Monday, September 6, 2010

FAMA bantu usahawan IKS


Ramai usahawan IAT mula berniaga di pasar tani secara kecil-kecilan.


BOLEH dikatakan hampir semua usahawan dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bermula secara kecil-kecilan seperti menjual secara persendirian atau di pasar tani.

Pasar tani yang dianjurkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang bermula 1985 dilihat sebagai titik permulaan bagi usahawan PKS mengembangkan perniagaannya.

Pengarah FAMA Selangor, Rohizad Ridzwan berkata, pihaknya memainkan peranan penting dalam pemasaran produk industri asas tani (IAT).

"FAMA juga telah mengklasifikasikan usahawan IAT sejajar dengan klasifikasi peringkat nasional dengan sedikit penyesuaian," katanya semasa ditemui di pejabatnya di Shah Alam baru-baru ini.

Rohizad menambah, produk yang menjadi tumpuan usahawan adalah makanan ringan serta kuih tradisional diikuti dengan minuman, roti, kek dan biskut, produk asas ikan, jeruk halwa berasaskan buah, produk sejuk beku, sos dan kicap.

"Produk sejuk beku mendapat pasaran utama dengan hampir 80 peratus nilai eksport berbanding dengan produk lain," katanya.

Kebanyakannya dipasarkan di sekitar kejiranan masing-masing sebelum meluaskan pasaran ke peringkat wilayah dan nasional.

Negara seperti Singapura, Brunei, Vietnam dan Indonesia juga menjadi tumpuan dengan hampir 70 peratus nilai eskport sejak tahun 2007.

Rohizad menambah, berdasarkan rekod FAMA, walaupun usahawan PKS1 dan PKS 2 merupakan 20 peratus daripada bilangan usahawan yang ada, tetapi mereka hanya menyumbangkan 15 peratus daripada jualan PKS IAT.

"PKS 3 hingga PKS 6 pula menyumbang 85 peratus daripada nilai urus niaga manakala PKS 5 khususnya walaupun hanya dua peratus menyumbang 52 peratus daripada keseluruhan transaksi," katanya.

Bagaimanapun beberapa isu membataskan pertumbuhan PKS IAT seperti kekurangan dari segi keusahawanan, kualiti dan kuantiti produk tidak konsisten serta kurang inovasi.

Usahawan juga tidak memiliki atau tidak mampu melaksanakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan memiliki teknologi pemprosesan, pembungkusan serta tidak pasti cara untuk memasarkan produk mereka atau memasuki pasaran yang memberi nilai tinggi.

Selain itu jelas Rohizad, ada yang tidak menitikberatkan mengenai pembungkusan, pelabelan dan reka bentuk yang sesuai bagi pasaran di pasar raya besar serta eksport.

Justeru FAMA membantu usahawan IAT dengan meningkatkan dan meluaskan pasaran bagi produk mereka melalui penyediaan peluang mengikut keperluan mereka seperti pembaikan pembungkusan, luang pasaran, maklumat pasaran, edaran produk, khidmat nasihat, pembangunan kualiti, latihan pemasaran dan promosi.

Bagi luang pasaran pula, FAMA membantu edaran produk melalui program kontrak pengilangan atau vendor dan penjenamaan AgroMas dan OleMas yang melibatkan 27 usahawan dengan 78 produk.

Bagi memudahkan promosi produk keluaran negara di pasaran antarabangsa, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah memperkenalkan jenama Pengesahan 1 Malaysia Best pada 20 Mei lalu.

Pengesahan diberikan kepada usahawan yang memenuhi syarat termasuk mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Pendaftar Koperasi, mengamalkan amalan keselamatan dan kualiti produk yang baik dengan mematuhi akta makanan yang ditetapkan, mendapatkan pengiktirafan Halal dan memperolehi Sijil Kesihatan oleh Kementerian Kesihatan.

Dengan segala program dan aktiviti pemasaran yang dilaksanakan, FAMA berjaya membangunkan, meningkatkan kecekapan dan keberkesanan rantaian bekalan produk asas tani untuk membantu melahirkan 10,000 usahawan asas tani yang berpendapatan melebihi RM2,000 sebulan.

Selain itu FAMA juga sedang mempersiapkan 176 usahawan pemasar yang sedang dididik dalam pembinaan 100 PKS sedia eksport dibangunkan oleh FAMA menjelang 2010, melalui pembangunan pemasaran berkualiti bagi produk industri asas tani.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: