Tuesday, September 28, 2010

Platform luahan orang muda


PENGGERAK rancangan radio Sathi Sanga Maka Kura terdiri daripada remaja-remaja Nepal.


DI sebuah studio rakaman di Kathmandu, kelihatan pekerja-pekerja muda sibuk membaca surat-surat yang dikirim oleh remaja-remaja dari seluruh Nepal. Berdasarkan isi kandungan surat-surat itu, remaja-remaja tersebut ingin mendapatkan nasihat dan pandangan berhubung masalah cinta, homoseksual, penagihan dadah, HIV dan sebagainya.

Dua orang penyampai yang berusia dalam lingkungan awal 20-an sedang berceloteh di hadapan sebuah mikrofon. Mereka sibuk membuat rakaman sebuah rancangan radio baru paling popular di Nepal iaitu Saathi Sanga Manka Kura (SSMK) atau Berbual Bersama Rakan Baik Saya.

Program yang terhasil daripada gabungan bual bicara, drama dan muzik itu mula ke udara sejak sembilan tahun lalu. Ia adalah sebahagian daripada projek yang dibiayai oleh agensi Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) untuk menyebarkan kesedaran mengenai bahaya HIV dan AIDS kepada remaja di Nepal.

Sejak itu, ia menjadi fenomena kepada golongan muda di seluruh Nepal yang sangat konservatif. Majoriti masyarakat Hindu menganggap seks di kalangan remaja dan ketagihan dadah adalah satu subjek yang tabu.

Rancangan tersebut adalah yang pertama digerakkan oleh anak-anak muda Nepal. Pada peringkat awal, slotnya berlangsung selama setengah jam di radio nasional. Radio dianggap sebagai medium paling efektif di Nepal kerana satu pertiga daripada penduduk Nepal buta huruf.

"Sebelum rancangan SSMK ke udara, tiada rancangan lain berkaitan perbincang mengenai masalah seperti ini di Nepal," kata bekas penyampai rancangan itu dan kini bekerja di belakang tabir, Kaustuv Pokhrel.

"Rancangan ini dihasilkan dalam cara seperti ini bagi mencetuskan suasana yang lebih akrab dan santai. Seolah-olah anda bercerita bersama rakan-rakan. Hos akan berbicara pelbagai topik seperti seks, kesihatan organ reproduktif, kerjaya, pelajaran, masalah berkaitan keluarga dan banyak lagi," katanya.

Kini, SSMK digilai oleh enam juta pendengar setiap minggu. Ia juga menerima pelbagai anugerah di peringkat antarabangsa dan pernah menampilkan pelakon filem Pirates of the Caribbean iaitu Orlando Bloom dalam salah satu slot dramanya. Ia adalah salah satu usaha untuk mendekatkan Bloom sebagai Duta Muhibbah UNICEF.

Wakil UNICEF di Nepal, Gillian Mellsop, memberitahu, sebelum wujudnya rancangan SSMK, media arus perdana kurang memberi perhatian mengenai isu-isu berkaitan remaja.

"Panduan dan informasi yang kurang dalam isu-isu yang dibicarakan oleh remaja sangat penting kepada anak-anak muda. Mereka rasa seolah-olah dipinggirkan dan mudah tersinggung," kata wanita tersebut.

Perbincangan terbuka

Walaubagaimanapun kesediaan SSMK membincangkan pelbagai topik remaja secara terbuka mengundang kritikan dan ancaman. Ada pihak yang tidak senang dan mahu rancangan itu dihentikan. Isu tersebut timbul selepas satu episod yang membincangkan mengenai mastubasi ke udara.

"Kami dituduh berbincang isu yang kurang sopan di radio. Kami telah menunjukkan surat kiriman pembaca tersebut kepada pengurus stesen bagi membuktikan bahawa kami tidak mengada-adakan cerita dan ia benar-benar menjadi kebimbangan di kalangan remaja.

"Akhirnya mereka menerima penjelasan itu, tetapi kami diwajibkan menghantar skrip kepada mereka untuk diluluskan. Kami tidak dibenarkan menggunakan perkataan kondom di radio," katanya.

Format rancangan radio tersebut nyaris mengalami perubahan. Namun, dua orang penyampai yang menjadi sahabat baik dalam rancangan tersebut apabila memperkenalkan sebuah drama pendek ketika selesai sesi bual bicara itu.

Tetapi kandungannya telah berubah untuk mencerminkan keprihatinan pendengarnya. Kebanyakan pendengarnya terdiri daripada mereka yang pernah terjebak dalam perang saudara antara gerila Maoist dan negara itu yang tamat pada tahun 2006.

"Selepas beberapa tahun, kami menerima surat rungutan yang mendakwa kami hanya memfokuskan kepada isu-isu kecil ketika negara berada di dalam situasi yang buruk.

"Kami menerima surat daripada anak-anak muda yang menyertai Maoists dan mereka menyuarakan mengenai kerisauan untuk meninggalkan kumpulan itu. Selain itu kami turut menerima surat-surat daripada mangsa-mangsa rogol yang takut untuk memberitahu sesiapa," kata Pokhrel.


HOS rancangan Saathi Sanga Manka Kura membincangkan isu-isu yang diketengahkan oleh pendengar kepada mereka.


Semua surat-surat tersebut telah diterima dan dijawab. Ia termasuklah surat balasan yang telah mendapat komen dan nasihat daripada pakar. Sebahagian dalam beberapa isu menarik dan sebahagian daripadanya dipilih untuk dibincangkan dalam program tersebut.

Remaja luar bandar

Kebanyakan koresponden rancangan tersebut adalah anak-anak muda di kawasan luar bandar Nepal. Ia berlaku kerana di situlah berlakunya masalah diskriminasi kasta, etnik dan garis gender. Ia juga menjadi lokasi kebanyakan kekerasan berlaku sepanjang sepuluh tahun konflik tersebut.

Rancangan menerima sebanyak 1,500 hingga 2,000 pucuk surat sebulan. Tetapi sejak penggunaan telefon bimbit semakin popular, trend menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) mengambil tempat dan menggantikan kaedah tradisional itu.

Equal Access yang menerbitkan rancangan tersebut turut mengeksport ideanya ke negara-negara membangun yang lain seperti Kemboja, Laos dan yang terkini Yaman.

Kini, penyampai-penyampai dalam rancangan tersebut terdiri daripada generasi-generasi baru. Sebelum ini mereka adalah pendengar setia rancangan tersebut.

"Saya gemar mendengar SSMK tetapi saya tidak pernah terfikir yang saya juga akan menyertainya," ujar hos SSMK, Swarnima Shrestha, 22.

"Ia adalah sebuah tugasan yang sangat berat dan kami juga berada di bawah tekanan kerana ada juga orang yang mengambil serius topik yang kami bincangkan. Walaupun hanya menyentuh perasaan seorang anak muda, itu membuatkan kami berasa cukup terharu," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: