Thursday, September 23, 2010

Marion tak singkir Sarimah


BERGABUNG. Marion bersama pelatih kesihatan, Kristy Curtis.


UMUM sudah mengetahui bahawa hos terkenal E! News Asia, Marion Caunter kini mengemudi musim kedua program realiti berbentuk kesihatan, The Biggest Loser Asia 2 yang sudah memulakan episod sulungnya pada 21 September lalu di saluran Hallmark.

Mendefinisikan tugasan barunya itu sebagai fantastik sejak memulakan penggambaran pada Julai lalu, namun Marion dihimpit dua isu.

Demi kecanduan publisiti lebih meluas mencakupi negara Asia, Marion dituduh sanggup mengenepikan etika pengacaraan dan sanggup berpakaian menjolok mata. Dalam waktu sama, dia dikatakan lama merencana untuk merampas takhta dipegang hos terdahulu, Sarimah Ibrahim.

Sedar bahawa khabar angin tersebut telah lama tersebar, Marion meluah kekesalan. Tanpa mempamerkan riak terkejut, wanita sarat sifat merendah diri, santun menjawab: “Saya dan pihak produksi program ini awal-awal lagi tahu tentang cerita tidak berasas ini.”

Menyambung hujah dalam nada tenang dan profesional serentak tersenyum: “Saya tidak terdesak hingga perlu berbuat sedemikian (menerima bayaran murah). Bayaran yang saya terima berbaloi dengan kerja yang dilakukan ditambah saya dan ibu cukup meminati program ini.

“Saya bukan jenis orang seperti dimaksudkan. Selama ini, saya bekerja keras untuk meluaskan kecintaan terhadap bidang ini pada tahap lebih tinggi.”

Sementara itu, bercakap tentang isu membiarkan anggota tertentu badannya dipertonton secara percuma atau dia suka untuk berpakaian menjolok mata, ini jawab penggila kasut berjenama Christian Louboutin itu.

“Saya melihat dakwaan ini sebagai tidak logik sama sekali. The Biggest Loser Asia adalah program kekeluargaan. Jadi, saya tidak perlu mendedahkan mana-mana bahagian badan, tambahan pula ia 100 peratus menekankan tentang aspek penjagaan kesihatan,” katanya dengan tegas.

Marion juga menjelaskan, tidak timbul dia merancang atau ada plot tertentu hendak menjatuhkan orang lain iaitu Sarimah, seperti yang didakwa. Malah akuinya, sewaktu tawaran datang menyapa, dia dilanda perasaan dilema.

“Sejujurnya, saya sendiri dalam dilema dan serba salah saat pihak produksi mahu saya menggantikan tempat hos sebelum ini. Namun, saya tetap mengikut keputusan orang atasan program ini,” jelas anak kacukan Inggeris, Cina dan Portugis berasal daripada Pulau Pinang itu.

Sedar sebagai anak seni, tempias gosip dan spekulasi yang tidak diundang selalu datang bertandang, Marion bagaimanapun tidak mahu memanjangkan isu tersebut. Baginya, ia sedikit pun tidak boleh mengganggu kelancaran peluang pekerjaannya pada masa akan datang.




Katanya: “Saya sendiri terbiasa jika ditamatkan khidmat mengacara oleh sesebuah produksi. Saya juga percaya, perkara ini normal kepada hos lain. Cuma, janganlah kita terlampau fikir rezeki yang telah tiada lagi. Oleh itu, kita kena selalu bersyukur.”

Menukar topik tersebut, hos yang punya portfolio kelas A dalam bidang pengacaraan itu memberitahu, dia teruja menerima lamaran untuk meneraju program tersebut juga kerana ibunya iaitu Mrs. Caunter, 62, merupakan peminat nombor satu program realiti berkonsepkan penjagaan kesihatan tersebut sejak edisi sulung.

“Setiap kali saya pulang ke rumah, ibu leka menonton The Biggeset Loser Asia. Sampai dia pernah menangis menonton rancangan ini yang tidak ketinggalan menyelitkan elemen drama. Sejak itu, saya terikut sama menonton program ini.

“Lantaran itu, ibu menjadi insan paling gembira apabila saya beritahu ditawarkan peluang menjadi hos The Biggest Loser Asia 2,” jelas Marion yang berpendapat program itu memperlihat cabaran sendiri sepanjang beberapa tahun dia mengacara.

Kristian kepada Islam

Bukan satu rahsia lagi tentang ketulusan hatinya mahu memeluk Islam. Tanpa berselindung, Marion akui, proses ini adalah hal terbesar dan paling bersejarah buatnya dalam sebuah episod kehidupan.

Bakal memeluk Islam awal Oktober ini, tiada lain mampu diungkapkan oleh Marion selain memanjatkan kesyukuran. Tahu bakal meladeni transisi yang 'besar', dia awal-awal lagi bersedia dihadapkan dengan persoalan umum.

“Saya selalu terdengar orang tanya, apa boleh Marion yang beragama Kristian berubah selepas memeluk Islam? Sejujurnya, saya sudah agak akan ada pertanyaan rigid seperti ini. Terus terang, saya meyakini keputusan saya.

“Ya, saya akui, susah memang susah. Malah, saya tidak mahu berpura-pura mengatakan ia senang. Keadaan ini berlaku kepada sesiapa saja yang menukar agama asal kepada baru. Tetapi, berilah peluang kepada saya untuk membuktikan diri dari semasa ke semasa,” katanya.

Pesan Marion juga, jangan sesekali khalayak mengharap perubahan drastik daripada dirinya selepas ini.

Katanya: “Biar apa juga penilaian sesetengah pihak selepas ini, apa yang boleh saya simpulkan, ini semua berkaitan urusan saya dan Tuhan.”

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: