![]() |
| KOPERAL Hosin Senawi (kanan) berbincang dengan rakan setugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya. |
MANUSIA bukannya robot. Kadang kala, mereka memerlukan masa untuk merehatkan minda dan badan selepas keletihan menjalankan tugas.
Apatah lagi tugas-tugas mencabar sebagai anggota polis yang kerap melakukan rondaan bagi memastikan kawasan yang dikawal berada dalam keadaan aman.
Bagi Koperal Hosin Senawi, kenangan itu berlaku ketika itu dia bertugas sebagai anggota polis rondaan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang bertanggungjawab melakukan rondaan di lokasi panas bagi memastikan keadaan keselamatan di kawasan itu terjamin.
Jelasnya, beliau ditugaskan untuk melakukan rondaan di sekitar kawasan South City di Seri Kembangan.
"Apa yang ingin dikongsikan bersama ini adalah pengalaman yang biasa-biasa sahaja kerana pasti anggota dan pegawai lain mempunyai pengalaman yang lebih hebat daripada saya," katanya ketika ditemui Gaya Polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, baru-baru ini.
Hosin memberitahu, pada hari kejadian kira-kira pukul 7 malam, 28 Jun lalu, dia tiba-tiba berasa pening kepala selepas melakukan rondaan di kawasan tersebut.
Katanya, untuk menghilangkan penat, dia berehat untuk mengambil ubat bagi menyembuhkan pening kepala sebelum meneruskan rondaan.
"Belum sempat saya minum air suam selepas menelan ubat, saya terdengar bunyi tembakan dari arah bangunan belakang warung tempat saya berhenti rehat," katanya sambil memberitahu rasa pening di kepala itu terus pulih sebaik saja terdengar tembakan itu.
Bagi mengetahui apa yang berlaku, Hosin bergegas ke arah lokasi datangnya bunyi tembakan itu.
Katanya, dia nampak seorang lelaki sedang berada dalam sebuah kereta jenis Proton Iswara. Sebaik sahaja memperkenalkan diri sebagai polis, lelaki itu kemudian mengacukan pistol ke arahnya.
"Suspek mengacukan pistol ke arah saya dari jarak kira-kira 11 meter. Saya kemudian segera menyorok di belakang sebatang pokok di kawasan berhampiran.
"Dia kemudian melepaskan dua das tembakan namun tidak mengenai saya. Setelah gagal, dia memecut laju kereta dan berlalu pergi," katanya.
Atas rasa tanggungjawab pada kerja dan masyarakat, Hosin yang pada mulanya pening kepala sebelum kejadian itu berlari mengejar kenderaan yang dipandu oleh suspek.
Jelas anak kelahiran Betong, Sarawak itu, mujurlah disebabkan keadaan jalan yang sesak, kereta yang dipandu suspek tidak dapat pergi jauh dan berhenti selepas bergesel dengan sebuah kereta.
Katanya, suspek keluar dari kenderaan sebelum mengacukan pistol ke arah beliau.
"Saya kemudian mengarahkan supaya dia meletakkan senjata dan menyerah diri, namun sekali lagi dia melepaskan dua das tembakan ke arah saya.
"Namun saya bersembunyi di belakang kereta. Mujur juga tembakan itu tidak mengenai orang awam lain," tambahnya yang dilihat tidak lagi kekok untuk bercerita.
Tambah Hosin, sewaktu mengejar suspek, beliau sempat meminta bantuan daripada Balai Polis Seri Kembangan.
Meneruskan bicara, Hosin berkata, suspek kemudian melarikan diri sehingga ke kawasan lebuh raya sebelum berhenti apabila tiada lagi arah untuk melarikan diri. Ketika itu juga, dia dan suspek bersemuka antara satu sama lain dalam jarak lima meter.
"Ketika itu, hanya tuhan saja yang tahu perasaan saya. Kami saling mengacukan pistol.
"Suspek turut menahan seorang wanita yang sedang memandu yang dijadikan tawanan melepaskan diri.
"Namun, kehadiran anggota polis lain yang membantu dengan menjerit perkataan 'Polis' berjaya mengalihkan perhatian suspek," katanya yang terus mengambil peluang melepaskan tembakan ke arah kaki suspek dan berjaya menangkapnya.
Itulah pengalaman yang tidak akan dilupakan oleh Hosin sepanjang hayatnya. Baginya, tugas sebagai anggota polis tidak menghalang dia untuk mempertaruhkan nyawanya demi keselamatan negara.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: