![]() |
| OTHMAN HAFSHAM (duduk) kembali ke kerusi pengarahannya setelah sekian lama mendiamkan diri. |
KALI terakhir sebuah karya dihasilkan daripada kaca mata dan pandangan pengarahan Othman Hafsham adalah pada tahun 2002 menerusi filem Soalnya Siapa, kemudian dia vakum daripada kerusi itu.
Ramai ternyata rindu dan ternanti-nantikan hasil air tangan sang pengarah yang pernah dua kali memenangi anugerah Pengarah Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia Keempat (1983) dan Ketujuh (1987).
Hafsham juga pernah mencapai anugerah Penulis Skrip Terbaik pada Festival Filem Malaysia Pertama (1980).
Tahun ini, Karipap-Karipap Cinta yang diadaptasi daripada novel karangan Nazri M. Annuar menjadi pilihan Hafsham.
Ini merupakan julung-julung kalinya pengarah berusia 70 tahun itu mengambil sebuah karya daripada novel.
"Saya tidak pernah mengambil sebuah novel untuk dijadikan filem. Tetapi kali ini saya merasakan Karipap-Karipap Cinta merupakan sebuah novel yang bagus dan ditulis secara lucu.
"Saya juga mahukan sesuatu yang segar dan saya tahu penonton kini inginkan sebuah karya yang santai dan senang difahami," ujarnya yang diperkenalkan dengan novel terbitan PTS Fortuna itu oleh Amir Muhamad.
"Asalnya saya mempunyai idea dan skrip untuk menghasilkan sebuah filem. Namun, Amir memperkenalkan saya dengan novel Nazri.
"Sejurus membacanya, saya tahu ia sebuah naskhah yang bagus, malah lebih bagus daripada idea saya.
"Selepas itu saya bertemu Nazri dan memintanya membuat skrip," luahnya yang menyatakan bajet untuk filem itu berjumlah RM1.5 juta.
Satu hal yang disedari, Hafsham mengambil kembali format yang pernah digunakan dalam pembikinan filem-filem lamanya.
Dalam lakaran sejarahnya, pengarah ini menghimpunkan tujuh filem di bawah arahannya iaitu Adik Manja (1979), Mekanik (1983), Rahsia (1987), Ujang (1989), Driving School (1990), Soal Hati (2000) dan Soalnya Siapa (2002).
Mengimbas semula filem Adik Manja dan Mekanik, ketika itu Hafsham berani menampilkan wajah-wajah baru yang belum diulit api populariti.
Formula itu juga yang diterapkan dalam Karipap-Karipap Cinta.
Pengambilan Gambit membawakan watak hero bernama Ali merupakan satu perjudian kerana nama lelaki itu belum benar-benar panas dalam arena perfileman tempatan.
Namun, Gambit sudah punya tapak dan asas untuk bergerak dengan karakter tunjang.
Beberapa nama baru seperti Melia Aimelia dan Syamira Azmil turut diperkenalkan.
Kemunculan pelakon versatil Eman Manan dan Patrick Teoh bakal menguatkan lagi filem yang dijadualkan menemui khalayak tahun hadapan itu.
"Kalau ambil pelakon terkenal harganya mahal. Jadi perlu cuba pelakon yang belum popular. Sekurang-kurangnya pelakon yang sudah ada portfolio.

"Bagi saya, Gambit sesuai dengan watak Ali yang muda dan nakal. Dia mengingatkan saya kepada Azmil Mustafa sewaktu dia membawa watak hero dalam filem Mekanik dahulu," lanjut Hafsham.
Sebelum mengakhiri bicara, Hafsham sempat bertutur jujur: "Saya membuat sebuah filem yang mencapai sasaran pasaran dan boleh membawa pulangan terhadap saya.
"Ini bukan masanya membuat filem untuk seni lagi. Saya perlu pentingkan perut saya dan menghasilkan sebuah filem yang mempunyai jalan cerita yang bagus."
Melihat keterujaannya, timbul perasaan tidak sabar menanti sebuah filem yang berintikan penulisan Nazri dan dikelim cantik oleh Othman Hafsham.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: