
BEIJING - Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan semalam menolak tuntutan China bahawa Tokyo perlu meminta maaf berhubung penahanan seorang kapten kapal nelayan dari China.
"Saya tidak mempunyai hasrat untuk menerima (tuntutan) itu pada keseluruhannya," katanya.
"Adalah penting untuk kedua-dua pihak untuk bertindak dengan satu ruang lingkup pandangan yang lebih luas," tambahnya.
Jepun turut dituntut oleh pemerintah China supaya membayar ganti rugi ekoran penahanan kapten sebuah kapal nelayan China.
Kapten kapal itu kemudian dibebaskan oleh kerajaan Jepun dan dia telah tiba di wilayah Fujian, China kelmarin.
Beberapa buah akhbar utama di China semalam menyiarkan laporan mengenai desakan supaya Jepun meminta maaf dan membayar sejumlah wang ganti rugi di muka surat hadapan.
Gambar kapten itu pulang dan disambut dengan isteri dan seorang anaknya turut disiarkan oleh beberapa buah akhbar di China.
Kapten kapal nelayan China itu, Zhan Qixiong ditahan oleh anggota-anggota pasukan pengawal pantai pada 8 September lepas dekat satu rangkaian pulau yang dikenali sebagai Diaoyu.
Pulau itu terletak 190 kilometer ke timur Taiwan yang dikawal Jepun tetapi dituntut oleh Taiwan dan China.
Kapten kapal itu ditahan selepas kapalnya dilaporkan berlanggar dengan kapal peronda pengawal pantai Jepun.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: