Friday, September 17, 2010

Kemeriahan sambut syawal


Anak-anak Noorafizah Abdul Aziz dan Mohd. Rafie Tibek berbaris untuk bersalam dan mendapat duit raya daripada ibu dan ayah mereka.


MENYAMBUT Lebaran terasa lebih meriah dan bermakna apabila dikelilingi anak-anak. Meski lelah melayan ragam dan kerenah mereka, hati berbunga ceria mendengar gelak-tawa dan gurau-senda anak-anak.

Bayangkan saja suasana apabila 12 anak meminta itu dan ini, saling berebut perhatian dan usik-mengusik sesama sendiri - tentunya ada yang tidak menang tangan melayan.

Itulah suasananya setiap kali tibanya raya di rumah Noorafizah Abdul Aziz, 39, dan suaminya, Mohd Rafie Tibek, 47, yang tidak mungkin dialami oleh orang lain.

Malah bahang kemeriahan raya sudah terasa seawal Ramadan bermula lagi ketika si ibu dan ayah sibuk melayani dan memenuhi tuntutan setiap anak mereka supaya tidak ada yang berkecil hati dan tidak ada yang rasa tersisih.

Baju, kasut, songkok, tudung dan sebagainya harus dibeli baru. Selagi tidak dibeli anak-anak akan terus merengek.

Lihatlah pula gelagat mereka apabila mendapat apa yang diingini. Setiap hari selagi belum raya, mereka akan mencuba pakaian dan kasut baru mereka.

Biasanya persiapan raya untuk 12 orang anak mereka telah dibuat sebulan sebelum puasa.

Walau sibuk macam mana pun dengan tugas dan perniagaan pasangan suami isteri ini tetap meluangkan masa untuk membeli pakaian dan persiapan raya untuk anak-anak dan rumah tangga.

Kata Noorafizah, itu pun masih ada lagi yang belum lengkap dan perlu dibeli semasa bulan Ramadan.

Pendek kata selagi belum tiba hari raya selagi itulah ada saja yang tidak mencukupi.

"Penat memanglah penat tapi anak-anak pun perlu diberi perhatian juga. Raya setahun sekali dan bila raya, anak-anak yang paling seronok.

"Saya tak pergi seorang ke kedai untuk membeli-belah. Biasanya saya akan menunggu anak-anak yang besar balik ke rumah dan kami akan pergi bersama-sama.

"Anak-anak yang kecil tinggal di rumah. Susah bawak anak-anak kecil ke kedai, takut hilang pula.

"Setiap seorang anak saya sediakan enam pasang baju, dua pasang baju kurung atau baju Melayu dan empat pasang baju moden. Kasut pula dua pasang seorang," katanya.

Apa yang istimewa, walaupun beranak ramai Noorafizah ingat saiz setiap pakaian mereka.

Bagi Noorafizah, berkeluarga besar bukan sesuatu yang baru dalam hidupnya kerana ibu bapanya juga mempunyai anak ramai iaitu 11 orang.

Ditanya mengenai kos perbelanjaan untuk membuat persiapan raya, kata peguam syarie yang memiliki syarikat guaman sendiri, Noorafizah Abdul Aziz & Associates itu, dia dan suami memperuntukkan RM4,000 untuk menempah dan membeli pakaian anak-anak.

Menurutnya, raya tahun ini mereka sekeluarga memilih warna tema merah hati untuk warna pakaian mereka.

Anak-anak yang besar akan berbincang sesama mereka warna yang dipilih dan kemudian akan memberitahunya.

Setakat ini katanya, anak-anak tidak membantah memakai warna tema yang sama untuk sekeluarga.

Selain merah hati, mereka turut memilih warna hitam dan jingga. Baju berwarna hitam dipakai pada hari raya pertama, raya ketiga warna merah hati dan raya keempat warna jingga. Raya kedua mereka akan berada di rumah menanti tetamu datang menziarah.

Noorafizah menambah, setiap tahun beliau juga akan menukar langsir dan kertas dinding rumah yang telah didiaminya selama 14 tahun itu.

Ini katanya, bagi menimbulkan suasana raya dan kegembiraan kepada anak-anak yang seronok melihat persiapan serba baru.

''Saya buat juga biskut raya sikit-sikit. Biasanya saya buat selepas balik dari kampung. Anak-anak seronok melihat saya buat sendiri biskut kerana kata mereka terasa raya lebih meriah. Anak-anak ramai, bila siap biskut, habis mereka makan. Tapi lepas itu saya akan buat lagi.

"Untuk tetamu yang datang ke rumah, saya sediakan serba sedikit biskut raya. Penghujung Syawal, saya akan buat rumah terbuka untuk jiran-jiran dan kawan-kawan.

"Sudah 10 tahun saya buat rumah terbuka ini dengan pakatan dan gotong-royong jiran-jiran,'' ujar Noorafizah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: