SEDERHANA, anggun dan menawan, mungkin itu menjadi pilihan utama wanita kala memilih busana indah untuk menghadiri majlis rumah terbuka di kota.
TERANG...sesekali bergaya dengan busana terang merah jambu.
Jika ada wanita yang masih tercari-cari himpunan menawan yang bukan saja sesuai untuk majlis rumah terbuka tetapi juga jamuan kenamaan, majlis rasmi dan berprotokol untuk kerabat diraja, Calvin Thoo menyediakan 30 rekaan eksklusif sedia dipakai.
Baju kurung berpotongan moden menjadi pilihan Thoo dengan memilih fabrik polos berkualiti tinggi seperti renda Perancis, crepe, sifon dan sutera yang memberi impak mewah pada setiap rekaannya.
Bagi menambah keanggunan pada fabrik polos, teknik sulaman tangan dan jahitan manik berwarna-warni digunakan sekali gus mewujudkan kesan tiga dimensi manakala bagi busana bercorak, manik sederhana diletakkan pada bahagian tertentu bagi memberikan sentuhan ringkas tetapi menawan.
“Pemilihan fabrik memainkan peranan penting bagi memberikan kesan mewah pada si pemakai. Sekiranya fabrik polos dipilih, jahitan manik yang sarat pada bahagian leher dan sedikit pada hujung tangan akan membangkitkan seri pada si pemakai. “Namun bagi fabrik bercorak pelbagai, warna jahitan manik hanya pada bahagian dirasakan perlu saja,” nasihatnya yang memilih banyak warna merah jambu pada kebanyakan busana rekaannya tahun ini.
Berpengalaman enam tahun dalam industri fesyen, dia dilihat cukup matang dan berpengetahuan mengenai protokol atau garis panduan menghasilkan busana sopan yang pasti memenuhi selera semua wanita tanpa mengira umur.
Melihat kepada semua busana dihasilkannya, tiada satu pun yang boleh mencacatkan penampilan sama ada bertudung atau sebaliknya. Justeru bagi fabrik jarang, Thoo sentiasa memastikan lapik diletakkan pada busana justeru, dia tidak membiarkan rekaannya kelihatan seksi.
Untuk baju kurung, pastinya labuh dan sedikit longgar, jika kebaya atau kurung pendek sekurang-kurangnya melepasi pinggul. Ini termasuk beberapa rekaan baju berleher tinggi yang sesuai untuk wanita bertudung.
“Saya sentiasa memenuhi kehendak pelanggan yang mahu pakaian serba sempurna, bukan saja pada potongan dan jahitan namun selesa dipakai terutama bagi wanita bertudung.
“Justeru mereka tidak perlu bimbang atau perlu memakai alas baju untuk melindungi kulit tubuh kerana semua koleksi saya berlapik,” katanya.
Selain baju kurung, dia turut menyediakan kaftan yang menjadi pilihan kebanyakan wanita kota.
“Kaftan yang diberi gaya potongan bebas memang popular sejak akhir-akhir ini. Namun jika tidak kena gaya, kaftan akan menampakkan tubuh pemakai lebih besar daripada yang sepatutnya. Justeru potongan sangat penting agar sesuai dengan susuk tubuh wanita,” jelasnya yang menasihati wanita supaya bijak memilih pakaian untuk disesuaikan dengan personaliti dan acara dihadiri.
Koleksi terbarunya boleh didapati di butik Calvin Thoo di tingkat empat, Lot 10, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada harga bermula RM2,500 hingga RM4,500 sepasang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: