KOMEDI dicipta untuk merangsang ketawa. Caranya bervariasi tetapi bukan mudah sebenarnya untuk menggeletek hati secara umum. Ramai yang cuba untuk menjadi seorang pelawak, tetapi jumlah yang berjaya dalam medium komersial tempatan sebenarnya agak kecil bilangannya.
Daripada seleksi pelawak yang sudah lama bertapak seperti Harith Iskandar, Apek, Datuk Aziz Satar, Salih Yaacob, Abon, Os, Imuda, Sabri Yunus, Harun Salim Bachik, Senario, Didie Alias, Sharifah Shahira, Noorkhiriah, Enot dan Adibah Noor, tidak semua yang masih aktif sepenuhnya.
Kekurangan bakat semakin dirasai walaupun ramai individu baru seperti Nabil, Johan, Zizan, Kumpulan Kecik dan Sepah cuba mengisi ruang. Bukannya tidak cukup bagus tetapi mereka masih boleh digilap untuk menjadi perintis.
Namun, tanpa panduan serta peluang, mereka mungkin memerlukan lebih banyak masa untuk dibentuk. Maka, apabila Afdlin Shauki meminta Nabil, Zizan dan Johan terlibat sama dalam program komedi terbitannya, Oh Yeah!, pelakon dan pengarah itu secara tidak langsung sedang menyalurkan ilmu.
“Saya menganggap diri saya sebagai kawan dan sedia membantu mereka untuk membina karier. Jika mereka memerlukan bantuan, saya akan membantu. Lagipun, ilmu yang saya perolehi sepanjang pembabitan dalam industri perlu diwariskan kepada generasi baru yang merupakan penerus legasi,” ujar Afdlin ketika ditemui semasa sesi rakaman episod Oh Yeah! di pejabatnya.
|
|
Lawak jenaka jika tidak disampaikan secara bijak dan berkesan akan mengundang rasa kurang senang di hati khalayak. Selain memiliki bakat, lontaran idea serta pemikiran terbuka merupakan antara intipati utama dalam melahirkan seorang pelawak profesional.
Bagi Afdlin, seseorang pelawak itu perlu menjadi seperti span yang boleh menyedut apa yang berlaku di sekeliling dan kemudian meluahkannya dalam bentuk komedi. Selain mengikuti perkembangan semasa, pelawak muda juga perlu selalu melihat hasil kerja pelawak lain sebagai rujukan.
“Berkolaborasi dengan pelawak generasi baru ini sedikit sukar kerana kami mempunyai pemikiran berbeza. Rujukan mereka ialah saya. Maka, saya perlu menilai tahap pemikiran (dari segi komedi) mereka supaya hasilnya lebih berkesan.
“Mereka tidak seperti Harith Iskandar yang sudah lama berganding dengan saya. Jadi saya perlu mengingatkan mereka supaya tidak memberikan komedi slapstik yang berlebihan. Mereka perlu lebihkan komedi bijak yang membuatkan audiens berfikir serta meninggalkan impak,” tambahnya lagi.
Mengakui pasaran dan masa depan seseorang pelawak itu amat cerah, Nabil dan Apek contohnya sudah dinobatkan sebagai individu paling popular dalam industri hiburan. Ini membuktikan pelawak dan pelakon komedi semakin diiktiraf.
Nabil pada pandangan Afdlin adalah seorang pelawak yang rajin. Tambah pengarah itu, Nabil berada atas jalan yang betul tetapi perlu banyak mencari bahan lawak yang bagus. “Nabil memahami komedi saya kerana dia sering mengikuti program saya. Cuma dia perlu mencari idea serta bahan yang berkualiti untuk memperkayakan lawaknya.”
Sentiasa mencari pelawak baru, program Spontan yang ditayangkan di Astro, contohnya dijadikan sebagai platform untuk mencungkil bakat. “Apabila berlawak, anda perlukan pesaing yang bagus. Sebab itu program Spontan diterbitkan kerana rancangan itu tidak mempunyai skrip.
“Program itu boleh dijadikan sebagai medan berlatih. Jika pesaing anda tidak dapat memahami jenaka anda, ia akan mematahkan idea. Jadi keserasian antara dua pelawak itu juga amat penting,” ujarnya lagi.
Mahu mengajar Zizan, Nabil dan Johan untuk membina keyakinan dalam mempersembahkan komedi di pentas secara solo, Afdlin menyatakan ia antara komedi yang sukar kerana pelawak itu akan berdiri sendiri di atas pentas.
“Komedi itu hanya akan menjadi apabila kita yakin diri. Sebagai pelawak solo, anda perlu menggunakan diri sendiri sebagai bahan jenaka sebelum membuat lawak terhadap orang lain.
“Zizan contohnya memiliki banyak bakat seperti menari dan menyanyi. Johan pula ada tenaga persembahan luar biasa. Semua itu boleh digunakan semasa anda mengawal pentas seorang diri,” katanya yang beraya di Terengganu, baru-baru ini.
Afdlin mentor
Memandang tinggi Afdlin sebagai seorang cikgu, Nabil menyukai cara Afdlin menyalurkan ilmu kerana tidak memberikan sebarang tekanan. Menyertai program Oh Yeah! kerana menyukai produk Afdlin, Nabil memberitahu dia banyak belajar.
“Tahap komedi Afdlin amat tinggi dan bijak. Komedinya disaluti dengan mesej dan apabila kami bekerjasama dengannya, kami mendapat ilmu yang berguna. Pada saya, Afdlin ada perancangan untuk dunia hiburan.
“Dia bukan sahaja mengajar kami menjadi pelawak sketsa tetapi juga menjadi seorang pengarah serta penulis skrip. Dia mahu jadikan kami pelawak profesional yang tidak kelihatan bodoh di hadapan televisyen,” kata Nabil.
Mengakui dirinya mendapat banyak tawaran lain, Nabil bagaimanapun memilih untuk terlibat dalam produksi Afdlin. Ini kerana, dia berpendapat Afdlin sedang membina karier mereka sebagai pelapis.
“Sekarang ramai pelawak yang tinggal merupakan orang baru dan Afdlin nampak bakat kami. Dia ingin membantu kerana dia mengambil berat. Masalah yang dihadapi kami sebagai orang baru adalah topik perbincangan. Kesukaran mencari bahan itu yang membuatkan kami sering kehilangan idea,” ujar pelakon berusia 26 tahun itu.
Berdepan dengan kesukaran untuk menarik perhatian audiens urban seperti Afdlin, Douglas Lim atau Harith, Nabil bagaimanapun jujur dalam menghiburkan penonton. “Dulu saya tidak tahu untuk jenaka walaupun semasa menyertai program Raja Lawak.
|
|
“Kini selepas belajar dan menimba pengalaman, pemikiran saya juga sudah berubah. Idea yang bagus tidak datang dengan mudah tetapi sekurang-kurangnya anda perlu ada idea asas. Saya berharap untuk terus menghiburkan penonton selama yang mungkin,” katanya lagi.
Berkongsi pendapat yang sama ialah Zizan dan Johan. Selain memberitahu Afdlin bukan seorang yang kedekut ilmu, keselesaan bekerjasama juga menjadi faktor mengapa mereka gembira berada dalam sebuah program bersama.
“Selain berdisiplin, Afdlin memberitahu bahawa komedi itu perlu dikaji selidik kerana idea kelakar tidak datang selalu. Perbincangan serta perkongsian idea adalah cara terbaik untuk memperbaiki,” ujar Zizan.
Bagi Johan, Afdlin senang membuat orang ketawa kerana dia tahu apa yang dikendaki oleh penonton. Seorang pelawak yang berjaya juga perlu ada idea simpanan yang boleh digunakan semasa saat-saat kekeringan idea.
“Membaca penting untuk mendapatkan idea. Sebenarnya semua orang boleh melawak tetapi bezanya kami melawak di hadapan televisyen. Jadi lawak kami mesti bertapis bagi menjaga sensitiviti.
“Contohnya kita tidak boleh menyentuh isu politik atau seks atau perkauman sangat. Maka, apabila kita berlawak, otak kami juga perlu menapis. Itu yang membuatkan ia lebih sukar,” terang Johan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: