Saturday, September 4, 2010

Mudah, murah tetap cantik




KURANG seminggu saja lagi, umat Islam akan menyambut lebaran. Kekangan bekerja dan kurangnya perancangan teliti mungkin menyebabkan masih ramai yang belum berkesempatan membuat persiapan membeli pakaian baru, menempah biskut raya, menukar langsir dan sebagainya.

Dalam tempoh sesingkat itu, kepada yang masih belum menempah baju baru untuk digayakan pada pagi Aidilfitri, adalah mustahil untuk membuat tempahan. Mengapa? Kebanyakan kedai menjahit pakaian sudah pun menutup tempahan menjelang Ramadan bahkan, tidak kurang yang menolak tempahan sejak dua bulan lalu lagi.

Justeru apakah pilihan yang ada kepada mereka yang mungkin tidak berkesempatan untuk menempah pakaian baru untuk Aidilfitri? Anda mungkin boleh mendapatkan pakaian siap dijahit dan sedia dipakai yang dijual dikebanyakan pusat beli-belah atau di bazar Aidilfitri.

Persoalannya dari manakah datangnya lambakan baju raya siap ini memandangkan ia bukan sahaja dijual pada harga murah bahkan tetap mengekalkan gaya serta cita rasa baru.

Menjejak asal-usul baju raya siap kebanyakan baju ini diperoleh penjual daripada penjahit yang menjual baju itu secara borong.

"Bagi fesyen eksklusif tempahannya ditutup lebih awal iaitu dua bulan sebelum puasa. Jadi baju raya siap sememangnya sentiasa mendapat permintaan tinggi.

"Apatah lagi, biasanya baju raya siap yang dijual pada harga sederhana kerana dijahit dan dipasarkan kepada penjual secara borong," beritahu pemilik D'anna Boutique, Rahmah A. Aziz, 38.


JEFFREY menunjukkan jubah Idaman Hawa polos yang dihiasi perincian ringkas di bahagian depan busana.


Sambil membantu kakitangannya yang sibuk menyiapkan tempahan baju raya, Rahmah menjelaskan, kualiti jahitan pakaian untuk pasaran borong mempunyai kelasnya yang sedikit berbeza dengan busana eksklusif, tetapi bukanlah bererti tidak berkualiti.

Meskipun harganya jauh lebih rendah, tidak bermakna baju raya tersebut tidak mengikut arus fesyen ataupun dijahit secara ala kadar.

Bersesuaian dengan harga borong yang dijual iaitu serendah RM50 hingga RM200 sepasang, bezanya cuma pada aspek seperti cara jahitan yang mungkin tidak sehalus atau sekemas busana eksklusif.

"Biasanya potongan fesyen baju raya eksklusif mengikut cita rasa dan bentuk badan pemiliknya. Tetapi baju borong dipotong mengkiut saiz.

"Bagi jahitan tepi pula kita akan gunakan benang berwarna putih tetapi untuk busana eksklusif warna benang yang dipilih mestilah sama dengan warna kain. Manik atau bahan dekorasi lain yang digunakan pula biasanya lebih murah bersesuaian dengan harganya," terang Rahmah.

Edar 8,000 pasang baju

Berkecimpung dalam dunia jahitan borong sejak sedekad lalu, Rahmah memasarkan fesyen rekaannya itu di tiga buah pusat beli-belah iaitu di Tesco Shah Alam, Tesco Setia Alam dan pusat beli-belah Ole-Ole bertempat di Seksyen 18, Shah Alam.

Dibantu oleh 15 kakitangan dan sepuluh buah mesin jahit, D'anna Boutique akan menambah bilangan produknya di pasaran sehingga 400 pasang bagi satu edaran.

Jelasnya, jumlah keseluruhan baju raya yang siap dijahit setiap kali musim perayaan mampu mencecah sehingga 8,000 pasang.

Dari segi harga pula, tawaran baju raya yang berharga RM50 sepasang dikurangkan sehingga RM25 atau RM30 sepasang.

"Harga diskaun yang diberi bukannya diturunkan sesuka hati. Harga baju raya lebih murah apabila ia dijual secara borong," ujarnya yang amat mementingkan kualiti.

Cuti satu hari


RAHMAH berusaha keras menghasilkan pakaian raya yang berkualiti dan menawan untuk pembeli.


Label tersebut sudah mencecah umur enam tahun dalam industri pakaian tradisional borong, bahkan permintaan label pakaian tersebut pada musim perayaan amat luar biasa sehinggakan pekerja dibenarkan bercuti pada hari raya pertama sahaja.

"Memang tidak menang tangan, pekerja akan menyiapkan tempahan sehingga lewat malam. Malah mereka hanya bercuti selama satu hari sahaja kerana selepas raya kami masih menerima tempahan.

"Itulah bezanya produk yang dijahit borong dan eksklusif. Saya perlu menerima permintaan pasaran untuk sentiasa menambah bilangan," katanya yang menyediakan ruang khas untuk jahitan borong di Shah Alam.

Antara potongan fesyen hari raya yang diketengahkan oleh butik itu ialah baju kurung pesak betawi, baju kurung moden dan baju kurung biasa.

Situasi yang sama turut berlaku di kedai pakaian jenama Hawa yang terletak di aras satu lot kedai Taman Maluri, Cheras.

Menjengah ke dalam kedai jahit yang menjahit secara borong busana jubah itu, suasana di dalamnya sunyi sepi. Apa yang kedengaran hanyalah putaran kipas di siling. Ia sudah cukup menggambarkan bahawa setiap pekerja begitu gigih dengan tugasan masing-masing.

"Saya memang kena fokus dengan tugas dan tidak boleh cuai kerana jika tersalah potong maka ukurannya tidak menepati saiz yang ditetapkan iaitu S, M, L dan XL," beritahu salah seorang pekerja yang ingin dikenali sebagai Fong.

Enggan mendedahkan usia sebenarnya, wanita dalam lingkungan 40-an itu dilihat cukup sihat dan bertenaga mencari rezeki.

Dengan menggunakan gunting elektrik, dia akan menyudahkan proses membentuk potongan yang ingin dijadikan poket, lengan dan kolar jubah.

"Sekali potong boleh guna lima helai kain berukuran tiga atau empat meter (m) panjang, manakala satu hari boleh buat sehingga 200 keping bentuk potongan," tambahnya.


MANIK dan labuci antara perincian popular untuk menyerikan koleksi pakaian raya.


Sementara itu, timbunan kain yang belum dikemaskan jahitannya masih berlambak-lambak membuatkan ruang di situ kelihatan kurang terurus.

Bukan kerana lewat menyiapkan proses jahitan tetapi disebabkan permintaan tinggi terutama bagi mengejar musim perayaan Aidilfitri.

Setiap pekerja di situ mempunyai kepakaran tersendiri dalam menyiapkan pakaian raya seperti jahit tepi, jahit lubang butang dan menggosok busana.

Bagaimana kongsi pemilik pakaian borong Hawa, Jeffrey Arazmi, premisnya itu hanya membuat potongan dan beberapa proses asas jahitan.

Selebihnya, dia akan menghantar ke lokasi lain untuk menyiapkan keseluruhan proses yang seterusnya. Bagaimanapun, sebelum diedarkan ke pasaran, busana itu akan dinilai pada peringkat akhir.

"Sebelum diedar ke pasaran, kita periksa dulu kesempurnaan jubah yang dijahit. Selain itu, setiap helai jubah itu akan digosok dengan teliti supaya kelihatan kemas," ujarnya yang mempunyai tiga label busana Muslimah iaitu Idaman Hawa, The Look dan Hawa.

Tudung ekspres

Kepada wanita yang bertudung, Aidilfitri juga menjadi musim untuk masing-masing melaram sakan biarpun berimej muslimah.

Gaya tudung yang semakin diminati ramai masa kini ialah tudung yang tidak memerlukan sebarang pin atau aksesori lain.

Pengusaha Butik Orkid, Norle Suhaimi Che Dir berpendapat fesyen tudung Syria atau lycra lebih mendapat perhatian kerana kepelbagaian coraknya dan ia mudah dipakai.

"Untuk koleksi raya tahun ini kita membawa masuk fesyen yang sarat dengan manik.

"Dari segi jualan, saya rasa ia akan bertambah laris memandangkan tudung sebegini masih hangat," terangnya yang menjual tudung berharga di antara RM29 hingga RM79.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: