Sunday, September 26, 2010

Introduksi dan manisnya Elfira




ADA kerdip yang bersinar daripada bening matanya. Sesekali dia menundukkan wajah dan tersenyum mungkin berfikir sejenak sebelum buah fikirnya dicatat satu-persatu. Kerap juga, ibu yang sentiasa di sisi, Filzah Yusoff diminta mengiakan pandangan, sebelum meneruskan hujahan panjang lebarnya diluncurkan biarpun tersekat-sekat.

Itu sikap di belakang tabir si dara sunti, Elfira Loy yang mengundang banyak emosi setiap kali terbit di skrin kaca.

Persis kuntum yang sedang menunggu waktu untuk mekar seharum-harumnya, kelopak si bunga yang baru berusia 16 tahun itu sebenarnya telah dihidu banyak kumbang bergelar penerbit dan pengarah.

Mengutip banyak pandangan, kehadiran Elfira sebagai pelakon kanak-kanak mula dikesan menerusi drama bersiri Tentang Bulan tidak lama dahulu.

Apabila drama Qalesha lakonannya bersambung ke musim kedua di saluran Astro Prima pada Ramadan lalu, datang pula Syurgamu Ramadan (TV3), pujian untuk Elfira sudah berhijrah daripada bibir ke bibir.

Teater

Lakonannya dipuji, penghayatan karakter serta luah emosi kecamuknya juga laju merasuk ke jiwa sesiapa sahaja. Mudah sahaja si aktres itu digelar pesona bintang.

Wajahnya pula mengingatkan semua terhadap bayangan aktres Umie Aida pada awal penglibatannya dahulu.

"Saya tidak tahu bagaimana hendak memberi reaksi terhadap pujian yang diberikan. Saya jenis yang tidak ambil pusing sangat terhadap komen orang.

"Saya berlakon mengikut arus dan paling penting nak 'menyampaikan' lakonan saya," agak serius butir katanya.

Terbukti didikan dan pendedahan dengan gaya serta kaedah pentas teater membuahkan sesuatu yang bermakna dalam diri Elfira.

Muda usia tubuh dan hayat penglibatan dengan seni tidak mengaburkan penglihatannya terhadap imej karya seni tempatan. Biarpun masih terlalu muda, Elfira tak kekok berbicara tentang bakat serta masa depannya.

"Saya tidak pasti sama ada saya mempunyai bakat semula jadi tetapi teater banyak memberi pelajaran buat saya.

"Biarlah orang kata teater itu merugikan masa, bayaran murah dan menuntut masa yang panjang. Saya tidak rasa begitu," luah pemegang watak Ibu Zain semasa kanak-kanak dalam teater Muzikal Ibu Zain itu tanpa getar.


AKTRES remaja ini berkali-kali menyebutkan perkataan 'menyampaikan'. Baginya, segala perancangan masa depan sama ada terus membina nama sebaliknya tidak mahu difikirkan, dia hanya ingin menjadi pelakon yang berjaya membuat satu penyampaian yang berkesan.


Iran

Sibuk dengan latihan Teater Muzikal Kanak-Kanak Ali Baba arahan Zaifri Hussain, tugas Elfira kali ini bukan untuk membuktikan kejayaan teater itu di mata peminat teater tempatan, tetapi lebih besar melangkaui sempadan.

Teater jugalah yang akan menerbangkan Elfira bersama delegasi yang lain ke Iran sempena Festival Teater Kanak-Kanak dan Remaja Antarabangsa Hamedan Ke-17 yang berlangsung pada 27 September hingga 5 Oktober ini.

"Saya diundang semula untuk terlibat dengan teater itu. Dulu, itulah teater pertama saya. Ia pernah dipentaskan di Istana Budaya pada Disember 2006.

"Di Iran, kami dijadualkan menjayakan dua persembahan. Harap semuanya lancar," doa Elfira berserta debar.

Pernah membintangi filem Damping Malam arahan Ahmad Idham, Elfira nyata bukanlah pelakon sepenuh masa. Dia masih bergelar pelajar tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan Alam Damai, Cheras.

Atas komitmen itulah, jadual dan pengurusan waktu hariannya umpama rejim yang ketat.

"Pukul 6 pagi saya sudah bangun untuk ke sekolah. Jadual sekolah saya tamat pukul 2 petang tetapi atas budi bicara dan perbincangan antara ibu dan pengetua, saya dibenarkan pulang awal untuk ke lokasi penggambaran drama.

"Malam pula saya dihabiskan untuk sesi latihan teater. Untuk hari-hari sebelum atau akan datang, semuanya bergantung kepada keadaan," kata anak kedua daripada empat beradik itu menyambung cerita.

Lima situasi

Sesuai dengan episod perkenalan Sensasi Bintang yang julung kali bercanda dengannya, gadis yang manja membahasakan diri sebagai El itu diajak ke topik yang lebih santai.

Dia diminta membentuk gambaran siapa Elfira dalam lima situasi berbeza. El sebagai individu, pelajar, sahabat, penonton dan pelakon.

Benarlah, jiwa anak remaja sukar ditebak. El akui bahawa dia remaja yang memendam perasaan. Tidak lokek memberikan kemaafan tetapi payah melenyapkan ingatan jika ada zarah yang merobek perasaan.

Sebagai pelajar, dia bukan seorang yang boleh dipaksa menumpukan perhatian kepada akademik.

"Jika dileteri ibu supaya belajar, saya tidak akan study tetapi apabila mod untuk belajar sudah tiba, saya menjadi seorang yang sangat fokus mengulang kaji.

"Ketika itu, saya tidak suka dengan gangguan. Tahun ini saya banyak ambil tawaran berlakon sebab tahun depan saya mahu memberi tumpuan terhadap pelajaran. Kalau boleh saya mahu skor A dalam semua subjek SPM kelak," katanya yang merupakan atlet larian jarak jauh dan lompat jauh di sekolah.


BERDARAH campuran Cina dan Arab, Elfira hadir dengan pakej bakat dan rupa. Tidak mustahil, dalam tempoh kurang lima tahun, dia bakal muncul sebagai aktres yang disegani.


Dalam pergaulan dengan teman-teman, jujur katanya, dia bukan jenis yang memilih kawan. Mudah diajak berkawan tetapi jika memilih kawan rapat, El sedikit berlainan.

"Saya lebih suka mendekati atau mencari kawan yang tak ada ramai kawan, lebih selesa," ujarnya.

Menjadi pelakon pula, belum tiba masanya pelakon remaja itu menjadi selektif dengan tawaran yang datang.

"Saya tidak memilih asalkan skripnya bagus, yakin boleh menyampaikan lakonan, saya terima. Saya cuma tidak boleh dipaksa melakukan yang tidak saya gemari," beritahunya.

Sebagai peminat seni, Elfira tergolong dalam kelompok penggemar karya muzikal. Filem bercorak tarian dan nyanyian lebih menarik perhatiannya berbanding genre lain.

"Saya penakut dan tidak sukakan unsur suspen yang mendebarkan bahkan saya sanggup mengetahui jalan cerita jika hendak menonton apa-apa cerita yang saya tidak tahu," katanya menghindari genre cerita hantu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: