Monday, September 13, 2010

Zizan rindu belaian ibu


Aidilfitri ruang untuk meluangkan masa bersama isteri.


OKTOBER ini, genap setahun pemergian ibunda tercinta kepada aktor Zizan Nin, 36, menghadap Ilahi setelah lama menderita penyakit radang paru-paru.

Mengimbas sambutan Syawal tahun lalu, sudah semestinya berita sedih kehilangan bondanya, Bibi Kalsom Md. Sidek, masih menebal di hatinya hingga sekarang.

Kehadiran Syawal kali ini sudah semestinya mengundang hiba di hati aktor yang baru sahaja mendirikan rumahtangga lima bulan lalu ini.

Belaian kasih ibunya cukup dirindui di samping masakan kegemaran yang dimasak sendiri ibunya.

Pada satu pertemuan dengan Hits pada Ramadan lalu, Zizan memberitahu, detik bermaaf-maafan di pagi raya sudah pastinya mendatangkan hiba.

"Selalunya sebelum kami adik-beradik menunaikan solat sunat Aidilfitri, seperti juga keluarga lain, kami akan memohon maaf daripada ibu.

"Kalau kesihatan arwah berada di tahap baik, dia akan masak makanan kegemaran kami sekeluarga iaitu paru masak lemak cili padi.

"Saya cukup suka kalau masak lemak cili padi dimakan dengan ketupat atau lemang," ceritanya mengimbau kembali kenangan indah ketika hayat ibunya masih ada.

Kini, rutin sambutan lebaran sedikit berubah memandangkan dia dan adik beradiknya yang lain akan menziarahi pusara ibu mereka yang terletak di Sungai Besar, Selangor.

Zizan menambah, dia dan isterinya cuma beraya di Kuala Lumpur memandangkan sanak saudaranya berada di sini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: