Thursday, September 23, 2010

Duta alam sekitar Starbucks


SEMANGAT kerjasama di antara sukarelawan dan para peserta berjaya ditonjolkan sepanjang program ini.


SEDANG rebung baik dipatah, jadi buluh melepuh jari. Begitulah peribahasa yang sesuai digunakan untuk menunjukkan betapa pentingnya memupuk kesedaran tentang alam sekitar sejak zaman kanak-kanak lagi.

Mendidik generasi muda tentang kepentingan alam sekitar perlu diterap di peringkat kanak-kanak agar mereka dapat melangkah ke alam dewasa dengan menjadi generasi yang bukan sahaja menghargai alam sekitar bahkan dapat membantu mengekalkannya untuk generasi masa hadapan.

Namun begitu, tugas memberi kesedaran tentang kepentingan alam sekitar tidak hanya terletak di bahu ibu bapa tetapi perlu digembleng oleh semua pihak termasuk sekolah, pihak swasta, masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO) dan banyak lagi.

Menyedari kepentingan itu, sebuah NGO, Yayasan Anak Warisan Alam (Yawa) menjalin kerjasama dengan jenama minuman kopi terkenal, Starbucks Coffee dengan mengendalikan program Starbucks Eco Youth yang menekankan tentang penjagaan alam sekitar.


KEPENTINGAN menghargai alam sekitar perlu disemai ketika masih kecil.


Pada masa yang sama, para peserta juga dilatih untuk melibatkan diri dalam bidang keusahawanan.

Ketua Pegawai Esekutif Yawa, Adly Mohamed berkata, seramai 120 pelajar dipilih daripada lima buah Projek Perumahan Rakyat di sekitar Lembah Klang untuk terlibat dalam program seperti Plant For The Planet, Eco Forrest Drum, Green Genius, Kompang Remaja dan Step.

Menurutnya, kesemua peserta dibahagikan dalam lima kumpulan dan mereka akan dilatih melakukan beberapa projek pendidikan alam sekitar yang sudah dirangka.

"Setiap program adalah berbeza-beza begitu juga dengan produk yang dihasilkan. Misalnya program Plant For The Planet, peserta diajar bagaimana untuk membina nurseri, menghasilkan baja dan menanam anak pokok," katanya.


PESERTA turut diberikan ilmu keusahawanan dalam program Starbucks Coffee Eco Youth.


Adly menambah, pihaknya turut menggalakkan setiap kumpulan lebih kreatif dalam menghasilkan produk-produk yang mempunyai nilai pasaran dan mampu menjana keuntungan.

"Setiap kumpulan diberi tanggungjawab menubuhkan syarikat dan menguruskan projek itu dari awal hingga akhir.

"Produk yang terhasil akan dijual dan keuntungannya akan dimasukkan ke dalam tabung syarikat dan terpulanglah kepada mereka bagaimana untuk menggunakannya. Setidak-tidaknya dalam usia yang masih muda ini mereka sudah didedahkan dalam bidang keusahawanan," ujarnya.

Program Plant For The Planet yang diadakan di Rinching Hilir, Bangi Lama baru-baru ini disertai kira-kira 18 pelajar.

Turut terlibat kira-kira 25 sukarelawan yang merupakan kakitangan Starbucks dari beberapa cawangan di sekitar Lembah Klang.

Menariknya, para peserta turut diajar menghasilkan tapak semaian daripada barangan terbuang seperti botol plastik dan tempurung kelapa.

Menurut Pengurus Pemasaran Daerah Coffee Master Starbucks, Salleharon Ahmad, program yang dimulakan sejak tahun lalu itu mendapat geran daripada Starbucks International sebanyak RM70,000.




"Ia merupakan sebahagian tanggungjawab sosial kita kepada masyarakat. Sebelum ini pun Starbucks aktif menjalankan pelbagai kempen berhubung alam sekitar dan kemasyarakatan seperti Earth Hour, Starbucks Share Planet dan sebagainya," ujarnya.

Katanya, pihaknya bercadang untuk meneruskan kerjasama dengan Yawa pada masa hadapan untuk mendidik generasi muda di negara ini.

Seorang peserta, Mohd. Irfan Roslan, 13, dari Apartmen Selasih, Damansara Damai berkata, dia banyak mempelajari selok-belok mengenai ilmu pertanian melalui program itu.

"Sebelum ini saya tidak tahu bagaimana proses menghasilkan nurseri, tetapi di sini kami diajar bermula dari proses awal sehingga akhir.

"Matlamat kami adalah memastikan projek ini berjalan lancar sekali gus memberi pendapatan untuk syarikat," katanya.

Rakannya, Zaniha Hidayah Zainal Abidin, 13, memberitahu ilmu keusahawanan yang diperoleh boleh digunakan selepas menamatkan persekolahan nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: