Wednesday, September 22, 2010

Kecoh silap terjemahan ucapan Mahmoud


MAHMOUD AHMADINEJAD (depan) menyampaikan ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York semalam.


PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB) - Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad menyampaikan ucapan yang bercelaru semalam yang cuma dapat difahami oleh beliau sendiri dan delegasinya.

Beliau terpaksa berhenti berucap selama seminit untuk mengadu kepada Presiden Perhimpunan Agung PBB, M. Joseph Deiss berhubung kesilapan terjemahan yang dibuat oleh penterjemah.

Mahmoud kemudian kembali berucap tetapi pada penghujung ucapannya, seorang penterjemah PBB memberitahu, dia cuma membaca terjemahan teks ucapan Mahmoud dan bukan menterjemah komen yang dibuat Presiden Iran itu semasa beliau berucap.

Mahmoud menyampaikan ucapannya pada hari kedua Sidang Kemuncak PBB bagi memerangi kemiskinan di New York, Amerika Syarikat (AS).

Berbeza tahun-tahun sebelumnya, beliau tidak diboikot oleh barisan delegasi Barat yang kali ini duduk untuk mendengar ucapannya.

Dalam ucapannya, Presiden Iran itu antara lain, menyatakan bahawa sistem kapitalisme berdepan kegagalan dan menyeru supaya PBB dibaik pulih selepas menyifatkan badan dunia itu sebagai 'tidak demokratik dan tidak adil'.

Beliau kemudian menyeru para pemimpin dunia, golongan pemikir dan reformis supaya menggembleng tenaga untuk mencipta sebuah dunia baru.

Bagi mengetengahkan usul beliau, Mahmoud mencadangkan supaya PBB menamakan dekad masa kini sebagai 'Dekad Pemerintahan Bersama Global' melibatkan kerjasama negara-negara di dunia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: