Thursday, September 2, 2010

Kanak-kanak suburkan bumi




MELENTUR buluh biarlah dari rebungnya. Peribahasa itu dilihat amat tepat dengan usaha kakitangan Panasonic AVC Networks Kuala Lumpur (M) Sdn. Bhd. (PAVCKM) memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak dalam Program Kids-Going-Green yang diadakan di Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM), Kepong, Selangor baru-baru ini.

Seramai 140 kakitangan bersama anak-anak masing-masing menimba pengalaman baru di FRIM dan mempelajari kaedah pembuatan baja kompos yang dapat menyuburkan tanaman.

Program kanak-kanak adalah sebahagian daripada tanggungjawab korporat PAVCKM, manakala tema bagi tahun ini adalah kesedaran biodiversiti kepada pelajar sekolah.

“Kumpulan Panasonic berusaha keras menjadi sebuah syarikat berinovasi hijau dengan perspektif global untuk menggalakkan aktiviti persekitaran yang didefinisikan sebagai idea eko.

“Ia bukan sahaja menggalakkan aktiviti persekitaran malah menyumbang kepada kesinambungan dan pelestarian persekitaran global,” kata Pengarah Urusan PAVCKM, Hideo Uemura.

Bagi menjayakan hasrat tersebut dan menjadi warganegara yang mementingkan persekitaran, usaha itu bukan sahaja tertumpu di tempat-tempat tertentu tetapi ia bermula di rumah dan komuniti tempatan.

“Panasonic akan mengembangkan aktiviti eko-komuniti tempatan sehingga ke peringkat global yang membabitkan bukan sahaja kakitangan kami sendiri tetapi pelbagai lapisan masyarakat.

“Kami juga berkomunikasi dua hala dengan pemegang saham dan akan meluaskan aktiviti yang berkait dengan alam sekitar ke seluruh dunia pada masa hadapan,” katanya.


AKTIVITI biodiversiti ini bertujuan menyemai pentingnya menjaga alam sekitar.


Dalam pada itu, sebanyak 115 batang pokok turut diedarkan kepada kakitangan PAVCKM dan anak-anak mereka untuk ditanam di rumah masing-masing. Proses membuat baja kompos secara praktikal di kalangan peserta turut dijalankan di FRIM.

Ia bertujuan untuk memberi pemahaman mengenai kepentingan perlindungan hutan dan penghijauan dalam komuniti. Pemuliharaan tanah dapat dilakukan di rumah hanya dengan menggunakan bahan buangan organik terutamanya daun-daun kering yang bukan sahaja dapat mengurangkan sampah, malah ia dapat menyuburkan tanah di taman atau halaman rumah.

Latihan praktikal

“Baja kompos terhasil apabila bahan organik mereput dan pecah kepada bahan yang kaya dengan nutrien melalui haba dan respirasi yang dilakukan oleh organisma dalam tanah seperti cacing, semut, bakteria dan kulat.

“Pelbagai organik lain boleh dijadikan baja kompos termasuklah bahan yang kaya dengan nitrogen dan karbon seperti rumput, sayur-sayuran, serpihan kayu, serbuk papan, najis haiwan seperti najis lembu, ayam, kuda dan sebagainya,” kata Pegawai Penyelidik FRIM, Dr. Aminah Hamzah.


PEMBUATAN baja kompos tidak begitu sukar dan boleh dilakukan di rumah.


Ujar Aminah, penggunaan baja kompos dapat menyuburkan tanah sekali gus membantu pokok-pokok lebih subur dan membekalkan oksigen kepada manusia.

Selepas persidangan berkenaan, para peserta di bawa ke tapak pembuatan baja kompos untuk melihat lebih dekat proses pembuatannya di samping menjalani latihan praktikal supaya baja kompos dapat dilakukan sendiri di rumah.

Aminah memberitahu, pembuatan baja kompos dalam skala kecil tidak memerlukan mesin khas seperti yang digunakan dalam industri tetapi masyarakat boleh melakukannya dengan kaedah menggunting atau mencarik daun-daun kering atau mengisarnya menggunakan mesin pengisar biasa.

“Campurkan daun reput atau daun-daun kering yang telah dipecahkan dan tanah dari hutan atau di belakang rumah anda.

“Organisma tanah telahpun berada dalam bahan ini dan akan membina komuniti baru dalam longgokan baja anda,” katanya.

Kata Aminah, tahap kelembapan yang betul juga penting untuk menghasilkan baja yang sihat untuk penghantaran nutrien. Timbunan itu tidak boleh terlalu kering kerana proses penghasilan baja agak perlahan.


KAKITANGAN Panasonic dan ahli keluarga mereka menimba pengalaman baru untuk melestari alam sekitar.


“Timbunan itu juga tidak boleh terlalu lembap kerana tanah akan menjadi berat dan oksigen akan tertekan keluar. Ia akan menyebabkan longgokan itu mereput dan berbau busuk. Longgokan harus dibiarkan lembap tetapi tidak basah,” katanya.

Aktiviti terakhir peserta ialah larian eko. Para peserta dibahagikan kepada 18 kumpulan dan diberikan siri soalan yang memerlukan mereka mengenal pasti spesies pokok yang mereka temui sepanjang laluan larian.

Pada akhir program, satu majlis penyampaian hadiah diadakan bagi memberi penghargaan kepada tiga kumpulan yang memenangi tempat pertama, kedua dan ketiga di dalam larian eko berkenaan.

Tempat pertama dimenangi kumpulan Cengal 2, manakala tempat kedua dan ketiga dimenangi oleh kumpulan Meranti 2 dan Meranti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: