Monday, January 31, 2011

Video Lucah : Ariel Peterpan Terima Hukuman Penjara

Ariel Peterpan

BANDUNG: Vokalis kumpulan Peterpan, Ariel atau nama sebenarnya Nazriel Irham, dijatuhi hukuman penjara tiga tahun enam bulan dan didenda Rp250 juta (kira-kira RM85,000) atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Daerah Bandung Isnin, setelah didapati bersalah membuat dan mengedar video pornografi melibatkan dirinya sebagai pelaku dengan artis Luna Maya dan Cut Tari.

Keputusan itu dibaca oleh Ketua Majelis Hakim kes itu Singgih Budi Prakoso pada perbicaraan secara terbuka yang penuh sesak dengan orang ramai serta wartawan.

Sebelum ini, perbicaraan diadakan secara tertutup. Mendengar keputusan itu, beberapa wanita peminat Ariel kelihatan menangis.

Hukuman itu adalah lebih ringan daripada tuntutan pihak pendakwaan pada 6 Jan lepas yang meminta mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun ke terhadap penyanyi itu.

Dalam keputusan hari ini, majlis tiga orang hakim sepakat menyatakan bahawa Ariel terbukti melanggar Undang-undang Tentang Pornografi 2008 dan Undang-undang Jenayah.

Luna Maya setia menemani Ariel ketika mendengar keputusan mahkamah.

Sebelum ini, kes pengedaran video porno dirinya dengan kekasihnya Luna Maya dan artis Cut Tari tahun lalu menggemparkan negara dan menghebohkan masyarakat apabila ia tersebar dengan cepat di Internet sehingga dapat diakses termasuk melalui telefon bimbit.

Di laman sosial, kes ini yang dikenali sebagai "Ariel Peterporn" turut menarik perhatian dunia dalam banyak akaun Twitter.

Ariel dan Luna Maya tidak mengakui bahawa mereka adalah pelaku dalam aksi porno itu, namun Cut Tari telah membuat pengakuan dan memohon maaf secara terbuka bahawa video itu benar antara dirinya dan Ariel, dan mempertahankan kenyataan itu sebagai saksi dalam perbicaraan kes Ariel itu.

Ariel, yang kelihatan tersenyum mendengar keputusan hakim seperti telah menduga hukuman yang akan diterima hari ini, tidak memberi apa-apa kenyataan apabila ditanya oleh hakim sama ada akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Penyanyi itu diberi waktu seminggu untuk mengemukakan rayuannya.Ariel dikawal ketat oleh anggota polis semasa dibawa keluar dari ruang persidangan mahkamah melalui pintu belakang bagi mengelak dikerumuni wartawan dan orang ramai.

Tiz tak salahkan masyarakat

CINTA SEJATI...Tiz dan Remy sebagai pasangan kekasih dalam drama dan filem Nur Kasih.
CINTA SEJATI...Tiz dan Remy sebagai pasangan kekasih dalam drama dan filem Nur Kasih.

SEJAK menjadi artis, ada-ada saja gosip tempias ke arah Tiz Zaqyah Abdul Razak. Dulu, gambar aksi hangatnya bersosial dengan rakan di kelab malam tersebar di Internet dan kemudian dituduh menggoda bekas kekasih Fasha Sandha, Jejai, pada awal pagi.

Terbaru, Tiz dikaitkan bercinta dengan aktor kacak Remy Ishak yang sama-sama berlakon dengannya dalam siri dan filem Nur Kasih. Satu demi satu cerita mereka dipaparkan namun Tiz tetap dengan penafiannya.


Konsisten dengan jawapan yang diberikan sebelum ini, Tiz mengulangi kenyataan bahawa mereka hanya sebagai 'sahabat paling akrab'. Dia akui begitu selesa dengan Remy kerana mereka boleh berkongsi banyak perkara bersama termasuk bertukar-tukar pandangan.

  • Foto

  • Foto

    SERASI...Tiz suka berkawan dengan Remy yang memahami dirinya.

"Saya memang suka sikap Remy terhadap saya. Setakat ini, saya memang tidak bercinta dengan sesiapa kerana mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada karier. Saya teringin juga mengumpul harta daripada hasil titik peluh sendiri sebelum saya bercinta dengan serius dan berkahwin.


"Menjadi prinsip saya, saya tidak mahu harap kemewahan daripada teman lelaki. Saya yakin masih ada kemampuan berusaha sendiri sama ada untuk mengejar impian membeli rumah, kereta malah apa saja dengan wang sendiri," katanya.


Lali dengan segala cerita kontroversi yang tidak putus-putus datang dalam hidup, Tiz berkata, dia tidak mahu hidup tertekan dek cakap-cakap orang dan enggan membiarkan gosip meruntuhkan semangatnya.Kata pemenang Pelakon TV Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (ABPBH09) ini, dia tidak pernah menyalahkan masyarakat apabila memperkatakan mengenai dirinya.


"Terserah kepada masyarakat untuk menilai saya. Apa yang penting, saya tahu setiap tingkah laku saya dan keluarga juga memahaminya. Namun saya kadangkala kecewa apabila cerita remeh sengaja diperbesarkan. Saya sebenarnya mahu prestasi lakonan saya lebih diperkatakan. Tapi apa boleh buat. Saya juga tidak dapat menghalang orang daripada bercakap apa saja mengenai saya.

"Seperti yang selalu saya katakan, soal jodoh adalah perkara yang sangat subjektif dan ia kerja Tuhan. Bagaimanapun, sama seperti gadis lain, saya juga selalu mendoakan yang terbaik," katanya.


Ditemui pada majlis sesi ramah mesra bersama pelakon drama bersiri Gemilang arahan Kabir Bhatia di Pusat Komuniti Bukit Damansara, Kuala Lumpur, baru-baru ini, Tiz yang anggun berkebaya juga ingin menjelaskan gosip mengenai hubungannya dengan jejaka yang dikenali sebagai Aizat.


Sebelum ini, gambar Tiz dan anak seorang wakil rakyat itu dikatakan tersebar di Internet selepas Tiz menghadiri majlis membabitkan lelaki itu.


Tiz menjelaskan, dia sendiri tidak kenal siapa Aizat yang digosipkan itu.


"Saya paling jarang menghadiri majlis keramaian kerana selalu sibuk di lokasi penggambaran. Oleh itu, macam mana pula saya boleh dikaitkan dengan orang yang tak pernah saya kenali?

"Malah ingin dijelaskan, saya menceburi bidang seni tanah air kerana memang mahu dikenali sebagai pelakon yang berjaya. Bukan hendak mencari peluang menjaja kisah peribadi. Saya lebih suka kalau karier saya lebih diberi keutamaan," katanya.

Anak emas Khabir?
BIARPUN tidak banyak drama dilakonkan, penonton mula perasan Tiz lebih tertarik untuk bekerja dengan pengarah berkaliber, Kabir Bhatia.

Setakat ini, Tiz sudah menghasilkan empat projek drama dan filem bersama Khabir serta satu filem cereka.


Bersandarkan watak Nur Amina, gadis berkulit gebu ini turut mengakui sangat berdebar menanti tayangan filem sulung lakonannya itu pada April ini.


Katanya, selepas kejayaan drama bersiri Nur Kasih di TV3, apakah filem juga akan memberi impak hebat seperti di kaca TV?

"Saya anggap kerjasama saya dengan Khabir adalah rezeki. Ini kerana setiap kali Kabir memberikan tawaran, kebetulan ia tidak bertindan dengan jadual lakonan saya dengan produksi lain.


"Saya tak pernah anggap saya 'bintang atau anak emas' kepada Kabir. Bagi saya, ia soal rezeki dan saya hanya bersyukur kepada Tuhan kerana memberi peluang bekerja di bawah arahan Kabir. Setakat ini, tak dinafikan saya seronok berlakon dan mendapat bimbingannya.


"Saya melihat Kabir seorang pengarah yang senang untuk saya bekerja dengannya dan dia sangat yakin dengan tugasnya. Selain Nur Kasih dan Gemilang, saya turut berlakon dalam drama Keabadian Cinta serta 7 Lagu," kata Tiz selesa mengambil satu tawaran berlakon pada satu-satu masa.


Katanya, dia tidak suka bersikap tamak dan terkejar-kejar untuk ke set penggambaran. Disebabkan itu, Tiz sedar masih belum banyak drama dapat dilakonkannya.

Katanya, dia bukan hendak menjadi cerewet tetapi sebagai pelakon, dia sentiasa mahukan karakter yang terbaik.


"Rasanya sebagai pelakon, saya ada hak untuk menerima atau menolak sesuatu watak itu," katanya.




>PROFIL
NAMA: Tiz Zaqyah Abdul Razak
PANGGILAN KOMERSIAL: Tiz
TARIKH LAHIR: 25 Oktober 1988
USIA: 23 tahun
ASAL: Kuala Lumpur
KELUARGA: Anak bongsu daripada dua beradik
STATUS: Bujang
PERWATAKAN DIRI: Mesra dan ceria
PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
KARIER: Pelakon
MULA BERLAKON: 2006
DRAMA: Gol & Gincu, Impian Illyana, Nur Kasih, Asmaradana, Spa Qistina, Gemilang
TELEFILEM: Bernafas Dalam Lumpur, Puaka Topeng Putih, Keabadian Cinta, 7 Lagu
FILEM: Nur Kasih
PENCAPAIAN: Pelakon TV Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (ABPBH 09)

Aidil kata damai, Rita kata dusta

KUALA LUMPUR: Krisis rumah tangga pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, 24, dan pelakon Rita Rudaini Mokhtar, 35, memasuki episod baru apabila satu pihak mengeluarkan kenyataan sudah menemui jalan damai manakala satu pihak lagi menafikannya dengan tegas, semalam.

Aidil yang dihubungi Harian Metro untuk mengesahkan laporan satu portal Internet mengenai Rita dikatakan sudah memohon maaf dengan mentuanya, mengakui perkembangan positif itu berlaku ketika isteri dan ibunya berjumpa selepas anak mereka, Airil Rayyan Rizkin, 2, dimasukkan ke Pusat Perubatan Prince Court, Khamis lalu.

“Ibu saya menziarahi anak saya yang mengalami demam panas dan dia berbual panjang dengan Rita. Mereka sudah bermaafan antara satu sama lain. Bagaimanapun lebih baik persoalan mengenai perkara ini ditanya kepada Rita kerana dia yang mempunyai masalah dan bukannya saya,” katanya.

Malah, Aidil berkata dia juga menarik balik tindakan proses sulh yang difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah berhubung soal penjagaan anak yang dibuat sebelum ini.“Saya akan menarik balik tindakan memfailkan proses sulh yang dibuat sebelum ini dalam masa terdekat dan bersyukur sekiranya apa yang berlaku sebelum ini tidak berpanjangan dan berakhir dengan baik dan selamat,” katanya.


Bagaimanapun Rita yang dihubungi pula, menafikan segala yang diperkatakan suaminya dan tidak mahu kenyataan diputar belit sehingga menimbulkan masalah kepadanya seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

“Mengapa saya memohon maaf sedangkan tiada satu kesalahan pun datang dari pihak saya. Mereka sekali lagi sudah mengubah cerita sebenar agar kesalahan nampak di pihak saya.

“Dalam hal ini saya perlu berhati-hati dan perlu membetulkan kembali kenyataan kerana bimbang ia bakal digunakan di mahkamah kelak. Saya ada saksi apa sebenarnya berlaku kerana ketika itu seorang wartawan kebetulan ada bersama dan dia boleh menjadi saksi,” katanya.

Rita yang kini hamil enam bulan juga hairan mengapa Aidil tidak menceritakan perkara sebenar bahawa dia datang melawat Rayyan hanya selepas dipaksa.

“Saya sedih apabila terpaksa berdepan dengan masalah anak seorang diri. Sudahlah saya berbadan dua dan sekarang tidak cukup rehat kerana menjaga Rayyan di hospital. Selama tiga hari di hospital Aidil langsung tidak datang menjengah anak.

“Apabila dia melawat bersama mentua saya sudah tidak dapat bersabar dan menceritakan apa yang berlaku sebenarnya. Selama ini pun saya banyak bersabar dan telan segala perbuatan mereka terhadap saya,” katanya.

Rita berkata, Adil dan kelurganya memohon maaf ke atas kesalahan mereka, namun itu hanya berlaku selepas dipujuk oleh wartawan yang kebetulan berada di hospital berkenaan.

“Saya maafkan mereka tetapi ingin saya tegaskan ia membabitkan kedua-dua mentua saja. Ini kerana saya menghormati mereka sebagai orang yang lebih tua tetapi yang lain saya tidak akan maafkan,” katanya.

Rita juga menegaskan, kenyataan Aidil yang dia menarik balik permohonan hak penjagaan anak mereka sesuatu sukar diterimanya kerana pihak Mahkamah Syariah Seremban baru menghubunginya dan memaklumkan bawa Aidil mahu perbicaraan kes itu diteruskan.

“Sekarang saya tidak mahu fikir panjang mengenai perkara itu kerana perlu beri perhatian kepada kesihatan Rayyan dan kandungan saya. Terpulanglah kepada suami saya apa juga tindakan dilakukan sama ada mahu menarik kembali aduan atau tidak. Tolong jangan kacau dan menambah tekanan kepada saya lagi.

“Sebelum ini dia (Aidil) pernah kata mahu menarik kembali aduan tetapi sampai sekarang ia tetap diteruskan. Dengan saya dia kata sudah tarik tetapi mahkamah menghubungi saya dan memaklumkan dia mahu perbicaraan diteruskan. Saya malas mendengar penjelasan bercanggah daripadanya,” kata Rita.

Suami puja keris setiap malam

HUMAIRAH ...suami makin pulih selepas berubat secara Islam.
HUMAIRAH ...suami makin pulih selepas berubat secara Islam.

ALOR GAJAH: “Saya terjaga daripada tidur apabila terdengar suara suami seperti sedang meratib atau berzikir dengan kuat. Apabila saya intai ke dalam biliknya, saya terkejut melihat perbuatannya yang pelik.

“Dia bukannya berzikir, tapi membaca mantera dengan bahasa yang saya tidak fahami. Dia duduk di atas sejadah, tapi tak menghadap kiblat dan tangannya memegang satu keris kecil.

“Dia seolah-olah memuja keris itu,” kata wanita yang mahu dikenali sebagai Humairah mengenai amalan aneh suaminya kononnya untuk menambah rezeki keluarga mereka selepas diberhentikan kerja sejak setahun lalu.

Humairah, 25, dari sebuah kampung di sini berkata, dia mengesan amalan pelik suaminya yang berusia awal 30-an selepas curiga dengan sikapnya yang jauh berubah berbanding sebelumnya.Menurutnya, selepas kira-kira seminggu diberhentikan kerja, suaminya yang berasal dari Filipina, tetapi sudah memeluk Islam sering memerap di dalam bilik sambil membaca sesuatu dalam bahasa sukar difahami.


Humairah yang ditemui Harian Metro ketika menjalani rawatan dengan seorang pakar perubatan Islam di sini berkata, keadaan bertambah parah apabila dia mengesan suaminya menjalin hubungan dengan wanita warga Indonesia yang sudah berusia hampir 50 tahun.

“Sejak menjalin hubungan dengan wanita itu, suami saya kerap berulang alik ke Filipina atau Indonesia bersama kekasih gelapnya. Ada kalanya sehingga berminggu-minggu dia tak pulang ke rumah.

“Jadi, saya yang terpaksa berkerja keras menanggung kehidupan kami serta tiga anak kami yang berusia 10 bulan hingga lima tahun,” katanya.

Humairah berkata, pada mulanya dia sukar percaya suaminya menjalin hubungan dengan perempuan lain, namun selepas sikap suaminya jauh berubah kerana suka menyendiri dalam bilik dan selalu tidak pulang ke rumah, dia yakin ada yang tidak kena.

“Keyakinan saya nyata berasas selepas terjumpa tangkal hitam dan botol minyak berisi akar kayu berbalut kain hitam serta dua keris kecil dalam lipatan cadar katil dalam biliknya.

“Saya semakin terpanggil untuk menyelidik lebih mendalam apabila selalu terjaga daripada tidur pada kira-kira jam 11 malam dan mendengar suara suami membaca mantera dengan kuat di dalam biliknya,” katanya.

Menurut Humairah, rasa ingin tahun itulah yang mendorongnya mengintai perbuatan suaminya dan ketika itulah dia mengesan amalan aneh suaminya ketika memuja keris kecil miliknya.

Katanya, kebiasaannya selepas selesai acara pemujaan itu, suaminya keluar rumah ke tempat tidak diketahuinya dan hanya akan pulang sekitar jam 5 pagi sebelum terus tidur hingga tengah hari.

“Saya kemudian membawa barangan pelik termasuk keris kecil milik suami kepada ustaz dan saya diberitahu semua itu amalan syirik yang bertentangan dengan Islam.

“Mujur, suami saya sedia mengikut saya untuk berubat. Apabila saya tanya mengenai barangan peliknya itu dia memberitahu ia pemberian kekasih gelapnya dan memujanya setiap malam supaya orang mudah kasih kepadanya dan rezeki bertambah murah,” katanya.

Humairah berkata, dia bersyukur kerana selepas melalui beberapa sesi rawatan pemulihan menggunakan al-Quran suaminya semakin pulih dan sudah insaf dengan perlakuan songsangnya.

Ciri wanita sempurna 2011

PENELOPE Cruz...tubuh sempurna
PENELOPE Cruz...tubuh sempurna

DUA pakar pembedahan plastik terkemuka di Beverly Hills berkata wajah seorang wanita yang sempurna tahun ini akan mempunyai mata seperti Anne Hathaway, bibir Scarlett Johansson, pipi January Jones, bentuk muka Halle Berry dan hidung seperti Natalie Portman.

Menurut laporan akhbar New York Post, Dr Richard Fleming dan Dr Toby Mayer membuat 1,200 kajian terhadap pelanggan mereka bagi mengetahui wajah selebriti manakah dirasakan dapat menghasilkan wajah seorang wanita yang sempurna.
Daripada kajian itu mereka membentuk satu wajah berdasarkan anggota tubuh selebriti pujaan wanita dan hasilnya mungkin cukup mengejutkan.


"Angelina Jolie tidak termasuk dalam senarai tahun ini," kata Fleming daripada Institut Pembedahan Estetik dan Pemulihan Semula Beverly Hills memberitahu HollywoodLife.com, walaupun aktres itu termasuk dalam senarai tahun sebelumnya.Fleming berkata, hampir semua pelanggannya merujuk kepada selebriti apabila mereka berkunjung ke pejabatnya untuk sesi rundingan dan prosedur yang menjadi pilihan mereka ialah pembedahan rinoplasti.

Fleming juga mendakwa, kini tiada seorang pun yang meminta untuk rawatan pembesaran payu dara palsu seperti Pamela Anderson. Malah, pelanggan wanita meminta rawatan untuk mengecilkan payu dara supaya kelihatan semula jadi seperti dimiliki Jennifer Aniston dan Beyonce.

Salah satu permintaan mengejutkan pernah diterima Fleming ialah ada pelanggan yang inginkan rambut seperti Taylor Swift. Ada juga yang berkenankan rambut lurus berombak seperti Kim Kardashian, tetapi majoriti pelanggan wanita mahukan rambut kerinting Taylor.

Satu lagi permintaan mengejutkan yang diminta ramai pelanggannya ialah mereka inginkan kulit seperti Katy Perry selepas artis itu muncul dalam iklan lewat malam untuk sistem rawatan jerawat.

Bagi lelaki pula, pipi Leonardo DiCaprio, kulit Neil Patrick, hidung Jude Law, mata Hugh Jackman, bentuk wajah Jon Hamm, bibir Ashton Kutcher, rambut George Clooney dan tubuh Mark Wahlberg menjadi dambaan pelanggan lelakinya.

Dua pakar perubatan itu menambah walaupun trend di Hollywood mudah berubah-ubah, tetapi bentuk bibir muncung bagi wanita dan rambut lebat bersinar untuk lelaki tetap menjadi kegemaran pelanggan.

"Terdapat bentuk bahagian tubuh yang biasa akan diminta pelanggan dari tahun ke tahun," kata Fleming.

Menurutnya, kulit yang menjadi dambaan ramai tahun ini ialah kulit yang kepucatan seperti Amy Adams yang berada di tempat teratas dalam senarai diikuti oleh Katy Perry dan Gwyneth Paltrow.

Ini bukan kali pertama Katy menjadi tumpuan kerana kulitnya - dia kini muncul dalam iklan televisyen di Amerika Syarikat sebagai duta bagi rawatan antijerawat Proactiv.

Menurut Fleming dan Mayer yang terkenal di kalangan selebriti antarabangsa, hasil kajian tahunan ke-14 mereka menunjukkan walaupun pelanggan tidak mahu kelihatan serupa dengan selebriti pujaan mereka, tetapi mereka tetap mahukan rawatan mengikut wajah atau anggota tubuh selebriti berkenaan.

"Pelanggan menjadikan Hollywood sebagai rujukan untuk mereka mencapai standard kecantikan," jelas Fleming, pengarah bersama Institut Pembedahan Estetik dan Pemulihan Semula Beverly Hills dengan rakannya, Mayer.


PENELOPE Cruz
Tubuh sempurna

TAYLOR Swift
Rambut sempurna

ANNE Hathaway
Mata sempurna

NATALIE PORTMAN
Hidung sempurna

SCARLETT Johansson
Bibir sempurna

HALLE Berry
Dagu sempurna

JANUARY Jones
Pipi sempurna

Kerjasama ECER-GCC

KERJASAMA...Mustapa (kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Sultan Saeed sambil disaksikan Najib di Abu Dhabi, semalam.
KERJASAMA...Mustapa (kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Sultan Saeed sambil disaksikan Najib di Abu Dhabi, semalam.

WILAYAH Ekonomi Pantai Timur (ECER) Malaysia menandatangani Perjanjian Kerangka Malaysia-GCC dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) mengenai ekonomi, komersial, pelaburan dan kerjasama teknikal di Abu Dhabi semalam, sekali gus mencerminkan peningkatan hubungan ekonomi antara Malaysia dan enam negara anggota GCC iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Qatar, Kuwait, Oman dan Bahrain.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed menandatangani bagi pihak Kerajaan Malaysia, sementara Menteri Ekonomi UAE, Sultan Saeed Al-Mansoori dan Ketua Setiausaha GCC, Abdul Rahman bin Hamad Al-Attiyah menandatangani bagi pihak GCC.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut menyaksikan perjanjian Malaysia-GCC berkenaan.

Dengan termeterainya perjanjian itu, ia menandakan permulaan kepada Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara kedua-dua pihak dan Malaysia mengunjurkan dagangannya berkembang 41 peratus sebaik saja hubungan FTA itu menjadi kenyataan.


ECER yakin bakal menarik lebih banyak pelaburan daripada negara GCC tahun ini, terutama sektor pembuatan halal, pertanian dan pelancongan.


Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Pembangunan ECER (ECERDC), Datuk Jebasingam Issace John, dalam satu kenyataan berkata, ECERDC mensasarkan bakal menarik pelaburan RM5 bilion (AS$1.67 bilion) ke ECER setiap tahun. RM2 bilion daripada pelaburan berkenaan dijangka dari negara Timur Tengah.“Negara Timur Tengah menunjukkan minat yang tinggi terhadap ECER, terutama dalam sektor industri halal, pelancongan, pertanian, ternakan dan perikanan.


“Malah, kami kini berada di peringkat perbincangan dengan beberapa pelabur berpotensi dari negara berkenaan dan dijangka akan mengumumkan perkembangan positif tahun ini,” katanya pada Forum Investing in Malaysia 2011 di Abu Dhabi, semalam.

John berkata, sepanjang 2007 hingga 2010, ECER berjaya menarik RM36.5 bilion pelaburan domestik dan antarabangsa. RM15.3 bilion daripada jumlah berkenaan meliputi 158 projek.


Menurutnya, dengan kawasan luas dimiliki ECER, ia memenuhi keperluan negara Timur Tengah yang ingin menerokai peluang bagi program keselamatan makanannya Bagi Arab Saudi, Malaysia adalah satu negara yang dipilih berdasarkan inisiatif keselamatan makanannya.


“Malaysia mempunyai banyak persamaan budaya dengan Timur Tengah, menjadikan ECER destinasi ideal bagi pelaburan berasaskan pematuhan shariah serta resort dan hotel berkonsep kekeluargaan. Universiti dan kolej di negara GCC juga boleh membuka kampus Malaysia di rantau ini” katanya.


“Kami juga boleh memenuhi kehendak Timur Tengah bagi pengeluaran dan pensijilan produk halal, seperti kosmetik dan makanan serta farmaseutikal,” katanya.


Menurutnya, keyakinan pelabur juga turut meningkat berdasarkan kekuatan Malaysia dalam isu berkaitan pengeluaran sijil halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang diterima di seluruh dunia.

Hailee terlalu muda: Bieber

TIADA HUBUNGAN...Hailee ditemani Bieber ketika mereka mengumumkan pemenang Anugerah Golden Globe pada Januari lalu.
TIADA HUBUNGAN...Hailee ditemani Bieber ketika mereka mengumumkan pemenang Anugerah Golden Globe pada Januari lalu.

LOS ANGELES: Bintang remaja kegilaan dunia, Justin Bieber, menolak sebarang kemungkinan dia akan menjalin hubungan romantis dengan Hailee Steinfeld atas alasan dia terlalu tua untuk calon anugerah Oscar itu.

Menurut penyanyi sensasi kelahiran Kanada itu, dia bertemu Hailee, 14, kali pertama ketika diaturkan menyampaikan hadiah bersama pada majlis Anugerah Golden Globe, baru-baru ini.


Namun, kata Bieber, tiada rasa cinta tercetus di hatinya kerana dia akan berusia 17 tahun dalam tempoh kurang dari sebulan.

Ketika ditemubual Jay Leno semalam, Bieber berkata, Hailee memang seorang gadis yang ayu dan berbakat.


“Saya rasa dia memang comel,” katanya.


Namun, Bieber segera menambah kenyataan itu dengan menegaskan bahawa Hailee masih terlalu muda.“Dia masih 14 tahun dan saya akan berusia 17 tahun tak lama lagi,” katanya.


Lahir di Tarzana, Los Angeles, Hailee menerima pencalonan untuk anugerah perfileman paling berprestij, Oscar, melalui peranannya dalam filem True Grit.

Filem itu turut dibarisi pelakon popular lain, termasuk Jeff Bridges, Matt Damon dan Josh Brolin.


Sebelum ini, Bieber dikaitkan dengan selebriti terkemuka, termasuk yang jauh lebih tua daripadanya.


Antaranya, personaliti televisyen, Kim Kardashian, 30, yang dikaguminya serta bintang remaja saluran Disney, Selena Gomez, 18, serta penyanyi Jasmine Villegas, 17.


Sementara itu, media melaporkan, kenyataan Bieber itu langsung tidak diendahkan Hailee.


Mengakui teruja dengan pencalonan Oscar, Hailee terpaksa bersaing dengan pelakon lebih berpengalaman bagi kategori Pelakon Pembantu Terbaik.


Mereka adalah Helena Bonham Carter (melalui filem The King's Speech), Amy Adams dan Melissa Leo (The Fighter) serta Jacki Weaver (Animal Kingdom).

Lebih kenyang dengan karbohidrat

KARBOHIDRAT...menjauhkan diri daripada makanan yang membekalkan karbohidrat tidak membantu untuk mengawal berat badan.
KARBOHIDRAT...menjauhkan diri daripada makanan yang membekalkan karbohidrat tidak membantu untuk mengawal berat badan.

RAMAI yang gemar menolak makanan berkarbohidrat apabila mahu melangsingkan badan.

Ada yang sanggup tidak menjamah nasi bertahun-tahun lamanya semata-mata beranggapan makanan berkarbohidrat tidak elok untuk tubuh terutama di kalangan mereka yang mahu mengurangkan berat badan.


Makanan berkarbohidrat adalah satu daripada sumber utama tenaga untuk tubuh. Makanan berkarbohidat dibahagikan kepada karbohidrat ringkas dan kompleks.

  • Foto

    BERAS PERANG...bertukar kepada beras perang untuk mendapatkan khasiat lebih baik.

  • Foto

    AMBIL LEBIH...buah-buahan dan sayuran juga mengandungi karbohidrat baik yang perlu dimakan setiap hari.

Sebelum bertindak untuk mengelak daripada menikmati karbohidrat, perlu difahami kelas karbohidrat yang sepatutnya. Hakikatnya, menikmati makanan yang padat dengan jenis karbohidrat yang betul antara rahsia untuk mendapatkan tubuh ramping dan kekal langsing.


Berdasarkan pelbagai kajian di universiti dan pusat penyelidikan terkemuka, karbohidrat dimaksudkan terdiri daripada kanji yang mempunyai ketahanan seperti biji-bijian, kekacang dan legum.

Kanji sedemikian membantu kita makan pada kadar yang kurang, membakar lebih kalori serta membuatkan tubuh lebih bertenaga, kurang tekanan dan kurang kolesterol.


Mereka yang berbadan ramping sekalipun mengambil karbohidrat setiap hari malah kajian mendapati, apabila karbohidrat merangkumi 64 peratus (361 gram) daripada jumlah pengambilan kalori setiap hari, ia banyak membantu tubuh untuk kekal langsing.Kebanyakan diet rendah karbohidrat mengehadkan pengambilan karbohidrat kurang daripada 30 peratus jumlah kalori, malah ada kalanya hanya 30 gram karbohidrat setiap hari.


Kebanyakan makanan yang kaya dengan karbohidrat bertindak dengan mengekang selera makan. Ia lebih mengenyangkan berbanding protein atau lemak.

Karbohidrat berkenaan membuatkan tubuh rasa kenyang kerana ia dihadam secara perlahan berbanding jenis makanan lain, sekali gus mencetuskan rasa kenyang pada otak dan perut.


Kajian di Universiti Surrey, United Kingdom, mendapati pengambilan kanji yang mempunyai ketahanan lama dalam satu hidangan membuatkan peserta kajian itu mengambil 10 peratus lebih rendah kalori (anggaran 150 hingga 200 kalori untuk purata wanita) keesokan harinya kerana mereka rasa kurang lapar.


Gabungan karbohidrat yang tepat juga satu cara yang baik untuk mengawal gula dalam darah dan menjauhkan kencing manis.


Kajian di Pusat Pemakanan Manusia Beltsville di Amerika Syarikat mendapati peserta yang mengambil diet kaya dengan makanan tinggi kandungan kanji berkenaan berupaya untuk mengurangkan gula darah selepas makan dan tindak balas insulin sehingga 38 peratus.


Apapun, pengambilan karbohidrat perlu digabungkan untuk mengelakkan kenaikan mendadak gula dalam darah. Pilihan beras perang misalnya, lebih baik daripada beras putih dan pengambilannya sebaik-baiknya digabungkan dengan makanan lain seperti kekacang bagi menyeimbangi gula darah.


Karbohidrat dalam makanan berkanji tahan lama itu juga mempertingkatkan metabolisme dan pembakar lemak semula jadi tubuh yang lain. Ketika makanan terbabit bergerak ke arah sistem penghadaman, ia membebaskan asid lemak yang menggalakkan pembakaran lemak terutama di bahagian perut.


Asid lemak ini membantu untuk mengekalkan jisim otot yang turut meningkatkan metabolisme, membantu untuk mengurangkan berat lebih cepat.


Dalam satu kajian, apabila saintis memberikan sekumpulan tikus makanan yang kaya dengan kanji terbabit, ia didapati meningkatkan aktiviti enzim pembakaran lemak dan mengurangkan aktiviti enzim penyimpanan lemak.


Tip mengenai karbohidrat:

- Tubuh yang langsung tidak mendapat karbohidrat sebagai sebahagian daripada pemakanan seharian boleh menyebabkan mereka mengalami ketosis.

Ia adalah keadaan iaitu tubuh berada dalam mod kelaparan dan mula menghadam tisu otot, bukannya lemak. Paling minimum, sebanyak 100 gram karbohidrat disarankan oleh pakar untuk menghalang daripada berlakunya ketosis.

- Karbohidrat kompleks adalah sumber penting khasiat yang membekalkan tubuh dengan serat, potasium serta vitamin B, E dan C.

Karbohidrat kompleks ini lebih baik untuk tubuh kerana perlu dipecahkan terlebih dulu sebelum ditukar kepada glukos. Ini membolehkan pembebasan glukos dan insulin secara stabil.

Makanan berkarbohidrrat kompleks termasuk buah-buahan, sayuran dan bijian penuh.

- Buah-buahan dan sayur-sayuran adalah karbohidrat baik yang perlu dimakan setiap hari.
Sayuran tidak hanya menyihatkan malah kaya dengan antioksidan yang meningkatkan sistem ketahanan tubuh iaitu aspek penting untuk mengurangkan berat. Seeloknya, pilih sayuran terdiri daripada pelbagai warna.

- Bijian penuh yang juga karbohirat yang baik boleh didapati daripada makanan seperti oat, gandum penuh dan barli. Tambahkan bijian penuh dan kekacang dalam sajian seharian.

Purata rakyat Malaysia baca dua buku setahun

PERSAINGAN...terlalu banyak persaingan bahan penerbitan picisan di pasaran menyebabkan bahan bacaan ilmiah lesu dan terpinggir.
PERSAINGAN...terlalu banyak persaingan bahan penerbitan picisan di pasaran menyebabkan bahan bacaan ilmiah lesu dan terpinggir.

USAHA melestarikan kecemerlangan sektor pendidikan negara bukan hanya memerlukan kewibawaan dalam melahirkan golongan bijak pandai malah merangkumi kepelbagaian aspek lain.

Ukuran pencapaian bukan saja diukur melalui kejayaan mengeluarkan pensyarah atau graduan berstatus cemerlang, malah dinilai melalui aspek penghasilan bahan bacaan ilmiah.


Sayangnya, penghasilan bahan bacaan ilmiah yang dianggap tulang belakang dalam proses pembudayaan ilmu itu masih gagal menepati cita rasa masyarakat yang lebih selesa dengan bahan bacaan ringan serta dianggap mampu merehatkan minda.

  • Foto

    BANYAK PILIHAN...majikan kini mempunyai banyak pilihan, mereka yang menepati kualiti saja bakal diterima.

  • Foto

    BANYAK MAKLUMAT...buku bacaan ilmiah mampu melestarikan proses penjanaan ilmu menjadi lebih kritis dan profesional.

Ini sekali gus bagai membenarkan tanggapan bahawa bahan bacaan ini memang tidak mampu dikomersialkan, namun dihasilkan bagi memenuhi tanggungjawab golongan tertentu semata-mata.


Persoalannya, mengapakah sukar menembusi minat masyarakat dan warga institusi pengajian tinggi, walhal kandungannya cukup lengkap untuk memenuhi keperluan kepentingan wacana pengembangan ilmu berteraskan pendidikan sepanjang hayat.


Pakar psikologi kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Sulaiman Selamat berkata, kecenderungan mahasiswa dan generasi muda memilih bahan bacaan ringan kerana terdedah dengan budaya generasi baru yang dilahirkan dalam persekitaran mudah, mewah, pantas dan selesa.Menurutnya, budaya ini menjadikan mereka generasi malas berfikir, kurang berilmu dan hanya memberi fokus pada pendidikan berorentasikan akademik dan peperiksaan semata-mata.


"Inilah timbal balas daripada arus kemodenan dan peralihan zaman yang memperlihatkan semua aspek hanya ditangani secara mudah dan tanpa inisiatif. Hasilnya, banyak perlu dikorbankan termasuk ilmu pengetahuan.

"Budaya membaca di kalangan masyarakat sangat rendah. Bayangkan, jika membaca bahan berbentuk ringan pun tiada minat, bagaimana pula bahan ilmiah?

"Senario ini membimbangkan, apatah lagi sebahagian besarnya adalah golongan muda yang tentunya terdiri daripada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi. Jika kurang membaca, apakah lagi aspek yang boleh dijadikan taruhan?" katanya.


Berdasarkan kajian dilakukan Perpustakaan Negara pada 2005, secara purata keseluruhan rakyat Malaysia membaca dua buku setahun berbanding purata sebelum ini dua halaman buku setahun , terendah antara negara di Asia.


Dalam hal ini, rakyat India mendominasi dengan 35, Thailand (25) dan Indonesia (18).


"Dari situ, kita dapat melihat bagaimana penerimaan masyarakat terhadap aktiviti membaca. Jadi bagaimana ingin melonjakkan diri menjadi masyarakat berilmu jika aktiviti mudah ini sukar dilaksanakan?" katanya.


Pengarah Penerbit UTM Press, Profesor Hishamuddin Jamaluddin berkata, bahan bacaan ilmiah bukanlah menjadi kegemaran kerana fokus utama yang disasarkan lebih menjurus kepada keperluan pemprosesan ilmu berbentuk serius dan terhad.


Secara amnya, mereka lebih menggemari bahan berbentuk ringan dan santai kerana proses pemahaman maklumat menjadi lebih mudah, selain tidak memerlukan ketelitian mendalam bagi memahami fakta.


"Tidak hairanlah, bahan ilmiah sukar menembusi permintaan pasaran berbanding bahan bacaan lain kerana 'sifatnya' yang sangat serius, padat serta banyak membabitkan fakta saintifik.


"Jika diberi pilihan, ramai menolak bahan bacaan ilmiah kerana tidak mahu membebankan otak dengan penjanaan maklumat sangat kompleks. Namun tidak boleh salahkan mereka kerana pilihan di tangan individu.

"Cuma menyedihkan bahan ini seperti terpinggir jika dibandingkan dengan bahan lain berbentuk picisan. Bahan bacaan ilmiah cukup menguji kemampuan intelek seseorang selain menaikkan prestij pengetahuan ke tahap lebih baik," katanya.


Lambakan bahan ilmiah di pasaran kian membimbangkan golongan intelektual kerana bukan saja permintaan berkurangan malah merencatkan industri penulisan subjek kritikal kerana tumpuan lebih diberikan kepada bahan bacaan yang mampu menjana pulangan lumayan.


Dengan kata lain, bahan ilmiah sukar dikomersialkan, sekali gus menghadapi masalah lambakan di pasaran mahupun pengeluaran terhad kerana permintaan yang sedikit.


Suatu ketika, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengehadkan cetakan buku untuk sesuatu tajuk kepada 1,000 hingga 3,000 naskhah saja berbanding 3,000 hingga 5,000 naskhah pada era 80-an.


Mengulas mengenai kelesuan minat dan permintaan, beliau mengakui tiadanya daya tarikan terhadap kandungan mahupun cara susun atur selain penggunaan bahasa Inggeris sebagai antara faktor penyumbang terbesar.


Bagaimanapun, katanya, faktor itu sukar dielak kerana penghasilan bahan bercetak berkenaan dibuat atas sasaran membudayakan peningkatan ilmu secara profesional, berilmiah dan fokus.


"Buku ilmiah memang membosankan, terlalu profesional dan korporat. Namun, itulah identitinya serta sukar dielak kerana tujuan ia diterbitkan untuk membudaya wacana ilmu serta meningkatkan daya intelek individu.


"Bagaimana boleh dikatakan ilmiah jika penyampaiannya dilakukan secara santai? Itu tidak akan mencapai matlamat penulisannya selain akan memporak-perandakan proses pengembangan ilmu yang berpaksikan fakta serta penyelidikan.


"Mesti ada perbezaan, cuma kehendak masyarakat suka kepada buku berbentuk ringan mengehadkan penjualan dan permintaan biarpun susun aturnya menarik," katanya.


"Budaya masyarakat tempatan yang sukar membaca menjadikan bahan ilmiah semakin terpinggir, ditambah pula tanggapan hanya untuk golongan 'pandai'. Kebanyakannya pula dalam bahasa Inggeris.


"Masyarakat menjadikannya alasan untuk menolak sedangkan kini banyak bahan diterjemahkan ke bahasa Melayu. Hakikatnya, kita belum terbuka berbanding masyarakat antarabangsa yang sentiasa teruja dan terdedah dengan pelbagai bahan bacaan berat.


"Namun, mengatakan kita langsung tidak suka, itu tidak benar tetapi jumlahnya kecil," katanya.


Katanya, bahan ilmiah berkaitan pertanian, landskap dan reka cipta dan perubatan sentiasa dicari.


"Mungkin kerana mudah difahami, bergambar atau lama di pasaran menjadikannya diterima dalam lingkungan masyarakat termasuk sebagai bahan rujukan.


"Usaha lebih padu perlu dilakukan bagi menjadikan bahan ilmiah diterima selain mendidik masyarakat jangan terlalu taksub pada bahan picisan," katanya.




>INFO
> PERANGKAAN 2005 mendapati hanya 10,310 judul buku dalam pelbagai bidang didaftarkan setahun berbanding 180,000 judul di China, 116,000 (United Kingdom), 60,000 (Amerika Syarikat) dan 45,000 (India).

Daripada 10,310 judul buku berdaftar setahun itu, hanya 1,273 atau 32 peratus bahan bacaan santai di samping buku teks akademik dan kanak-kanak.

> KINI kebanyakan institusi pengajian tinggi awam mempunyai bahagian penerbitannya sendiri selaras usaha memperkaya dan memperbanyakkan lagi penerbitan bahan berbentuk ilmiah kepada masyarakat.

Antaranya Penerbit Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI).

Hikmah bergelar ibu

  • Foto

  • Foto

    KEHADIRAN Khyra menjadikan hidup Dynas lebih bermakna.

  • Foto

Dynas makin bersemangat bantu kanak-kanak yang memerlukan

TIADA lagi yang didambakan pelakon dan pengacara jelita, Dynas, kecuali kesejahteraan seisi keluarga selepas kehidupannya kini dirasakan serba lengkap, dengan adanya ikatan utuh bersama suami yang diperkukuhkan lagi kehadiran si kecil bernama Khyra Khalyssa sejak sembilan bulan lalu.Sekali pun tidur malam tidak menentu dan naluri keibuan sering tersentuh setiap kali berjauhan dengan cahaya mata hasil perkongsian hidup bersama suaminya, Mohd Hafizy Hafiz itu, fasa yang dilalui ibu cantik ini kini dirasakan cukup membuatkan dia begitu menghargai setiap detik.
Malah kehadiran insan istimewa itu menjadi antara pemangkin kepada empunya nama Wan Intan Edrinas Mokhtar, 28, untuk memperhebatkan lagi usaha membantu insan memerlukan, terutama kanak-kanak yang menghuni rumah kebajikan bersama kelab peminatnya.

“Kelab peminat Dynas belum dirasmikan tetapi kami sudah memulakan aktiviti dengan membawa penghuni Rumah Kasih Harmoni Sg Buloh menyaksikan pementasan Peter Pan baru-baru ini. Melihat kepada kegembiraan kanak-kanak terbabit, semakin semarak niat kami meneruskan usaha ini.

“Setakat ini kami menumpukan perhatian terhadap rumah terbabit memandangkan banyak lagi perkara perlu diberi perhatian kerana terdapat lebih 60 penghuni yang masih di bangku sekolah dan kita akan mendahulukan keperluan penting untuk anak-anak ini,” katanya yang cukup bersemangat merencana program bagi aktiviti akan datang.

Buat masa ini katanya, peminat boleh berhubung menerusi blog khusus DynasFanClub yang akan mengemaskini sebarang perkembangannya dan kelab terbabit sekali gus merapatkan hubungan seluruh ahli, termasuk dari Sabah dan Sarawak.
Jujurnya, program amal atau kebajikan bukan perkara baru dalam hidup si jelita berkulit mulus itu kerana sejak zaman solo lagi Dynas aktif membabitkan diri dalam aktiviti berkaitan. Sekarang, tiba masanya kelab peminat itu muncul sebagai gelanggang terbaru untuk dia membantu insan memerlukan.

“Inilah saja yang mampu saya lakukan untuk menceriakan kehidupan kanak-kanak itu. Paling istimewa aktiviti amal ini direalisasikan hasil permuafakatan ahli kelab, sekali gus membuatkan penubuhan kelab peminat ini lebih bermakna,” katanya yang bakal menganjurkan kursus kecantikan untuk ahlinya sedikit masa lagi.

Jenama Dynas

Menyentuh mengenai kerjaya seni, Dynas berkata, selepas bercuti hampir setahun sejak menanti kelahiran hingga habis berpantang memang agak janggal apabila mula-mula berdiri di depan kamera, apatah lagi setiap saat memikirkan bayi tercinta namun perasaan itu dapat diletakkan ke tepi.

Kini selain sibuk di lokasi penggambaran, program bersama kelab peminat dan menguruskan keluarga, wanita berjiwa kental itu masih berkesempatan mengatur strategi demi merealisasikan impiannya membuka gerai di The Curve untuk menjual koleksi busana ibu menyusukan di bawah label sendiri, DnA Exclusive.

“Seperti ibu lain, sukar untuk mendapatkan pakaian bersesuaian yang memudahkan ketika kita membawa anak keluar. Berikutan sokongan suami, saya mereka sendiri busana menepati cita rasa ibu moden dan kiosk pertama DnA Exclusive dijangka beroperasi dalam tempoh terdekat.

“Sebagaimana nama jenama ini, setiap rekaan juga hanya akan dikeluarkan dalam kuantiti terhad, malah saya merancang untuk mempelbagaikan lagi produk terutama barangan bayi dan penyusuan untuk memudahkan pelanggan mendapatkan keperluan mereka,” katanya lagi.

Pemenang kategori Pelakon TV Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH2008) itu mengakui sejak kehadiran Khyra, setiap saat dirinya terisi dengan pelbagai agenda bermakna yang sebelum ini tidak disangka mampu digagahinya.

“Saya bukan mahu menjadi ‘supermom’ atau ibu terhebat kerana semuanya hadir tanpa disedari dan lebih menakjubkan apabila saya mampu memenuhi semua tanggungjawab serentak sedangkan ketika solo dulu banyak perkara tertangguh.

“Inilah hikmah selepas bergelar isteri seterusnya ibu kerana segala urusan saya dipermudahkan oleh-Nya, membuatkan saya sentiasa bersyukur dengan nikmat yang diberikan. Mana mungkin saya mempersia-siakan setiap saat yang saya lewati ini,” kata pelakon Awan Dania musim ketiga itu.

Selain Awan Dania musim baru, Dynas yang turut memikul mandat sebagai pengacara Si Kecilku... Chakk!! yang disiarkan di TV3 sejak 5 Oktober lalu pada setiap Selasa jam 11 pagi, lakonannya juga dapat diikuti menerusi slot Akasia berjudul Cinta Kita.

PROFIL: Dynas
Nama Penuh: Wan Intan Edrinas Mokhtar
Tarikh Lahir: 8 Mac 1983
Asal: Petaling Jaya, Selangor
Pendidikan: Diploma Komunikasi Massa dari Universiti Teknologi Mara
(UiTM), Shah Alam, Selangor.
Pencapaian: Pelakon TV Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007 dan 2008.

Yuna akui Qi istimewa dalam hidupnya




AKHIRNYA penyanyi Yuna atau Yunalis Zarai, 23, mengakui yang Qi memang lelaki paling istimewa dalam hidupnya buat masa ini berbanding lelaki lain.

Sebelum ini penyanyi bertudung itu sering berdolak-dalik dan menepis setiap soalan yang berkaitan dengan Qi atau Qushairi Mohammed Razali, 34.

Namun, Yuna yang popular dengan lagu Dan Sebenarnya, berkata, buat masa sekarang, mereka belum terfikir untuk melangkah ke fasa seterusnya iaitu bertunang atau berkahwin.

Katanya, soal kahwin masih jauh kerana banyak perkara yang ingin dicapai dalam bidang seni sebelum bergelar isteri.

"Memang Qi lelaki paling istimewa dalam hidup saya dan saya selesa berkawan dengannya. Qi adalah lelaki yang baik dan saya rasa tenang dan gembira apabila bersamanya.

"Tetapi saya malas nak bercerita beriya-iya pasal hubungan kami kerana tidak mahu kisah itu membayangi cerita karier muzik pula. Lagipun saya dan Qi masih di peringkat mengenali hati budi," katanya.

Menurut Yuna, hubungannya dengan Qi yang bermula sejak mereka terlibat dalam program realiti, Kawanku Bintang Coca-Cola pada tahun lalu turut mendapat restu daripada keluarga masing-masing.

Bagaimanapun, Yuna tidak mahu kisahnya dengan Qi itu menjadi bualan ramai atau sering memberi kenyataan pada media, demi menjaga nama baik keluarga masing-masing.

"Walaupun umur kami jauh berbeza namun ia bukan menjadi masalah kerana kami mempunyai persamaan iaitu sama-sama suka muzik, biarpun genre muzik dia dan saya berbeza," katanya.

Malah, penyanyi itu juga tidak keberatan jika Qi muncul dalam projek Yuna Inspired Powered By DiGi yang sudah mula menjalani penggambaran sejak November lalu.

Yuna dedah aktiviti harian

Program Yuna Inspired Powered DiGi yang bakal disiarkan menerusi saluran Astro Hitz (Salura 705, Astro) mulai minggu pertama Mac ini dan di laman web www.yunainspired.com bermula 14 Februari ini akan memaparkan tentang kegiatan seni Yuna.

Menurut pengarah program, Jojo Struys, terdapat 24 episod yang akan merakam kegiatan Yuna di Kuala Lumpur sehingga ke London dan Amerika Syarikat.

"Belum pernah ada program berkisar kehidupan seharian Yuna tapi fokus lebih kepada kegiatan muzik. Apa yang sering Yuna lakukan di waktu lapang dan ketika di belakang pentas.

"Menerusi rakaman ini para peminat dapat mengenali siapa Yuna yang sebenarnya. Tiada skrip khusus kerana Yuna akan bercakap dan bercerita secara spontan," kata Jojo.

Selain menonton aksi Yuna di kaca televisyen (TV), peminat juga berpeluang menulis lirik untuk lagu ciptaan Yuna.

Setiap episod di TV akan disiarkan selama 15 minit manakala di Internet pula, selama lima minit dan peminat juga berpeluang untuk berinteraktif dengan Yuna.

Kata Jojo, setiap minggu akan dipilih seorang pemenang yang berjaya menulis sebaris lirik yang menarik.

"Untuk setiap rangkap, akan ada sebaris lirik yang perlu diisi oleh peminat menerusi laman sosial Facebook atau Twitter. Jika lirik mereka dipilih, peminat itu kelak berpeluang menghadiri konsert Yuna yang bakal diadakan di Lembah Kelang tidak lama lagi," ceritanya.

Selain Astro Hitz, turut menjayakan projek Yuna Inspired ini adalah DiGi, Cannon dan Penerbangan Malaysia (MAS).

Shahriza Mahmud Kahwin Abang Ana Raffali

Shahriza dan Saddiq akan bernikah pada 5 Februari ini di Alor Setar.

PETALING JAYA: Dramatis Shahriza Mahmud, 40-an, bakal bernikah dengan abang penyanyi Ana Raffali, Saddiq Raffali, 30, pada 5 Februari ini, pukul 11 pagi di Masjid Rafeah, Taman Uda, Alor Setar, Kedah.

Sementara majlis resepsi akan berlangsung pada hari yang sama bermula pukul 12 tengah hari di rumah pengantin perempuan di Taman Muhibbah, Lebuhraya Sultanah Bahiyyah, Alor Setar.

Pelakon Semanis Janji dan Antara Maruah dan Pengorbanan itu bakal menerima tujuh dulang berbalas sembilan dulang kepada pengantin lelaki termasuk wang hantaran RM1,888.89 dan mas kahwin RM1,111.11.

Menyentuh tentang angka wang hantaran dan mas kahwin itu, Shahriza akui kedua-duanya mempunyai makna simbolik untuk mencapai kebahagiaan dan kemakmuran dalam menempuhi alam rumah tangga.

“Majlis perkahwinan kami dilakukan secara kecil-kecilan sahaja tetapi sangat bermakna. Sebelum majlis nikah, keluarga saya akan mengadakan majlis Burdah pada pukul 9 pagi di rumah kami.

“Kami merancang untuk membuat satu kenduri sahaja untuk kedua-dua belah pihak setelah memikirkan tentang kos. Tetapi jika ada rezeki, kami merancang untuk membuat majlis doa selamat di Kuala Lumpur nanti,” ujarnya yang turut bergelar penulis skrip dan pengarah drama.

Shahriza juga pernah menjadi penolong pengarah di samping Saddiq untuk klip video lagu Hujan Bunga di Kuala Lumpur nyanyian Ana Raffali. Saddiq terlibat dalam kerja di belakang tabir dan bergelar pelakon.

Kedua-duanya akan mengenakan dua persalinan tajaan Zeellion Bridal Gallery & Beauty untuk majlis akad nikah dan persandingan bertemakan warna hijau.

Pasangan yang bercinta selama lima tahun ini telah lama merancang untuk berkahwin bagaimanapun mereka mula serius tentang perkahwinan setelah keluarga Saddiq menghantar rombongan merisik ke rumah Shahriza pada Disember lalu.

“Ikutkan, sejak tahun pertama kami bercinta lagi Saddiq dah ajak saya berkahwin tetapi waktu itu keadaan tidak mengizinkan tambahan pula sibuk dengan kerja masing-masing.

“Setelah lama tertangguh, akhirnya ibu dan bapa saya bersuara dan meminta kami memikirkan tentang perkahwinan sebelum mereka mengerjakan haji di Mekah pada November tahun lalu.

“Jadi, sejak dari itu kami mula berbincang dan merasakan sudah tiba masanya untuk berkahwin. Pada mulanya kami memilih bulan Disember lalu tetapi terpaksa tangguh kerana bertembung dengan majlis pertunangan adik saya. Selepas itu kami memilih tarikh 1 Januari lalu tapi tidak menjadi juga kerana persekolahan baru bermula,” kata Shahriza kepada mStar Online.

Shahriza yang pernah berkahwin sebelum ini akui Saddiq merupakan lelaki yang mudah serasi dan mempunyai banyak persamaan dengannya.

“Hubungan kami sangat unik. Mengenali Saddiq, dia merupakan seorang yang ego dan keras kepala seperti saya. Tetapi yang peliknya apabila kami bergaduh, kami cepat berbaik semula dan melupakan pergaduhan itu.

“Yang membuatkan saya terharu apabila dia berani melamar saya selepas dua minggu kami berkenalan,” ceritanya lagi.

Seramai 600 tetamu yang dijangka akan menghadiri majlis perkahwinan Shahriza dan Saddiq termasuk keluarga kedua-dua belah pihak, kawan-kawan dan rakan artis.

Bagaimanapun, Shahriza turut memberikan peluang kepada para peminat untuk menghadiri majlis pernikahan mereka itu.

Selepas berkahwin, Shahriza masih meneruskan kariernya sebagai pelakon, penulis skrip dan pengarah selain mengusahakan syarikatnya, Master Shot Event yang ditubuhkan sejak lima tahun lalu.

“Saya masih lagi membuat kerja yang sama cuma tidak seaktif dulu kerana banyak menumpukan kepada syarikat saya yang mengendalikan acara seperti bengkel penulisan skrip, motivasi, majlis makan malam, percutian secara kecil-kecilan,” katanya.

Bercerita tentang bulan madu, pasangan ini dijangka akan ke Cameron Highlands pada dua hari selepas majlis pernikahan dan seterusnya ke Pulau Redang pada waktu yang sesuai.

"Bercinta Dengan Orang Utan" - Farid Kamil Kecewa

PETALING JAYA: Pelakon Farid Kamil kecewa apabila sebuah artikel di ruangan pojok pada sebuah akhbar mengatakan ingin melihat pelakon itu bercinta dengan seekor orang utan.

Menurutnya, walaupun ia ditulis ringkas yang berbunyi, Nak Tengok Farid Kamil Bercinta Dengan Orang Utan, ayat tersebut ternyata memberi impak negatif terhadap diri, keluarga serta peminat-peminatnya.

"Itu satu penilaian yang kurang sopan apabila ayat itu mengaitkan saya dengan seekor haiwan mamalia.

"Saya kecewa bila orang menilai saya sebegitu rupa. Apa-apa pun, terima kasih kepada orang yang ingin melihat saya bercinta dengan orang utan. Mungkin mereka lebih tahu apa yang terbaik untuk diri saya," katanya dengan nada sinis.

Tambah pelakon tersebut, dia berharap agar pihak yang mengata buruk tentangnya berfikir sebelum menulis dan tiada lagi kata-kata negatif yang membabitkan haiwan ditujukan kepadanya lagi atau orang lain.

Sementara itu, Farid gembira apabila badannya semakin susut dan tidak menggelebeh hasil daripada latihan menunggang kuda sejak beberapa bulan yang lalu.

"Setiap kali saya tidak mempunyai apa-apa kerja, saya akan menghabiskan masa menunggang kuda.

"Memang sejak kecil lagi saya meminati sukan polo. Dan alhamdulillah, saya baru sahaja melepasi ujian Royal Malaysia Polo Club di mana saya boleh menyertai perlawanan kuda jika mahu.

"Justeru itu, saya juga telah membeli seekor kuda untuk memudahkan saya membuat latihan," jelasnya yang sedang sibuk mengarah filem barunya, Petiga.

Borneo Sasaran Konsert Aizat Pertengahan Tahun Ini

PETALING JAYA: Selepas menjayakan konsert solo pertamanya di Auditorium Bentley, Damansara, di sini, pada Sabtu lalu, penyanyi Aizat Amdan mensasarkan Borneo sebagai lokasi konsert seterusnya pada pertengahan tahun ini. Penyanyi lagu Susun Silang Kata dan Sungai Lui itu bagaimanapun tidak dapat mengulas lanjut tentang konsert tersebut kerana semuanya masih dalam peringkat perbincangan.

Biarpun begitu, pemuda berusia 22 tahun itu agak teruja dengan tercapainya impian sejak berusia belasan tahun untuk mengadakan konsert seperti itu.

“Saya rasa sangat teruja apabila mendapat tahu 700 tiket konsert pada malam ini (Sabtu) habis dijual. Ini merupakan konsert yang saya idamkan dengan abang saya, Anas sejak kecil lagi.

“Sewaktu berusia 12 tahun, saya dan Anas selalu berangan-angan bermain gitar di sebuah konsert. Bagaimanapun, konsert hari ini bukanlah penamat segala-galanya sebaliknya ia sebagai satu langkah untuk membuat konsert jelajah suatu Malaysia. Insya Allah,” katanya dalam satu sidang media selepas konsert ‘Urusan Aizat Amdan Live In Damansara’ berakhir.

Turut hadir di konsert itu adalah penyanyi Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Sharifah Aini, Dafi, Noh (Hujan), Mizz Nina dan Bunkface.

Konsert anjuran syarikatnya, Kasi Gegar Entertainment (KGE) itu menampilkan 16 lagu popular dan yang dimuatkan dalam album Aizat seperti ‘Lagu Kita’, ‘Cintai Diriku’, ‘Kau Aku’, Erti Hari Ini’, ‘Susun Silang Kata’, ‘Sungai Lui’, ‘Hanya Kau Yang Mampu’, ‘Fikirlah’, ‘Pergi’, ‘Sahabat’ dan ‘Di Mana Pun Engkau Berada’ (Feat DJ Fuzz).

Pada akhir konsert, Aizat menyampaikan lagu ‘Perpisahan’ nyanyian asal daripada Anuar Zain.

Menurut komposer dan penulis lirik ini, dia akan cuba meningkatkan mutu konsertnya dari segi teknikal.

“Bukan mudah untuk membuat konsert yang sempurna tetapi pada peringkat awal ini saya belajar banyak perkara seperti teknikal dan promosi.

“Saya juga berpuas hati dengan keserasian peminat yang seronok dan sama-sama menyanyikan lagu-lagu saya sepanjang konsert ini.

“Ada juga peminat yang sanggup datang dari jauh termasuk Singapura untuk menonton konsert ini. Yang penting, apa yang saya mahukan selama ini tercapai pada malam ini. Saya sangat bersyukur,” katanya lagi yang turut menerima kejutan ulang tahunnya ke-21 di hujung konsert itu.

Pemenang Juara Lagu menerusi lagu ‘Pergi’ di Anugerah Juara Lagu ke-23 ini berharap agar dapat mengubah dirinya menjadi lebih baik pada masa akan datang.

Marion Caunter Selepas Jadi Isteri

DIA menjadi tumpuan ketika melangkah masuk ke lobi Hotel Impiana Kuala Lumpur. Malah setiap langkahnya diperhatikan orang di sekeliling termasuklah pelancong asing yang berada di situ.

Mungkin kerana personaliti dan keyakinannya membawa diri di khalayak, pemilik nama Marion Rose Caunter Abdullah seperti memiliki aura hebat sehingga menjadi perhatian.

Ternyata kerjayanya sebagai pengacara E! News Asia sejak tahun lalu banyak membantu menampakkan personaliti wanita berusia 30 tahun ini untuk lebih menyerlah. Apatah lagi apabila berpeluang mengendalikan program-program seperti The Biggest Loser Asia serta ESPN MyEG Xtra Time.

Rezeki Marion di luar negara semakin terbuka luas selepas mengendalikan program pertandingan realiti One In A Million bersama Awal Ashaari untuk tiga musim berturut-turut tidak lama dulu.

Bagaimanapun, wanita ini masih mencari peluang mengacara sehingga mampu mengendalikan sebuah program di Hollywood.

Dalam pada itu, Marion turut membantu suaminya, Ketua Pegawai Eksekutif Naza Kia, SM Nasarudin SM Nasimuddin (Nasa) membina rangkaian label fesyen suaminya sendiri iaitu In Add Minus yang berpusat di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Menariknya majlis pelancaran jenama fesyen berkenaan telah diadakan pada November lalu dan ia telah dihadiri ramai selebriti popular Hollywood seperti Ann Kendrick, Jessica Szohr dan Matthew Marrison (Glee).

Ia juga merupakan satu langkah baru untuk Marion mempelajari selok-belok bidang perniagaan fesyen bersama suaminya itu.

“Benar, saya sedang cuba mendapatkan peluang menjadi pengacara ke tahap yang lebih tinggi tetapi semua itu bergantung dengan keputusan suami sama ada dia membenarkannya ataupun tidak.

“Tambah pula Nasa baru memulakan perniagaan dalam bidang fesyen, saya perlu membantunya juga. Dalam pada itu saya turut mempromosikan baju tersebut dengan memakai pakaian In Add Minus untuk program-program yang saya acarakan.

“Saya rasa perniagaan ini satu perkara yang menyeronokkan. Kebetulan pula Nasa turut menggemari bidang ini. Mungkin jika saya tidak menjadi pengacara, fesyen adalah bidang yang akan saya terokai,” katanya.

Tambahnya, buat masa ini, dia gembira dengan pencapaian kerjaya yang dimilikinya dan ingin mendapatkan sebuah pencapaian di bidang pengacaraan.

Belajar masak untuk suami

Baru saja bergelar isteri pada 16 Disember tahun lalu, seri wajah pengantinnya masih lagi bersinar.

Namun, kata anak kelahiran Pulau Pinang ini, walaupun masih lagi berada dalam suasana pengantin baru, kesibukannya sebagai pengacara membuatkan dia dan suami jarang-jarang berjumpa berbanding pasangan pengantin baru yang lain.

Malah kehidupan sebagai suami isteri belum dirasai sepenuhnya oleh mereka.“Selepas berkahwin, tidak banyak perubahan pun berlaku kerana kesibukan kerjaya masing-masing. Ini pun saya baru balik dari Singapura kerana kesibukan rakaman E!News Asia dan suami pula baru pulang dari Paris, Perancis.

“Bayangkan kami sudah dua minggu tidak berjumpa. Ia kelihatan seperti kehidupan kami sebelum kahwin.

“Apa-apa pun saya sukakan fasa baru hidup berumah tangga kerana yang menariknya, selepas masing-masing sibuk bekerja seharian, bila pulang ke rumah, kita dapat berada di samping orang yang kita cintai.

“Memang buat masa ini saya sangat sibuk dan perlu fokus dengan E! News Asia. Saya harap tahun ini kesibukan saya dapat dikurangkan kerana ingin meluangkan sedikit masa di rumah bersama suami,” katanya.

Tambah Marion, kesibukan dia dan suami tidak menghalang mereka untuk menambahkan bilangan keluarga yang baru dibinanya.

“Rasanya kami sudah bersedia untuk menjadi ibu dan ayah. Insya-Allah mungkin dalam masa terdekat ini. Selain itu, saya juga ingin belajar masak untuk suami,” selorohnya.

Tidak keberatan untuk berkongsi cerita mengenai perubahan dirinya selepas memeluk agama Islam pada Oktober tahun lalu, Marion berkata Nasa banyak mengajarnya mendalami Islam sedikit demi sedikit.

Namun, sebagai seorang saudara baru ataupun mualaf , dia gembira kerana dapat merasakan kehidupan yang lebih baik selepas memeluk Islam.

“Alhamdulillah, saya sedang mendalami Islam sedikit demi sedikit dan Nasa yang memberi tunjuk ajar kepada saya.

“Bagaimanapun, dia tidaklah memaksa saya memakai tudung atau apa-apa pun dan katanya, dia akan mencintai saya walau apa jua keadaan,” tuturnya.

Berbulan madu pada Tahun Baru Cina

Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, Marion akan melalui Tahun Baru Cina dengan cara yang berbeza pula kali ini.

Pengacara itu mengambil kesempatan cuti Tahun Baru Cina pada 3 Februari depan untuk pergi berbulan madu di beberapa lokasi yang masih lagi belum diketahui.

“Mungkin sambutan Tahun Baru Cina saya agak berbeza. Kebetulan pula saya dapat cuti daripada pihak E! News, Nasa dan saya bersepakat untuk berbulan madu sebelum kembali sibuk dengan kerja.

“Jadi saya tidak dapat menyertai saudara mara meraikan sambutan itu. Cuma sebelum bergerak ke destinasi percutian kami akan mengadakan makan malam bersama keluarga,” ujarnya.

Mengimbas kenangan sambutan Tahun Baru Cina pada zaman muda, Marion gembira kerana zaman kanak-kanaknya dipenuhi dengan kegembiraan bersama rakan-rakan seusianya setiap kali sambutan tahun baru itu berlangsung.

“Sambutan tahun Baru Cina adalah masanya untuk kami sekeluarga berkumpul bersama saudara mara yang lain di rumah emak, di Sungai Siput, Perak.

“Tapi rasanya, tidak kira apa jua perayaan, baik sambutan Krismas, Hari Raya atau sambutan perayaan lain, inilah masanya untuk kami berkumpul seisi keluarga. Saya sangat gembira bila meluangkan masa bersama mereka,” katanya.

Debaran Fran Selepas 33 Tahun

BERPELUANG membuat persembahan di pentas berprestij Istana Budaya pada 5 dan 6 Februari ini, penyanyi Francissca Peter atau Fran mengakui teruja menghitung hari untuk acara yang penuh bermakna dalam “Konsert Keunggulan 33 Tahun Francissca Peter”.

Biarpun tempoh sebulan yang diperuntukkan kepadanya untuk mempersiapkan diri terlalu singkat, Fran berharap ia dapat melakukannya dengan sehabis baik.

Jelas Fran, konsert berkenaan adalah penghargaan atau hadiah kepada peminat-peminat yang masih memberi sokongan terhadap kerjayanya sejak berkecimpung dalam industri seni.

“Pertama kali diberi kepercayaan membuat persembahan di Istana Budaya sudah tentu perasaan bercampur baur, teruja dan berdebar menantikan tarikh tersebut.

“Buat masa sekarang saya sibuk dengan promosi, manakala latihan penuh bersama orkestra akan dilakukan bermula 1 Februari nanti.

“Saya percaya Datuk Ramli MS akan membuat yang terbaik untuk konsert itu nanti,” katanya yang mendapat khidmat Ramli selaku pengarah muzik.

Konsert yang bakal mengimbas nostalgia lama ini akan menampilkan lagu-lagu popular yang menjadi siulan satu masa dahulu seperti Kehebatan Cinta, Oh La La Tropika, Sekadar Di Pinggiran, Kerana Terpaksa dan Aku Hanya Pendatang.

Selain itu, Fran yang menyatakan kekecewaannya tidak dapat berduet dengan penyanyi Jamal Abdillah itu juga bakal berduet dengan artis jemputan iaitu Royston Sta Maria (Roy) yang akan diterbangkan khas dari Australia.

“Saya sebenarnya berharap agar dapat berduet dengan Jamal sebab lagu Kehebatan Cinta memang peminat inginkan kami menyanyi bersama.

“Tapi atas sebab-sebab tertentu dia tidak dapat bersama saya pada malam tersebut. Namun begitu penampilan khas Roy dapat mengubati kerinduan peminat,” katanya yang bakal membawakan lagu duet berjudul Siapa Dia Sebelum Daku dan Bersama Pertemuan Ini bersama penyanyi itu.

Dalam pada itu, konsert selama dua setengah jam tersebut juga bakal menampilkan lima segmen namun begitu Fran lebih selesa ia menjadi sebuah kejutan buat peminat.

“Konsert tersebut juga mempunyai lima segmen. Selain menampilkan lagu-lagu hit saya juga bakal memperdengarkan lagu baru yang belum diperdengarkan di mana-mana radio tempatan.

“Satu segmen akan didedikasikan kepada Yayasan Salam dan Organisasi Kebajikan Antarabangsa World Vision Malaysia,” katanya.

Apa yang penting baginya ialah mengharapkan keadaan berjalan seperti yang dirancang terutamanya dari segi kesihatan.

“Saya hanya mengharap tidak jatuh sakit dan diberi kesihatan yang baik sepanjang berlangsungnya konsert tersebut.

“Saya tidak mahu peminat yang selama ini menantikan kemunculan saya berasa kecewa. Oleh itu saya sentiasa pastikan mendapatkan rehat dan tidur yang secukupnya pada hari menjelang konsert ini.

“Dari segi stamina, saya tidak berapa risau kerana selama ini saya memang selalu buat persembahan di majlis-majlis tertutup,” katanya yang mengharap peminat-peminatnya memberi sokongan terhadap konsert sulungnya itu.

Tiket menyaksikan konsert berkenaan dijual dengan harga RM99, RM149, RM189, RM239 dan RM299 yang boleh didapati secara dalam talian di www.francisscapeter-consert.com, www.airasiaredtix.com dan www.ticket2u.biz atau telefon 03-41478600.

Pada hari tersebut juga, penganjur Eye Design akan turut menjual kompilasi kesemua album Fran dalam bentuk ‘box set’ pada harga istimewa.

Pengalaman Jualan Langsung Bawa Untung Pada David Teo

David Teo

SEPERTI umum sedia maklum, syarikat produksi Metrowealth International Group (MIG) berjaya membuktikan industri penerbitan filem dan drama mampu mendatangkan hasil yang lumayan apabila kebanyakkan filem terbitan syarikat produksi itu berjaya mendapat kutipan berjuta-juta ringgit.

Tahun 2010 sahaja, MIG berjaya meraih jumlah kutipan sebanyak RM42 juta bagi 11 filem yang diterbitkan dan kejayaan itu dikongsi bersama pada majlis malam penghargaan dan penyampaian bonus “1 Dekad 49 Filem” dengan mengeluarkan bajet sebanyak RM4.5 juta untuk berkongsi rezeki dengan orang yang terlibat secara langsung dalam penerbitan filem-filem MIG.

Malah, baru-baru ini, filem komedi seram, Ngangkung menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records 2011 sebagai filem yang menerima kutipan boxoffice tertinggi sepanjang tahun itu.

Dalam masa sebulan sahaja, Ngangkung berjaya menghasilkan rekod kutipan RM8 juta dan sekali gus mengatasi rekod filem Adnan Sempit yang berjaya memperoleh kutipan RM7.8 juta.

Apabila melihat kejayaan MIG yang kerap mendapat kutipan boxoffice, persoalan pasti timbul bagaimana Ketua Pegawai Eksekutifnya, David Teo menyusun strategi dalam menarik minat penonton menyaksikan filem-filemnya.

Bagi David, apa yang diamalkan pada perniagaan jualan langsung sebelum menyertai industri perfileman diterapkan dalam perniagaannya sekarang.

Dan apa yang paling penting, David akan memastikan keuntungan yang diperoleh perlu dikongsi dengan individu yang terlibat dalam perniagaannya itu.

“Berkongsi rezeki merupakan sebuah amalan yang dilakukan oleh mana-mana agama dan itu yang sering saya terapkan. Kalau banyak rezeki yang diperoleh, banyaklah yang saya kongsi. Sekali gus saya akan mendapat hadiah doa daripada mereka.

David memenangi pelbagai anugerah sejak menerbitkan filem pada tahun 2000.

“Selain itu memandangkan saya berpengalaman dalam perniagaan jualan langsung, saya menggunakan kaedah yang dipelajari itu dalam dunia perfileman.

“Yang penting, saya akan menghormati kehendak penonton dan pada masa yang sama saya akan menggunakan elemen komersial dan artistik bagi setiap filem,” katanya.

Bagaimanapun, apa yang lebih penting ialah promosi bagi sesebuah produk dan David akan memastikan setiap filemnya diberi promosi sebanyak yang mungkin tidak kira di media cetak atau elektronik.

Mahu melihat sendiri respons daripada penonton, David sering kali ke pawagam untuk melihat reaksi penonton tentang filem-filemnya dan jika filem tersebut tidak memuaskan penonton, dia akan menukar strategi konsep penghasilan filem.

“Selalunya, bila filem itu dah mula, saya akan senyap-senyap masuk ke panggung dan lihat sendiri reaksi penonton-penonton. Bagi saya penonton merupakan punca kejayaan sesebuah filem saya,” tuturnya.

Menariknya tentang David, walaupun dia berbangsa Cina serta beragama Buddha, perbezaan kaum dan agama tidak pernah dibandingkan.

Malah pekerja-pekerjanya sahaja 95 peratus adalah berbangsa Melayu dan setiap kali pelancaran dan penutup penggambaran filem-filemnya, David akan membuat majlis doa selamat cara orang Islam.

“Saya rasa doa adalah perkara yang paling penting sebelum memperoleh kejayaan. Bayangkan, dalam sehari jika ada lima filem yang membuat penggambaran serentak, maka lima kali dalam seharilah saya membuat majlis doa selamat.

“Nak ikutkan, majlis doa selamat sering kali saya lakukan sejak di zaman perniagaan jualan langsung di mana ada seorang ustaz yang bernama Ibrahim di stokis mengajar saya banyak perkara tentang Islam.

“Dialah yang mengajar saya kenapa kita perlu mengadakan majlis doa kesyukuran apa keuntungannya jika kita berbuat demikian. Justeru itu saya ikut kata-kata ustaz itu sehinggalah hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, walaupun sering mengamalkan cara-cara Islam dalam perniagaannya, David tidak merancang untuk bertukar agama.

Baginya, amalan yang perlu dibuat pada sesebuah agama itu lebih penting daripada menukar kepada agama itu.

“Saya akui banyak amalan Islam yang saya ikuti dan buat. Tapi bagi saya, mengamalkan lebih penting daripada memasuki sesebuah agama itu.

“Tapi manalah tahu, andai kata sudah tiba masanya untuk saya mengubah kepercayaan saya,” kata David.

Bagaimanapun, tahun 2011, David merancang untuk menerbitkan sebanyak 19 buah judul filem yang antaranya ialah Kembar Siang, Kongsi, Keramat, Senario The Movie Ops Pocot, Sekali Lagi, 321 Cinta, Flat 3A, 8 Jam, Alamak, Toyol! dan Pe3.

Sementara itu, Skim sepuluh Pengarah Muda MIG yang diperkenalkan tahun 2007 sehingga kini telah memperkenalkan tujuh orang pengarah muda iaitu Pierre Andre, Norliana Samsudin, Farid Kamil, Azhari Zain, Ismail Bob Hasim, Hashim Rejab dan Ahmad Rusli Mohd Khadri.

Selain Lisa Surihani, Farid Kamil, Yana Samsudin, Intan Ladyana, Adeline Tsen, MIG turut berjaya menguruskan artis-artis lain di bawah syarikat produksi itu antaranya Shaheizy Sam, Kamal Adli, Fizo Omar, Angah dan Along Raja Lawak.

Ia menjadikan keseluruhan jumlah artis naungan MIG sehingga kini mencecah hampir 50 orang.

“Tahun ini merupakan tahun arnab jika mengikut kalendar Cina dan kita perlu berlumba-lumba kerana persaingan semakin hebat dan mencabar. Tambah pula ramai penerbit yang masuk ke gelanggang filem,” katanya.

Tiga Selebriti Kongsi Pengalaman Tahun Baru Cina

Dari kiri: Siad huey, Chan wei wei dan Frederick Lee

KALI pertama digandingkan untuk sesi fotografi sempena Tahun Baru Cina, tiga selebriti terkenal ini bagaikan sudah lama mengenali antara satu sama lain.

Keadaan menjadi riuh apabila mereka masing-masing menceritakan pengalaman ketika sambutan perayaan terbesar kaum Cina itu.

Nama pelakon Frederick Lee, pengacara Chan Wei Wei dan pembaca berita NTV7 Lee Siad Huey sudah tidak asing lagi dikalangan masyarakat Cina. Malah mereka turut mempunyai pengikut dari kaum Melayu yang menggemari program mereka.

Ketika sesi fotografi ini dilakukan mereka dihidangkan dengan pelbagai juadah menarik sempena Tahun Baru Cina dari Cinnamon Coffee House tajaan One World Hotel, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor.

Frederick tak lupa tradisi

Freederick Lee

Bagi Frederick atau lebih senang disapa Fred, perayaan Tahun Baru Cina merupakan masa yang ditunggu-tunggu setiap tahun. Jelas pemuda berusia 27 tahun ini, setiap kali tibanya perayaan ini dia sudah memastikan tiada sebarang komitmen terhadap penggambaran drama.

“Awal-awal lagi saya akan memastikan tiada sebarang penggambaran drama dalam tempoh sebulan itu.

“Kebiasaannya saya akan balik kampung dalam tempoh agak lama. Saya sanggup tidak balik pada hari biasa untuk menyimpan cuti tersebut semata-mata untuk Tahun Baru Cina,” ujarnya.

Biarpun sudah terbiasa dengan kehidupan di kota, anak jati Melaka ini mengakui adat tradisi yang dipupuk oleh keluarga sejak kecil masih menebal dalam dirinya.

“Walaupun menjalani kehidupan moden, saya tidak pernah melupakan adat tradisi setiap kali menyambut perayaan. Seperti tahun-tahun sebelumnya perkara wajib ialah berkumpul seisi keluarga.

“Selepas itu kami akan ke sebuah restoran lama milik rakan bapa saya untuk upacara makan besar. Menu istimewa pula ialah hidangan sate Melaka yang satu-satunya terdapat di situ,” katanya.

Tambah Fred, pengertian Tahun Baru Cina baginya adalah hari di mana mereka dapat berkumpul seisi keluarga dan meraikannya.

“Hanya pada Tahun Baru Cina kami akan berkumpul beramai-ramai dan ia adalah hari yang paling istimewa bagi setiap keluarga,” katanya.

Ketika sesi fotografi yang dilakukan kami turut dihidangkan dengan pelbagai juadah menarik sempena tahun baru Cina dari Cinnamon Coffee House, One World Hotel.

Siad Huey masak untuk keluarga

Suad Huey

Sementara itu, Penyampai berita NTV7, Lee Siad Huey telah pun membuat persiapan awal untuk sambutan kali ini.

“Tahun ini saya telah buat persiapan lebih awal kerana kali ini saya dapat bercuti panjang pada hari raya, ini kerana sudah tiga tahun saya terpaksa bekerja.

“Selain itu, apa yang lebih istimewa setiap kali perayaan saya akan masak sendiri untuk keluarga, kebiasaannya pada pagi raya kami akan memilih menu dan mencari resepsi yang ingin dimasak.

“Kemudian, saya akan ke pasar untuk membeli barangan keperluan untuk masakan tersebut,” ujarnya.

Seperti orang lain, sambutan kali Tahun Baru Cina sangat bermakna apabila ia disambut bersama keseluruhan keluarga besarnya. Katanya tiada hari lain yang diraikan semeriah perayaan ini.

Wei Wei tunai hasrat kanak-kanak

Chan Wei Wei

Pengacara rancangan Finding Angels, Chan Wei Wei mengakui perayaan kali ini lebih bermakna apabila dapat merealisasikan impian seorang kanak-kanak dalam program rancangan tersebut.

Jelas Wei wei, dia tersentuh apabila seorang kanak-kanak meminta agar membantunya memasak untuk keluarga pada Tahun Baru Cina ini.

“Untuk program khas Tahun Baru Cina, kami membantu seorang kanak-kanak yang mana keluarga mereka hidup dalam kemiskinan. Dia meminta kami agar merealisasikan impian untuk memasak untuk keluarganya.

“Biarpun impiannya mudah namun saya gembira kerana dapat melihat dia tersenyum apabila hasratnya pada Tahun Baru Cina ini telah terlaksana,” katanya.

Sementara itu, Wei Wei yang bakal bercuti panjang pada Tahun Baru Cina ini merancang untuk menyambutnya di luar negara bersama keluarga.

“Kami merancang untuk bercuti ke luar negara, namun pada Hari Raya pertama saya akan menyambutnya di Pulau Pinang bersama keluarga mertua dan kemudian barulah kami merancang untuk bercuti ke luar negara.

“Selain ambil peluang untuk ke luar negara kerana cuti untuk perayaan ini agak panjang dan ini sahaja masa yang ada untuk membawa keluarga bercuti,” kata anak jati Johor Baru ini.

Mayat bayi dicampak dalam longkang


MAYAT bayi lelaki yang masih mempunyai tali pusat dan uri ditemui di dalam longkang di Ayer Hitam, Batu Pahat semalam.


BATU PAHAT - Penduduk Taman Mekar, Ayer Hitam dekat sini gempar apabila mayat seorang bayi lelaki lengkap dengan tali pusat dan uri ditemui di dalam longkang berair yang masih dalam pembinaan di kawasan perumahan tersebut pagi semalam.

Mayat bayi itu ditemui seorang pekerja kontrak, Hamid Marsuki, 43, pada pukul 8.10 pagi ketika hendak memulakan tugas membina tembok rumah dan longkang di Jalan Mekar 5 di taman tersebut.

Rakyat Malaysia di Mesir selamat


KERETA-KERETA perisai melakukan rondaan di tengah bandar raya Kaherah, Mesir semalam.


KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia yang berada di Mesir dilaporkan selamat walaupun berlaku tunjuk perasaan besar-besaran di ibu negara berkenaan, Kaherah sejak kelmarin.

Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan akhbar semalam berkata, sehingga kini, tiada rakyat Malaysia termasuk penuntut dianggarkan 7,000 orang dilaporkan terlibat dalam gerakan anti kerajaan tersebut.

Kebanyakan rakyat Malaysia di Mesir terdiri daripada pelajar universiti terutama Universiti Al-Azhar, selain mereka yang bekerja dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Petronas dan Kedutaan Malaysia di negara itu.

Tentera turut diperintah mengawal semua kedutaan asing termasuk Kedutaan Malaysia di sini.

Tarikh pindah operasi dilanjut 1 Mac


KOMPLEKS TBS-BTS merupakan kemudahan pengangkutan awam termoden di negara ini.


KUALA LUMPUR – Selepas 10 kali mengadakan perbincangan namun kemelut perpindahan operasi bas ekspres laluan selatan ke Terminal Bersepadu Selatan - Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS) masih belum berakhir dan ditangguhkan lagi sehingga 1 Mac ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, kesemua pengusaha yang kini menggunakan Terminal Bas Sementara Bukit Jalil ke TBS diwajibkan berpindah pada atau sebelum tarikh itu.

“Sebenarnya semua pengusaha tidak ada masalah untuk berpindah pada 31 Januari seperti yang ditetapkan sebelum ini tetapi masalah sistem tiket sahaja yang menjadi isu dan ia kini telah diselesaikan.

Nora, Jejai bersatu demi Rayqal


BIARPUN bukan lagi suami isteri, Jejai dan Nora berusaha menjadi ibu bapa terbaik buat Rayqal.


TERLERAINYA ikatan perkahwinan Rizal Ashram Ramli dan selebriti Nora Danish sejak 2008, tidak pernah memutuskan tali silaturrahim dengan keluarga bekas suaminya.

Hubungan sebagai bekas menantu dan ibu kepada cucu sulung dalam keluarga itu adalah hakikat. Satu-satunya zuriat hasil jodoh singkat antara Nora dan Jejai, Putera Rayqal Ramli Rizallah menjadi penyambung hubungan antara Nora dengan bekas mertuanya iaitu bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib serta isteri, Puan Seri Raja Noora Ashikin Raja Abdullah.

Pelakon kecil molek itu mengakui, perkara itu bukan satu kejanggalan kerana sejak dari lahir, Rayqal ditatang bagai minyak yang penuh oleh keluarga mertuanya. Sebab itu juga, ajakan percutian bekas keluarga mertuanya ke Tokyo dan Niseko, Jepun pada 30 Disember 2010 hingga 19 Januari lalu disambut dengan besar hati.

“Percutian itu sudah lama dirancangkan, sejak Mei 2010 lagi. Lagipun, sudah menjadi agenda keluarga mertua untuk bercuti bersama keluarga setiap tahun. Hanya tahun ini saya dan Rayqal ikut serta.


ANAK BAPA. Rayqal dan Jejai mesra dan menghabiskan banyak masa bersama sepanjang percutian.


“Ia kebetulan untuk meraikan Rayqal yang genap usia 2 tahun pada 7 Januari lalu. Kami semua sangat seronok. Itu percutian pertama kali buat keluarga mertua bersama Rayqal.

“Sejak saya dan Jejai bercerai, itulah kali pertama juga kami bersatu sebagai sebuah keluarga untuk meraikan hari jadi Rayqal,” katanya yang dihubungi ketika dalam perjalanan ke Singapura untuk menyertai program anjuran Dunia Herb’s di sana.

Sedikit gusar, bimbang kalau-kalau disalah anggap kerana sanggup berkongsi rakaman kenangan sepanjang di Jepun, Nora cuma mahu berkongsi momen bahagianya sebagai ibu yang sedang bahagia melihat si kecil sedang membesar.

“Secara peribadinya saya seronok, kerana pertama kali bercuti ke sana, dapat tengok sekitar Tokyo, masuk ke muzium kesenian di sana dan kemudiannya ke Niseko. Dapat pula bermain ski bersama-sama,” katanya.


NORA bersama anaknya, Rayqal, bekas ibu mertua serta bekas adik-adik iparnya tidak puas berkongsi hobi bergambar untuk kenang-kenangan.


Baik semasa atau selepas pulang dari percutian itu, Nora menyifatkan ia sekadar satu penyatuan ahli keluarga bukan pula sebagai mengeratkan hubungannya dengan Jejai.

“Kami sekadar baik dan rasanya lebih baik kami begini sahaja dan percutian itu bukan untuk menyatukan perasaan kami berdua. Antara saya dan Jejai tidak wujud lagi perasaan cinta. Kami baik atas dasar kekeluargaan dan anak,” kongsi Nora.

Sepanjang percutian di negara matahari terbit itu, mereka menghabiskan 10 hari di Tokyo dan 10 hari lagi di Niseko. Selain bekas mertua, Nora sendiri, Rayqal dan Jejai percutian itu turut diserta Putri Azalea serta suaminya Alfi, Putri Yasmin dan Alia (adik Alfi).

Grup baru tidak berani – Spider




PERTEMUAN bersama Spider diadakan pada satu malam, sewaktu empat tentera muzik ini sedang leka berlatih di studio Luncai Emas milik sifu M. Nasir.

Suasana yang riuh dengan vokal berbalut instrumen diselang-seli celoteh ahli grup tiba-tiba sepi sebaik nama Loloq disebut.

Sebelumnya, penulis ada memberitahu artikel ini akan diterbitkan pada 30 Januari, tarikh sama kembalinya Allahyarham Rosli Khamis atau Loloq ke rahmatullah.

Hakikatnya, hubungan Spider dengan Loloq amat manis dan sangat rapat. Segalanya dikongsi bersama lebih-lebih lagi pada permulaan Spider mahu bertapak dalam dunia seni.

“Kami sangat kehilangan arwah. Album terdahulu kami, Bintang 12 adalah album terakhir bersamanya. Malah, boleh saya katakan bahawa pacuan Spider datang daripadanya.

“Loloq membuatkan kerja jadi seronok dengan penghasilan liriknya,” ujar Tam, termenung mengingatkan Loloq, lelaki yang setia dengan jenama Converse dan Levi’s.

“Kalau dia ada sekarang, pasti dia yang akan riuh-rendah. Beritahu apa yang bagus dan tidak.

“Malah, kalau sesebuah lagu dihasilkan, dia adalah individu yang akan melompat riang ke sana ke mari,” Tam bersuara.

Nafie menambah serius: “Lirik Loloq kena dengan keadaan semasa. Dia juga masak benar dengan cara hidup dan karakter kami. Itu yang membolehkan kerja jadi senang.

“Sebab itu apabila mahu memulakan album baru ini, kami terbayang-bayangkan arwah.

Penulis bertanyakan rutin arwah menulis untuk Spider yang sangat serasi dengan kumpulan itu.

“Dia memang tahu fiil dan perkembangan kami. Sudah ada idea dan intinya. Ada yang dia terus tulis, sejurus mendengar lagu.

“Lirik Aladin, dia tulis dalam masa 10 minit. Spontan. Ada yang dia minta salinan lagu dan buat kerja rumah dulu.

“Malah, kami juga selalu bincang pasal single dan tajuk sesebuah lagu itu. Jadi bila dia tiada, kami terasa sangat,” ulang Tam lagi.

Harapan Kitasatu

Perlahan-lahan meninggalkan laut emosi, penulis bertanyakan penghasilan album terbaru mereka, Kitasatu, sebuah album yang tiada langsung sentuhan Loloq.

Kurang puas rasanya mendengar album ini kerana cuma lima lagu yang dihadiahkan. Ia seperti satu perjalanan yang kurang lengkap.

Tam mengulas seraya mengiyakan: “Kita ikut perkembangan semasa. Sekarang lima lagu sudah dikira sebuah album.


SPIDER kembali menemui para pecinta mereka dengan album Kitasatu yang mengandungi lima buah lagu.


“Kalau kita bagi 10 lagu sekali pun, cuma beberapa yang ingin didengar, untuk apa? Kami sendiri kurang puas. Seperti ada yang kurang dan tidak padat.”

Memandangkan kebanyakan peminat sekarang lebih tertarik pada fenomena muat turun lagu dari Internet, Spider turut mengikut aliran itu.

Kata mereka, jalan ringkas ini perlu mereka cuba.

Menyentuh soal material, ujar Tam, mereka membuat rakaman secara langsung dan kembali kepada cara asas seperti album pertama, Ngam Ho.

Mereka mencuba semula proses rakaman awalan yang telah lama ditinggalkan.

“Ada pemuzik lain yang rasa album ini satu eksperimen,” kata Aie, sang pengetuk dram. Belum habis hujahnya, Nafie mencelah: “Semua album adalah eksperimen buat kami.”

Kitasatu, lagu yang sedang dipertaruhkan kini bukanlah sebuah kesinambunagan Relaku Pujuk. Itu pernyataan Tam.

“Ia sebuah lagu nukilan Keon buat saya, hadiah perkahwinan katanya. Melihat liriknya, ia sebuah lagu indah buat pasangan yang dilimpahi flora cinta.

“Kalau diikutkan, kita memang nak jadikan Ajaib lagu handalan kami tetapi ia dimainkan sekejap sahaja di corong radio.

“Ada yang berpendapat lagu itu terlalu eksperimental. Terperanjat mungkin,” ujar Tam yang menegaskan bahawa Spider tidak pernah mempromosikan lagu balada sebagai daya penarik material mereka.

“Kami sebenarnya mahu tonjolkan lagu-lagu yang lebih up beat,” ujarnya menghala kepada konsep grup ini yang kekal dengan genre ska dan rock.

Maka Kitasatu dihadiahkan dengan lima buah lagu hasil nukilan Spider beserta lirik oleh M. Nasir dan Keon.

Ia satu produk dengan persembahan material menarik walau cuma lima alunan lagu.

Mengimbas semula perjalanan album Spider daripada Ngam Ho ke Aladin, Nazraku dan Bintang 12, pasti setiap satunya membuahkan lebih daripada sebuah single yang menarik.

Rancang mereka juga, album ini bakal dilancarkan pada bulan hadapan di Hard Rock Cafe, Pulau Pinang sebelum diikuti siri jelajah Malaysia, khas untuk merapati kembali peminat yang sudah tiga tahun mereka tinggalkan tanpa material baru.

Penakut

Mood yang semakin menaik selepas bercerita soal album dan material dilanjutkan termometernya.

Sedikit panas apabila ditanya soal kematangan dan kesukaran sebuah grup bernama Spider.

Pernah ada suara keras di luar sana yang merungut mereka susah berurusan dengan Spider bahkan sukar dihubungi. Mereka cuma tersenyum.


GRUP ini mengharapkan grup-grup baru lebih berpendirian.


“Kami sedar ada yang masih bercakap tentang kami. Kononnya sukar berurusan. Bagi kami, industri yang harus matang. Jangan asal boleh sahaja,” ujar Nafie. Dia serius lagi.

“Pernah kami dipersalahkan hanya kerana meminta perkara asas sebuah grup sewaktu mahu mengadakan persembahan. Janganlah anggap enteng perkara yang kami minta.

“Tapi akhirnya jari telunjuk dituding ke arah kami sendiri,” tambah Tam yang meminta mood mereka tidak diperlekehkan sebelum persembahan.

“Kita lawan balik kerana ideologi grup. Kami lihat grup-grup baru sekarang penakut. Mereka tidak berpegang kepada falsafah perjuangan grup, (mereka) hanya mahu hidup dalam dunia seni.

“Mereka tidak prihatin dan bangun mempertahankan hak,” nasihat Tony persis seorang abang kepada si adik.

“Spider bukan mahu jadi musuh sesiapa. Cuma kita perlu ada pegangan agar tidak tertindas selain mesti ada sikap hormat menghormati,” perlahan Tam bersuara lagi.

Dia turut kecewa kerana alasan promosi dan persembahan amal membuatkan penyanyi di Malaysia dibayar dengan harga yang rendah.

Lalu cerita Tam, Nafie, Tony dan Aie yang sikap muncul kerana pegangan seni mereka. Mungkin ada yang tersalah tafsir atau sekadar mendengar cerita yang ditokok tambah.

Lali dengan cerita sebegitu, apa yang penting buat Spider ialah prinsip serta identiti diri. Mereka terus mekar dengan ‘ego’ yang berpaksi pada tujuan yang betul bergelar anak muzik.

Soul 3 semangat 1Malaysia


SOUL 3 yang dianggotai oleh (dari kanan) K. Ganesh, Terry Siau dan Helmi Fazli mencari posisi terbaik untuk dikenali. Album Gunung Asmara menjadi pertaruhan dan bakal muncul dengan konsert mini sendiri.


MESKIPUN sudah melahirkan tiga buah album, kumpulan Soul 3 yang berkonsepkan 1Malaysia hasil gabungan tiga anak muda Melayu, Cina dan India masih belum cukup dikenali ramai dalam dunia seni suara.

Sungguhpun begitu, trio yang diwakili oleh K. Ganesh, Terry Siau dan Helmi Fazli Md. Halim itu masih gigih berusaha. Mereka tidak pernah kenal erti jemu untuk terus bertahan dalam industri hiburan kerana minat yang mendalam dalam bidang nyanyian.

Selaku ketua kumpulan, Ganesh tetap menyifatkan kehadiran mereka masih lagi baru dalam industri muzik dan masih banyak perkara yang perlu dilakukan untuk mengukuhkan posisi.

"Saya akui kami memang kurang mendapat liputan daripada media dan mungkin kerana faktor itu, ia membuatkan kami kurang dikenali.

"Pada tahun ini, kami akan bergerak perlahan-lahan membuat promosi album baru kami yang bertajuk Gunung Asmara. kami akan cuba untuk menganjurkan konsert sendiri," katanya ketika ditemui semasa sesi fotografi di Kosmo! baru-baru ini.

Mengimbas kembali perjalanan Soul 3, Ganesh memberitahu, pada mulanya, kumpulan tersebut merupakan sebuah kumpulan vokal dan mereka melangkah ke bidang seni suara dengan berbekalkan album Hilang pada 2006. Ia terjual sebanyak 3,000 unit.

Setahun selepas itu, Soul 3 menerbitkan sebuah lagi album bertajuk Awan dan Langit, namun mungkin disebabkan dua daripada anggota Soul 3 menarik diri, Ganesh mengambil inisiatif sendiri dengan membuat jualan album secara langsung sehingga mencecah 8,000 unit.

"Sejak ditubuhkan pada tahun 2005, anggota asal Soul 3 memang terdiri daripada tiga etnik utama di Malaysia, namun selepas menerbitkan album pertama, kumpulan ini berpecah. Saya kemudian bangkit dengan mencari ahli baru pada tahun 2007.

"Sekali lagi kami berpecah, namun kehadiran Terry dan Helmi memberikan saya idea agar kami muncul dengan konsep band. Pada masa yang sama, saya amat berharap agar mereka berdua akan kekal dan bersama-sama menaikkan Soul 3 agar berdiri sebaris dengan artis tanah air yang lain," jelasnya.

Nia hamil muda


NIA dan Ardie bersedia bergelar ibu bapa.


BERITA gembira melengkapkan kehidupan Nia Ramadhani dan suaminya, Ardie Bakrie.

Pasangan yang berkahwin pada April 2010 ini bakal menjadi ibu dan bapa pada tahun ini berikutan Nia disahkan positif hamil. Namun, pasangan ini masih merahsiakan usia kandungan itu.

"Nanti kalau diizinkan Tuhan, pasti akan diberitahu," ujar pelakon siri Bawang Putih Bawang Merah itu mengelak ketika ditanya tentang kehamilannya.

Nia, 21, yang ditemui usai konsert Swara Sang Dewi Titi DJ di Taman Ismail Marzuki, Cikini, Jakarta Pusat, mengaku tidak pernah merancang kehamilan.

Dia kini sibuk membantu urusan rumah kebajikan yang ditubuhkan keluarganya khusus membantu golongan kanak-kanak.

"Saya juga tidak cuba melewatkan kehamilan," tegasnya.

Nia sentiasa mengelak ketika diajukan soalan berhubung cabaran semasa hamil bagaimanapun dia menjelaskan hanya berat badannya terus meningkat.

"InsyaAllah, doakan sahaja ya," tegasnya lagi.

Ketika ditanya mengapa dia enggan berkongsi berita gembira tersebut, Nia menjelaskan:

"Tidak perlu digembar-gemburkan," ujarnya.

Nia meninggalkan dunia hiburan setelah menjadi menantu jutawan Indonesia, Aburizal Bakrie yang dianggarkan memiliki kekayaan berjumlah AS$5.4 bilion (RM16.47 bilion) menerusi pelbagai cabang perniagaan.