Friday, September 24, 2010

Suka lukis ekspresi manusia

BERBANDING kanak-kanak seusianya yang ralit dengan permainan masing-masing, Nurhayati Md Yusoff pula leka diulit pensel warna dan kertas lukisan pemberian bapanya.

MINAT...subjek kemanusiaan menjadi teras dalam hasil karya Yati.
MINAT...subjek kemanusiaan menjadi teras dalam hasil karya Yati.
AKRILIK...Yati bersama lukisan potretnya yang ditempah oleh alumni Universiti Putra  Malaysia.
AKRILIK...Yati bersama lukisan potretnya yang ditempah oleh alumni Universiti Putra Malaysia.
Menginjak dewasa, wanita yang kini berusia 35 tahun itu muncul antara artis wanita negara yang cemerlang di pentas pameran lukisan antarabangsa.

Anak sulung daripada tujuh beradik yang lebih senang menggelarkan dirinya Yati Yusoff itu menyifatkan minat melukis sememangnya mengalir dalam diri sejak usianya dua tahun berikutan bapanya, Yusoff Jaafar, seorang pencinta seni dan turut mahir melukis.

"Bukan hanya saya tapi semua adik-beradik turut dipupuk meminati lukisan dan kami boleh melukis sejak kecil. Bapa lebih senang kami habiskan masa dengan melukis daripada leka dengan permainan.

"Conteng dinding juga perkara biasa. Bapa dulu bertugas sebagai polis dan kami kerap berpindah-randah. Jadi setiap kali perlu berpindah ke tempat baru, bapa akan mengecat semula dinding di rumah lama.

"Seingat saya, bapa tidak pernah marah malah saya lihat dia tidak kisah dengan 'kegilaan' kami menconteng dinding rumah. Mungkin baginya itu salah satu cara untuk anak-anak meluahkan diri menerusi lukisan," katanya.Tambah Yati, dia amat mengagumi bapa yang tidak henti melukis bila mempunyai masa lapang, tidak kira ketika mesyuarat di pejabat atau menonton televisyen bersama keluarga.


"Sambil dia menonton televisyen, tangannya tidak henti melakar atau melukis sesuatu. Saya juga seronok melihat hasil seninya dalam buku catatan yang dilukis ketika mesyuarat," ujarnya yang menjelaskan bahawa ibunya turut bisa melukis cuma jarang melakukannya.

Melihatkan kepada koleksi lukisannya ketika pameran Duet anjuran Persatuan Cat Air Malaysia (MWS) dan Persatuan Cat Air Pulau Pinang (PWCS) di Bangsar Art Village, baru-baru ini, ternyata wanita kelahiran Terengganu ini gemarkan subjek kemanusiaan menggunakan pelbagai media antaranya cat air, arang, pensel dan akrilik.

"Saya suka melihat tingkah-laku dan ekspresi manusia. Sejak kecil saya suka melukis subjek manusia. Menzahirkan ekspresi manusia bukanlah perkara mudah tapi saya puas apabila dapat menampilkan reaksi atau emosi subjek dengan sebaik-baiknya.

"Tapi, saya juga ingin menjadi pelukis versatil dengan cuba melukis subjek lain. Bagi saya, sebagai pelukis kita tidak boleh mengehadkan diri kepada satu perkara semata-mata kerana banyak lagi perkara yang boleh diteroka dalam dunia ini," katanya.

Selain pernah menghasilkan animasi Hang Tuah The New Adventure bersama syarikat Grand Brilliance, beberapa tahun lalu, Yati turut melakukan tugasan grafik secara sambilan dan menjalankan perniagaan karikatur yang ditempah secara dalam talian menerusi laman blog http://doodledsgn.blogspot.com.

Apapun, Yati tetap senang menyifatkan dirinya sebagai pelukis sepenuh masa kala ini dan perjalanan seni halusnya direkodkan dalam laman blog http://yartstik.wordpress.com.

Sungguhpun pernah ke Beijing pada 2008 bagi menyertai kumpulan pelukis wanita antarabangsa pada Colours VIII dan Pameran Artis Wanita Antarabangsa di Korea pada 2007, masih banyak sasaran yang ingin dikecapi wanita kreatif ini.

"Dua pameran itu membantu saya mengenali dunia dengan lebih luas dan ia antara pameran paling diingati kerana saya berpeluang berkenalan dan bertukar pendapat dengan pelukis wanita dari seluruh dunia.

"Saya menjalani ibadah puasa ketika di Korea dan tidak sangka mereka banyak membantu walaupun wujud perbezaan agama dan budaya. Ketika itu saya lihat masing-masing gembira dan menyokong antara satu sama lain.

"Jelas sekali agama, budaya dan warna kulit bukan halangan bagi kami kerana semuanya berkongsi minat yang sama. Situasi itu benar-benar membuka mata dan minda saya.

"Tapi apabila ditanya mengenai sasaran peribadi, tanyalah mana-mana pelukis pun, pasti mereka impikan pameran solo. Adik lelaki saya sudah dua kali mengadakan pameran solo dan saya berasakan sudah tiba masa untuk saya andai berpeluang melakukannya.

"Bagaimanapun saya tidak merancang mengadakan pameran itu dalam masa terdekat memandangkan masih giat mengumpul dan mencari subjek untuk diketengahkan.
"Selain itu, saya turut impikan peluang menjelajah dunia sambil melukis. Saya ingin terjemahkan pelbagai budaya dan masyarakat negara lain di atas kertas, berdasarkan persepsi saya," katanya.

Berbeza pelukis lelaki yang lebih bebas bergerak, Yati menyifatkan ia sebagai salah satu cabaran yang perlu diharungi pelukis wanita terutama yang sudah berumahtangga.

"Status saya sebagai isteri tidak pernah menghalang minat saya malah suami menjadi penyokong setia sejak awal perkenalan kami. Suami bukan sekadar peminat seni malah dia menjadi pengkritik dan banyak memberi idea dalam setiap hasil seni saya.

"Mungkin segelintir menganggap apabila seseorang pelukis wanita sudah berkahwin, ditambah dengan kelahiran anak, pergerakannya lebih terbatas dan tidak dinafikan sedikit-sebanyak menyukarkan wanita itu untuk mencari idea pada skop yang lebih besar.

"Tapi saya merasakan ia bukanlah satu masalah kerana setiap artis itu mempunyai kelebihan masing-masing. Apa yang penting kita mesti percaya dengan hasil seni dan usaha kita selama ini," katanya.

Profil
NAMA PENUH: Nurhayati Md Yusoff
ASAL: Kg Raja Besut, Terengganu
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Kewartawanan (Pengkhususan: Pengiklanan, Minor: Seni Halus, Pengajian Komunikasi dan Psikologi) daripada Universiti Nebraska-Lincoln, Amerika Syarikat
AHLI: Majlis Artis Wanita Antarabangsa (INWAC) & Persatuan Cat Air Malaysia (MWS)
MEDIA: Cat air, akrilik, arang, pastel, pensel dan minyak
PENGHARGAAN: Malaysia Book of Records dengan semua ahli keluarga terbabit dalam seni lukisan (2002)
ANTARA PENCAPAIAN DAN PENGALAMAN:
2010
> Pameran Duet di Bangsar Art Village
> Floria di Putrajaya
2009
> Pameran MWS di Galeri NN
> "Tampannya Budi - The Beauty of The Malay Intellect" di Balai Seni Lukis Negara
> Floria di Putrajaya
2008
> Pameran MWS di Galeri NN
> "Her Presence in Colours" - Pameran Artis Wanita Antarabangsa VIII di Beijing, China
> Pameran "100 Artis Wanita Mengalukan Olimpik-Beijing 2008 Dana Amal" di Beijing, China
> Pameran di Yayasan Seni Berdaftar
2007
> Pameran "Behind The Wall", Universiti Sains Malaysia
> "Woman by Women" di CFA Art Gallery, Pulau Pinang
> "Women Art Show" di Shian's Art, Endah Parade
2006
> Pameran Artis Wanita Antarabangsa di Pusat Kebudayaan dan Seni Daegu, Korea
> Pameran MWS di Galeri NN
> "Enchanting Colourful Malaysian Watercolors" di Balai Seni Lukis Negara
2005
> "Sabah Charms" di Galeri Seni Sabah, Kota Kinabalu
> "Mother's Love" di Galeri Art Point, Pulau Pinang
> "Artful Family" di Balai Seni Lukis Negara
2002
> Pameran pertama bersama ahli keluarga "All in The Family", di Kuching, Sarawak

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: