|
|
MERAIH pencalonan anugerah berprestij sudah semestinya menjadi impian setiap artis setelah berhempas-pulas membanting keringat. Bagi William San dan Hishiko Woo, jika dinobatkan sebagai pemenang Golden Awards 2010 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC) pada pukul 8.30 malam ini, dua pelakon itu berhasrat untuk belanja makan kru yang pernah berkerja dengan mereka.
Menurut William, 35, yang dicalonkan untuk kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi drama The Lion Hearts, sememangnya dia berharap untuk menang. Namun, dia akur keputusan terletak pada juri yang akan mengadili anugerah itu.
Katanya, dia tidak tahu apa kriteria yang ditetapkan oleh pihak juri untuk pertandingan itu namun dia berserah kepada tuah.
"Sudah pasti saya mengimpikan untuk menang. Kalau ditakdirkan rezeki saya menang, saya mahu belanja makan semua kru yang pernah bekerjasama dengan saya," katanya ketika ditemui di Studio ntv7, Glenmarie, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Dalam pada itu Hishiko berkata, dia menganggap sebagai satu bonus jika dia diumumkan sebagai pemenang kategori Pelakon Baru Wanita Terbaik.
Hishiko meraih pencalonan pada Golden Awards kali ini menerusi drama Age Of Glory.
"Sebagai orang baru dalam industri ini, tersenarai sebagai calon itu juga sudah cukup baik sebenarnya.
"Jika saya menang, saya juga akan belanja kru makan selain melaburkannya bagi menunaikan hasrat menjadi seorang pembuat tatu," tegasnya.
Golden Awards merupakan satu majlis anugerah yang dianjurkan stesen televisyen ntv7 bertujuan untuk meraikan dan memberi penghargaan kepada industri seni Cina tempatan.
Antara kategori yang bakal dipertandingkan termasuklah Drama TV Terbaik, Pelakon Lelaki/Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki/Wanita Terbaik, Pelakon Lelaki/Wanita Baru Terbaik dan Lagu Tema Drama Terbaik.
Pemenang untuk setiap kategori akan membawa pulang anugerah Golden Awards 2010 selain wang tunai berjumlah RM5,000.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: