Friday, September 17, 2010

Rondaan berkuda di Kinrara


Norfauzi Ismawi, mengetuai unit berkuda FRU.


PENDUDUK Bandar Kinrara (BK) kini didatangi empat pahlawan baru, Rodillo, Atlanta, Firulette dan Betina yang meronda di kawasan perumahan mereka baru-baru ini.

Mereka ialah empat ekor kuda yang melakukan rondaan pencegahan jenayah bersama anggota Unit Berkuda Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang ditugaskan di sekitar Bukit Kinrara 2 hingga 9 dan di Taman Bukit Kuchai.

Tarikan unit berkuda itu adalah usaha terkini yang dilakukan Balai Polis Puchong Jaya yang dinobatkan sebagai balai polis terbaik baru-baru ini dalam usaha mereka mendekati masyarakat setempat.

"Idea mewujudkan unit berkuda di sini timbul semasa sesi dialog antara Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abdul Razak Elias di Bandar Puteri Puchong baru-baru ini," kata Ketua Balai Polis Puchong Jaya, Cif Inspektor Lokman Ahmad kepada Bernama.

Lokman berkata empat ekor kuda itu adalah antara 53 ekor kuda yang dibekalkan sepenuhnya oleh Unit Berkuda FRU yang terletak di Cheras.

"Penggunaan kuda ini amat unik dan lain dari yang lain kerana kita percaya kuda-kuda ini dapat menarik perhatian penduduk untuk lebih bersikap terbuka kepada polis," katanya lagi.

Beliau berkata, rondaan dilakukan setiap hari kecuali pada hari Sabtu dan Ahad, dari pukul 11 pagi hingga 3 petang, manakala pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari pada hari Jumaat.

Menurut Lokman, masih terlalu awal untuknya mendapat maklum balas penduduk mengenai penggunaan kuda tersebut kerana ia baru dilaksanakan.

"Unit berkuda ini masih dalam tempoh percubaan, kita beri tempoh masa dua hingga tiga minggu sebelum mendapatkan maklum balas penduduk," katanya lagi.

Katanya, kawasan perumahan dipilih sebagai tempat rondaan unit berkuda itu kerana kebanyakan kes samun atau pecah rumah berlaku di sekitar kawasan tersebut dan penggunaannya dapat sekurang-kurang menakutkan penjenayah dengan imej kuda itu sendiri yang besar dan kuat.

"Kita nak tonjolkan imej gerun kuda-kuda ini supaya penjenayah merasa lebih terancam dengan kehadiran mereka," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: