan Lorong Blues arahan aktivis teater, Fauziah Nawi: "Satu-satunya tabiat yang masih saya kekalkan sehingga kini ialah mengamalkan penampilan kemas.


PAKAR kulit Clinique memeriksa kulit wajah Diddy menggunakan cermin diagnosis.


"Walaupun nak ke kedai saya tetap memilih baju dan seluar yang tidak berkedut, sepatu yang bersih dan rambut dipastikan disisir rapi.

Pemilik vokal lunak itu memberitahu, golongan lelaki juga perlu menitikberatkan soal penampilan dan kebersihan.

"Tidak kiralah sama ada anda artis, kerani, doktor atau peguam. Jangan pula kerana malu dilabelkan jejaka homoseksual atau lelaki lembut, kita sanggup mengabaikan soal gaya dan rejim penjagaan wajah," pesannya.

Jejaka berketinggian 181 sentimeter itu meluahkan, gara-gara malu untuk menggunakan himpunan produk wajah, akhirnya Diddy berhadapan dengan masalah kulit wajah.

Tindakan terlalu kerap menggunakan sabun badan untuk mencuci wajah telah menyebabkan kulit wajah anak kelahiran Pasir Gudang, Johor Bahru, itu menjadi sensitif dan berminyak. Ini termasuklah masalah jerawat halus yang berpanjangan.

Tetapi segala-galanya berubah sejak empat tahun lepas apabila dia bertekad untuk 'mencantikkan diri'. Lantas, dia mencari rangkaian produk wajah yang terbaik sehinggalah dipertemukan dengan jenama Clinique.

"Selain menawarkan himpunan produk yang berkesan, saya banyak belajar tentang cara penjagaan kulit wajah yang sistematik dan betul menerusi perunding kecantikan jenama berkenaan," ujarnya.

Penuntut UUM

"Kini rejim penjagaan wajah saya melibatkan pembersih wajah, aplikasi krim topeng wajah, penyegar, krim pelembap, krim pelindung matahari dan krim mengurangkan lingkaran hitam bawah mata," ujarnya.


ANTARA aksi depan kamera Diddy yang kini lebih bergaya, riang dan berkeyakinan.


Dia mengambil sedikit masa untuk menguruskan soal penampilannya setiap hari, meskipun sibuk dengan karier seni dan tugas sebagai ketua keluarga. Jadual hariannya juga kini bertambah padat sejak bergelar penuntut jurusan Diploma Komunikasi Universiti Utara Malaysia (UUM), cawangan Kuala Lumpur.

Suami kepada Allen Nor Azah Musa itu memberitahu, kesibukan memenuhi tawaran nyanyian dan lakonan bukan penghalang untuknya melanjutkan pengajian di peringkat tinggi. Bagi Diddy, menuntut ilmu adalah proses yang tiada penghujung.

Sebaik saja memasuki kelas, penuntut semester ketiga tersebut memberi sepenuh perhatian pada kuliah dan tugasan. Jika pada sebelah pagi sibuk dengan agenda seni, maka dia akan memperuntukkan masa pada sebelah malam untuk menyiapkan tugasan dan mengulang kaji pelajaran.

"Saya seronok kerana berpeluang kembali menjadi pelajar dan sekelas pula dengan rakan-rakan artis lain seperti pelakon Emelda dan Zed Zaidi serta personaliti Yusanani Yushak. Kami selalu berdiskusi tentang subjek-subjek yang dipelajari," terang Diddy yang memperoleh 3.89 nilai gred mata (GPA) bagi semester pertama dan 4 bagi semester yang kedua.

Pasti juga dalam sasarannya, catatan GPA sebaik itu mahu dicapai dalam setiap aspek kehidupannya kini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: